Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan Sekarang
Alor Gajah – Bertepatan dengan tema “Juara Integriti Malaysia”, Majlis Perbandaran Kluang (MPK) pada hari ini menjulang Anugerah Khas Juara Integriti dan Antirasuah 2021 dengan pencapaiannya melahirkan sebanyak 17 orang wira dalam kalangan anggota penguatkuasaan.
Menurut Presiden ACeIO, Tuan Ahmad Sabri Mohamed dalam Majlis Apresiasi Juara Antirasuah (MAJAR) bersempena dengan Kolokium Integriti dan Antirasuah 2021 pada hari ini, pegawai-pegawai ini diberikan ujian penilaian tanpa pengetahuan mereka dengan pelbagai sogokan berbentuk pemberian jawatan dan pangkat yang tinggi, wang tunai dan banyak lagi, namun sogokan mewah tersebut berjaya ditolak dengan jayanya.
Tuan Ahmad Sabri berkata, pengiktirafan dan penghargaan ini wajar diberikan kepada pejuang dan pengamal integriti serta antirasuah ini. Perkongsian pengalaman integriti dan amalan tadbir urus yang cemerlang ini perlu dijadikan contoh dan ikutan ramai.
Tambah beliau, “Kita sebagai satu keluarga Malaysia perlu memainkan peranan dalam usaha memantapkan agenda pembudayaan integriti dan pengukuhan antirasuah. Tujuannya adalah untuk melahirkan pegawai yang bertanggungjawab dalam menguruskan pentadbiran organisasi tidak kira sama ada di sektor awam mahupun swasta, serta NGO (Pertubuhan Bukan Kerajaan).”
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang, Puan Norliyati Md Nor berharap agar pencapaian yang diperoleh ini menjadi pemangkin kepada pegawai-pegawainya serta masyarakat untuk terus berusaha membanteras rasuah demi keamanan dan kesejahteraan negara.
Pembudayaan amalan integriti tidak seharusnya terhenti setakat hari ini sahaja. Kita perlulah bersama-sama mengamalkan integriti, bersikap telus serta menolak sebarang unsur rasuah dalam kehidupan, seterusnya menjadi juara integriti dan antirasuah di negara ini.