Oleh Aisyah A.
9 Februari 2022, 15:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya Bazar Ramadan di seluruh Wilayah Persekutuan dijangka dibenarkan beroperasi sepanjang bulan puasa yang menjelang awal bulan April 2022.

Menteri Wilayah Persekutuan, YB Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim menyatakan hal tersebut ketika melancarkan kempen penanaman pokok Sakura Malaysia di Presint 2, Putrajaya.

Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pengoperasian tersebut mestilah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan virus COVID-19.

Individu boleh mendaftar untuk mendapatkan lesen bagi beroperasi dalam bazar Ramadan. Para peniaga boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan hal ini melalui pengumuman yang akan dibuat dalam masa terdekat.

Tambah beliau, individu yang telah mendapat lesen hendaklah beroperasi di bazar Ramadan sendiri dan bukan mendapatkan lesen bagi pihak orang lain atau beroperasi atas lesen peniaga lain. Hal ini dikatakan demikian kerana, lesen ini dikeluarkan bagi membantu peniaga untuk berniaga, di samping meningkatkan aktiviti ekonomi di seluruh Wilayah Persekutuan.

Tahun ini, walaupun angka jangkitan masih meningkat disebabkan oleh pembukaan sempadan dan kemunculan varian baharu, namun majoriti rakyat Malaysia telah menerima vaksin bagi dos pertama dan kedua, sementara dos penggalak pula sedang giat diberikan secara menyeluruh.

Oleh itu, pengoperasian bazar Ramadan tetap dibenarkan, namun peniaga haruslah mematuhi SOP dengan ketat seperti penentuan jalan masuk dan keluar serta penjarakan fizikal bagi mengelakkan penularan yang lebih teruk.

Pada masa yang sama, Kementerian Wilayah Persekutuan akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan bilangan kes jangkitan tidak meningkat secara drastik dan terus berkurang walaupun sektor ekonomi telah dibuka sepenuhnya.

YB Shahidan turut berkata, aktiviti perniagaan mesti diteruskan, namun mesyuarat dan perhimpunan berskala besar hendaklah dielakkan kerana hal ini mampu mempercepatkan penularan jangkitan virus.

Rakyat dinasihati untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan seperti memakai pelitup muka, mensanitasi atau membasuh tangan dengan air dan sabun secara kerap, dan mengamalkan penjarakan fizikal pada setiap masa.

Selain itu, disebabkan oleh kes meningkat kepada lima angka semula baru-baru ini, KKM menyarankan agar majikan untuk meneruskan semula Dasar Bekerja Dari Rumah (BDR).

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk terus berada di rumah jika tiada keperluan yang mendesak untuk keluar bagi mengelakkan tempat yang sesak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.