Oleh Mohd Hadi Roslan
5 Mac 2022, 23:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Berang – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur yang bernaung di bawah Persatuan Sukan dan Kebudayaan KPM (MESCA) telah mengadakan misi sukarelawan untuk membantu membersihkan kawasan Sekolah Kebangsaan Sungai Berua, Kuala Berang yang terkesan akibat banjir di Hulu Terengganu pada 3 Mac lalu.

Misi ini melibatkan hampir 100 orang sukarelawan yang terdiri daripada warga DBP, Jemaah Nazir Malaysia, Jemaah Nazir Pahang, Jemaah Nazir Terengganu dan SRS Kawasan Rukun Tetangga Kampung Tok Ku, Chabang Tiga, Kuala Terengganu.

Sukarelawan DBP dan Jemaah Nazir Malaysia berkumpul sebelum ke lokasi banjir.

Pasukan sukarelawan membantu membersihkan lumpur di dalam dan di luar bilik darjah.

Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) juga turut turun padang dalam membantu para sukarelawan melaksanakan misi bantuan banjir pada kali ini. Pihak MHDT juga berbesar hati menghantar petugas bersama-sama dua buah jentolak dan lori bagi melancarkan kerja-kerja pembersihan kawasan sekolah yang terjejas teruk akibat banjir.

Jentolak memunggah sampah sarap dan lumpur ke dalam lori.

 

Lori MDHT membawa keluar sampah untuk dibuang.

Para sukarelawan melakukan tugasan membersihkan kawasan sekolah bermula dari pukul 9.00 pagi hingga pukul 5.00 petang. Sumbangan tenaga yang dihulurkan oleh para sukarelawan, bukan sahaja bertujuan untuk membantu pihak sekolah membersihkan kesan banjir, malah juga sebagai satu tanggungjawab sosial dan khidmat masyarakat oleh warga DBP sebagai sebuah agensi yang berada di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Para petugas misi sukarelawan pada kali ini juga berharap agar bantuan tenaga yang diberikan dapat meringankan beban para guru Sekolah Kebangsaan Sungai Berua, Kuala Berang. Ibarat Pepatah Melayu, “Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing”. Tambahan pula, sesi persekolahan tahun 2022 bakal bermula pada 21 Mac kelak.

Misi sukarelawan ini turut mendapat sokongan moral daripada Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran. Dalam ucapan beliau semasa majlis pelepasan sukarelawan DBP, beliau mengucapkan penghargaan dan menasihati sukarelawan agar berhati-hati semasa bertugas di tempat kejadian.

Hasil pemerhatian pasukan sukarelawan, kawasan sekolah yang terletak berhampiran dengan sungai tersebut terjejas teruk disebabkan banjir. Ketika kejadian, paras air naik dengan ketinggian sekitar empat kaki. Setelah air surut, seluruh kawasan sekolah diseliputi lumpur tebal dan sampah sarap yang dibawa arus banjir serta longgokan kayu-kayan di sekitar kawasan sekolah.

Perpustakaan, kantin, peralatan sekolah dan stesen penjanakuasa elektrik yang musnah akibat banjir.

Para sukarelawan yang terlibat bertungkus lumus dan sedaya upaya membersihkan lumpur, sampah sarap serta membuang peralatan sekolah yang rosak. Kemudahan sekolah yang rosak adalah seperti perpustakaan, bilik darjah, bilik guru dan bilik-bilik khas. Peralatan tekonologi maklumat dan komunikasi (ICT) seperti paparan hablur cecair atau LCD (liquid crystal display), komputer dan mesin pencetak juga rosak. Kerugian dianggarkan mencecah ratusan ribu ringgit.

Diharapkan warga Sekolah Kebangsaan Sungai Berua yang terkesan akibat bencana banjir ini tidak berputus asa untuk memulakan sesi persekolahan 2022 tidak lama lagi. Semoga lebih banyak bantuan dapat dihulurkan agar murid-murid yang terdiri daripada Orang Asal ini dapat kembali bersekolah seperti sediakala.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.