Oleh Suria Janib
5 Ogos 2021, 22:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Seluruh warga kerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) petang tadi merakamkan penghargaan yang tinggi terhadap Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Dato’ Hajah Padilah Haji Ali atas segala jasa dan sumbangan yang dicurahkan kepada DBP selama tempoh 36 tahun 5 bulan 18 hari.

Beliau mula berkhidmat di DBP sejak 18 Februari 1985 sebagai Pegawai Penyelidik Gred A20. Sepanjang perkhidmatannya, beliau banyak mengutip pengalaman semasa bertugas di Bahagian Penerbitan Umum/Am (1985), Bahagian Penerbitan Sastera (1995), Bahagian Majalah (1996), Bahagian Sains Sosial dan Kemanusiaan (2000), Bahagian Majalah (2003), Bahagian Buku Umum (2012), Pentadbiran Jabatan Penerbitan (2014), dan Pentadbiran Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera (2016).

Jawatan terakhir beliau sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Gred VU6 adalah di Bahagian Pentadbiran Pejabat Timbalan Ketua Pengarah (Dasar).

Persaraan wajib beliau diadakan dalam majlis yang sederhana tetapi amat bermakna dengan penyesuaian mengikut suasana kebiasaan baharu yang turut diraikan oleh pengurusan tertinggi DBP dan seluruh warga kerja DBP.

Memetik kata Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, walaupun Dato’ Padilah sudah bersara, sumbangannya tetap diperlukan bagi pembinaan bahasa, sastera dan penerbitan DBP.

Mengulas lanjut tentang sumbangan Dato’ Padilah terhadap DBP, beliau berkata, penyertaan Dato’ Padilah dalam pembinaan bahasa, sastera dan penerbitan, secara tidak langsung telah mengangkat dan menjunjung bidang ini sebagai wadah ilmu untuk DBP dan masyarakat.

Kegigihan bekerja yang ditonjolkan oleh Dato’ Padilah turut diakui oleh Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, “Beliau tidak pernah mengambil cuti sakit walaupun akan bersara pada hari ini. Walaupun kita berada dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau tetap mempengerusikan mesyuarat tanpa mengira waktu dari pagi hingga lewat malam sebelum meninggalkan DBP.”

Beliau juga, tanpa ragu-ragu berani memikul tanggungjawab sebagai peneraju dalam membangunkan pelantar penerbitan digital DBP menerusi JendelaDBP yang secara tidak langsung memberikan impak positif kepada DBP dan masyarakat. Usaha murni ini sangat dibanggakan untuk mendokong pendigitalan perkhidmatan awam.

“Beliau sudah membina landasan DBP yang sangat kukuh; fasa terakhir sedang dilakukan dengan membina struktur sebaik mungkin yang memberikan manfaat kepada staf dengan beberapa perubahan yang sudah ditambah baik. Beliau sudah mencipta tapak landasan yang kemas, dan pelapis seterusnya akan menyambung legasi yang ditinggalkan oleh beliau.” katanya lagi.

“Editor perlu rajin menyemak dan mencatat segala kesilapan penyuntingan. Rujukilah dua buah buku ini, iaitu Tatabahasa Dewan dan Gaya Dewan dan sebuah buku lagi, iaitu Kamus Dewan.” Hampir setiap hari Dato’ Padilah akan mengingatkan pesanan ini.

Suka tidak suka, kita perlu berdoa kepada Allah agar kita diberikan kekuatan untuk seronok bekerja. Saya sentiasa bermohon kepada Allah supaya warga kerja DBP sentiasa melakukan kerja dengan sebaik-baiknya, jangan mudah patah semangat atau lemah semangat, lakukan perubahan sikap dan budaya kerja.

Demikianlah pesanan yang sempat dititipkan kepada semua warga kerja DBP.

 

 

SELAMAT BERSARA DATO’ HAJAH PADILAH HAJI ALI

Warga DBP mendoakan YBhg. Dato’ agar dipanjangkan usia, dikurniakan kesihatan yang baik dan berbahagia bersama-sama keluarga tersayang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.