Oleh Aninah Janang
12 September 2021, 17:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
YB Datuk Dr. Radzi mengumumkan kaedah penggiliran dengan hanya 50 peratus murid akan berada di sekolah pada setiap minggu.

Putrajaya – Menyedari akan kebimbangan banyak pihak berhubung dengan pembukaan sekolah pada 3 Oktober ini, Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin menjelaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan sistem penggiliran kehadiran murid ke sekolah, iaitu hanya 50 peratus jumlah murid daripada keseluruhan enrolmen dibenarkan hadir ke sekolah pada satu masa yang ditetapkan.

Untuk itu, sesi persekolahan secara bersemuka akan mengikut fasa di setiap negeri, iaitu bagi negeri yang berada dalam Fasa Empat, semua institusi pendidikan akan dibuka sepenuhnya. Sementara itu, bagi negeri dalam Fasa Tiga, semua institusi pendidikan akan dibuka secara berperingkat. Selebihnya, bagi negeri dalam Fasa Satu dan Fasa Dua, KPM memutuskan semua institusi pendidikan ditutup, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diteruskan dan hanya murid kelas peperiksaan dibenarkan ke sekolah (negeri Fasa Dua).

“Setelah mengambil kira segala pandangan, KPM memutuskan kapasiti kelas dihadkan kepada 50 peratus. Hal ini bermaksud, setiap kelas akan dipecahkan kepada dua kumpulan dan mereka akan bergilir untuk datang ke sekolah secara mingguan. Saya beri contoh, kelas Tingkatan 5A mempunyai 36 orang murid secara keseluruhan, maka jumlah ini akan dipecahkan kepada dua kumpulan, iaitu Kumpulan A dan Kumpulan B dengan masing-masing murid berjumlah 18 orang bagi setiap kumpulan. Kumpulan ini akan datang ke sekolah secara bergilir mengikut kumpulan.  Kita percaya bahawa kaedah ini bukan sahaja akan dapat mengurangkan jumlah murid di dalam sesebuah kelas, tetapi yang lebih penting dapat mengurangkan risiko sekiranya berlaku jangkitan COVID-19,” ujar YB Datuk Dr. Radzi dalam sidang medianya pada petang ini.

Tambah beliau, penggiliran ini bermaksud, pada minggu pertama, Kumpulan A akan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka, manakala Kumpulan B akan melaksanakan PdPR. Pada minggu kedua pula, Kumpulan B akan melaksanakan PdP secara bersemuka, manakala Kumpulan A melaksanakan PdPR. Sistem penggiliran ini akan berlarutan sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan oleh KPM kelak.

Umum perlu mengetahui bahawa pengoperasian sekolah yang diputuskan ini telah mengambil kira ketetapan yang dibuat dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan mengambil kira pandangan semua pihak, iaitu ibu bapa, guru, pengetua, pelajar, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Tujuannya tidak lain tidak adalah untuk memastikan keputusan yang dibuat oleh KPM sebagai tepat dan merupakan keputusan yang terbaik untuk membawa kembali anak-anak ke sekolah.

Matlamat utama KPM adalah untuk membawa anak-anak kembali ke sekolah.

“KPM mendapati, sejak operasi sekolah tidak berjalan secara bersemuka, anak-anak kita semakin jauh daripada sistem persekolahan. Kita tidak boleh membiarkan perkara ini berlarutan. Kita mempunyai perancangan, tetapi kita perlu melihat keadaan persekitaran. Kita juga perlu melihat dalam konteks yang lebih luas, khususnya latar belakang murid yang berbeza-beza. Maka itu, kami mencari titik tengah, iaitu kaedah yang terbaik untuk membawa lima juta orang murid di seluruh negara untuk kembali ke sekolah. Keputusan ini bukanlah mudah tetapi di kementerian, kami bertanggungjawab untuk memastikan anak-anak ini tidak terus berjauhan dengan sistem persekolahan. Kerangka yang diperkenalkan ini walaupun tidak sempurna tetapi inilah yang terbaik kerana apa-apa yang penting adalah untuk membawa mereka kembali ke sekolah kerana mereka sudah terlalu lama renggang dengan sistem persekolahan,” ujar YB Datuk Dr. Radzi.

Penggiliran ke sekolah akan mendekatkan murid dengan sistem persekolahan.

Selain itu, YB Datuk Dr. Radzi turut memaklumkan bahawa terdapat enam kategori kehadiran murid ke sekolah tanpa penggiliran, iaitu kategori pertama, Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK); Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV); Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK); dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). Kategori kedua, murid tingkatan 6 semester dua dan International Baccalaureate Diploma (IBD) tahun 2. Kategori ketiga, murid di sekolah asrama sepenuhnya; kategori keempat, murid kelas peperiksaan antarabangsa; kategori kelima, murid persekolahan/tadika swasta/pusat perkembangan minda (berusia empat hingga enam tahun); dan sekolah kurang murid, iaitu sekolah yang memiliki jumlah keseluruhan murid kurang daripada 150 orang.

Selain itu, menurut YB Datuk Dr. Radzi, pendekatan PdPR juga akan berbeza sebaik-baik sahaja penggiliran murid dilaksanakan kelak. Dalam hal ini, guru akan membantu murid untuk membuat persediaan apabila giliran mereka untuk PdP bersemuka tiba. Guru juga akan memberikan panduan kepada murid tentang bahan pendidikan yang akan diguna pakai dalam PdPR, selain DidikTV yang akan terus digunakan oleh murid sepanjang PdPR.

“Seperti yang saya katakan tadi, semua kaedah ini kita telah teliti satu per satu dan kita lakukan ini adalah untuk memastikan kita dapat kembalikan mereka ke sekolah terlebih dahulu,” tegas YB Datuk Dr. Radzi yang berharap semua pihak dapat memahami usaha keras KPM ini.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.