29 Mac 2022, 16:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Usaha untuk meningkatkan kesihatan dalam kalangan rakyat Malaysia secara amnya memfokuskan kepada sistem penjagaan kesihatan yang tersedia di dalam negara. Walau bagaimanapun, kesihatan seseorang bukan sahaja ditentukan oleh elemen sistem kesihatan itu sendiri seperti nisbah doktor, jururawat atau bilangan kemudahan kesihatan kepada penduduk, namun perhatian perlu diberikan kepada faktor lain yang boleh menentukan kesihatan seseorang seperti faktor sosial, ekonomi dan persekitaran. Faktor tersebut dinamakan sebagai “penentu sosial kesihatan”.

Apakah Penentu Sosial Kesihatan?

Menurut Persatuan Kesihatan Dunia (WHO), penentu sosial kesihatan juga dikenali sebagai The Social Determinants of Health, yang merupakan faktor di luar bidang perubatan yang mempengaruhi atau menentukan tahap kesihatan seseorang. Hal ini bermaksud adalah sesuatu keadaan dalam persekitaran apabila seseorang itu dilahirkan, membesar, bermain, belajar, bekerja, beribadah, usia dan menjalani kehidupan yang dapat mempengaruhi kualiti hidup dan kesihatan seseorang. Antaranya termasuklah faktor seperti status sosioekonomi, pendidikan, perumahan, persekitaran, pekerjaan, sokongan sosial dan juga akses kepada sistem kesihatan.

Kepentingan Penentu Sosial Kesihatan

Penentu sosial kesihatan merupakan elemen yang sangat penting dalam usaha untuk meningkatkan kesihatan dan merapatkan jurang ketidaksamaan kesihatan sesebuah masyarakat. Walaupun sistem penjagaan kesihatan sesebuah negara itu baik, namun perkara tersebut bukanlah satu-satunya penentu bahawa masyarakatnya mempunyai kesihatan yang baik.

Berdasarkan kajian, didapati bahawa hasil kesihatan seseorang atau masyarakat itu ditentukan daripada pelbagai faktor penyumbang seperti genetik, amalan sikap kesihatan dan faktor sosial serta persekitaran. Kajian juga mendapati bahawa sikap dan amalan kesihatan seperti merokok, pemakanan, aktiviti fizikal dan status sosioekonomi itu menjadi pemacu utama dalam menentukan hasil atau tahap kesihatan seseorang.

Pada masa yang sama, faktor sosial dan ekonomi juga membentuk amalan dan sikap seseorang itu dalam menguruskan kesihatan mereka. Sebagai contoh, kanak-kanak yang lahir dari latar belakang keluarga yang susah dan mempunyai taraf pendidikan yang rendah adalah lebih cenderung untuk hidup dalam persekitaran yang tidak kondusif seperti keadaan perumahan yang tidak selamat, kotor, sesak dan kekurangan kemudahan awam. Keadaan seumpama ini berpotensi untuk merencatkan perkembangan kanak-kanak tersebut dari segi fizikal, mental dan emosi mereka. Pemerhatian lain juga menunjukkan apabila semakin rendah taraf sosioekonomi seseorang itu, maka taraf kesihatan mereka juga akan merudum.

Faktor Penentu Sosial Kesihatan

1) Kestabilan Ekonomi

Kestabilan dan kemaslahatan ekonomi antara satu daripada faktor utama untuk menentukan kesihatan seseorang. Di Malaysia, hampir enam peratus masyarakat hidup dalam kemiskinan dan kebanyakannya tidak mempunyai keperluan asas yang mencukupi seperti makanan sihat, penjagaan kesihatan dan perumahan yang selamat.

Individu yang tidak mempunyai pekerjaan atau pendapatan yang stabil juga dilaporkan lebih cenderung untuk hidup dalam kemiskinan dan tidak sihat. Tambahan pula, individu kurang upaya atau mempunyai penyakit juga berisiko dari sudut ekonomi dan kesihatan, disebabkan oleh keupayaan mereka untuk bekerja lebih terbatas dan sukar atau tidak mempunyai pekerjaan.

2) Persekitaran

Persekitaran tempat tinggal dapat memberikan kesan besar kepada tahap kesihatan dan kemaslahatan. Di Malaysia, ramai golongan masyarakat dari latar belakang sosioekonomi rendah, terutamanya golongan miskin bandar, tinggal di perumahan atau kejiranan yang tidak selamat, kotor, sesak dan tidak mempunyai kemudahan asas yang sepatutnya. Masalah ini tidak hanya berlaku dalam kalangan golongan bersosioekonomi rendah, malah turut berlaku dalam kalangan masyarakat vulnerable, seperti pendatang asing dan orang gelandangan. Persekitaran seumpama itu cenderung untuk mendatangkan kesan buruk terhadap kesihatan penduduk dari segi fizikal, mental dan sosial.

3) Pendidikan

Tahap pendidikan seseorang juga mempunyai peranan yang besar dalam menentukan kesihatan. Pemerhatian lepas menunjukkan individu yang mempunyai pendidikan yang lebih tinggi cenderung untuk menjadi lebih sihat dan mempunyai  jangka hayat yang lebih panjang. Sebagai contoh, kanak-kanak yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti seperti kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah, kanak-kanak kurang upaya, dan kanak-kanak yang selalu berdepan dengan sebarang bentuk diskriminasi sosial (seperti kes buli), lebih sukar untuk mengikuti proses pembelajaran. Mereka berisiko untuk tidak menamatkan persekolahan dan tidak dapat meneruskan pembelajaran ke peringkat seterusnya seperti institusi pengajian tinggi. Hal ini menyebabkan mereka sukar untuk mencari pekerjaan atau hanya mampu bekerja dengan pendapatan yang rendah, lantas lebih cenderung untuk mendapat masalah kesihatan seperti penyakit jantung, kencing manis dan kemurungan.

4) Komuniti dan Sosial

Hubungan dan interaksi seseorang dengan ahli keluarga, rakan, rakan sekerja dan ahli komuniti mempunyai impak yang besar dalam menentukan kesihatan dan kemaslahatan seseorang. Ramai orang berdepan cabaran dan kesukaran yang tidak mereka minta atau dielakkan seperti terpaksa tinggal di kejiranan yang tidak selamat, berdepan dengan diskriminasi, mempunyai konflik dengan orang lain atau mempunyai masalah untuk mendapatkan keperluan asas. Hal ini dikatakan demikian memberikan impak negatif kepada kesihatan dan keselamatan seseorang sepanjang hidupnya. Hubungan dan interaksi yang sihat serta positif di rumah, tempat kerja, dan komuniti dapat mengurangkan kesan negatif terhadap kesihatan.

Walau bagaimanapun, sesetengah golongan yang kurang bernasib baik seperti kanak-kanak dari kekeluargaan yang bermasalah atau keluarga yang terpaksa berdepan dengan diskriminasi sosial (seperti perkauman) akan lebih cenderung untuk tidak mendapat kasih sayang atau sokongan moral yang sepatutnya daripada kalangan ahli keluarga dan masyarakat. Oleh itu, pendekatan yang sepatutnya penting untuk membantu golongan tersebut mendapat sokongan komuniti dan sosial yang diperlukan bagi meningkatkan tahap kesihatan dan kemaslahatan mereka.

5) Sistem Kesihatan

Akses kepada sistem dan kemudahan kesihatan yang tersedia, berkualiti dan tidak membebankan dapat menentukan kesihatan dan kemaslahatan seseorang. Sistem kesihatan di Malaysia terdiri daripada sistem penjagaan kesihatan awam dan swasta, yakni rakyat mempunyai pilihan sama ada mendapatkan rawatan kesihatan di sektor awam atau swasta. Kos rawatan yang murah dan mempunyai subsidi kerajaan menjadi pilihan utama golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk mendapatkan rawatan di kesihatan sektor awam, manakala golongan yang mampu dan berpendapatan tinggi lebih cenderung untuk memilih kesihatan sektor swasta.

Namun begitu, faktor seperti masa menunggu yang singkat, kualiti dan mutu servis kesihatan yang lebih baik, serta kemudahan yang canggih di kemudahan swasta mendorong bukan sahaja golongan berpendapatan tinggi, malah juga daripada golongan berpendapatan sederhana dan rendah untuk menggunakan kemudahan tersebut. Kemudahan kesihatan swasta seperti klinik dan farmasi juga adalah lebih banyak dibandingkan dengan kemudahan di pusat perubatan awam, yakni lebih mudah untuk di akses oleh segenap masyarakat tidak kira tempat, masa dan waktu. Walau bagaimanapun, trend sedemikian tidak kondusif dan boleh membebankan golongan berpendapatan rendah, terutamanya melibatkan kewangan kerana mereka terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk mendapatkan servis kesihatan seperti kos membeli ubat-ubatan, konsultasi doktor dan sebagainya.

Akses kepada kemudahan kesihatan juga terhad kepada sesetengah golongan masyarakat di Malaysia, terutamanya bagi individu atau komuniti yang tinggal di kawasan pedalaman, iaitu kedua-dua kemudahan kesihatan awam atau swasta adalah sangat terhad disebabkan oleh faktor geografi, kekurangan pekerja kesihatan dan sebagainya. Masalah akses kepada kesihatan juga dihadapi oleh golongan vulnerable seperti pendatang asing, pelarian, orang kurang upaya, dan golongan berisiko seperti pekerja seks komersial.

6) Inisiatif untuk Menangani Penentu Sosial Kesihatan

Usaha untuk menangani penentu sosial kesihatan dengan sebaik-baiknya adalah wajar untuk meningkatkan tahap kesihatan dan merapatkan jurang ketidaksamaan kesihatan dalam kalangan masyarakat. Antara inisiatif yang boleh diambil adalah seperti berikut:

  • Memajukan tahap sosioekonomi dan persekitaran kehidupan masyarakat seperti memperbanyak peluang pekerjaan, kaunseling kerjayadan polisi yang dapat membantu rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dalam usaha untuk meningkatkan kesihatan dan kemaslahatan mereka (kos sara hidup, makanan, perubatan, pendidikan dan sebagainya).
  • Polisi dan intervensi pada peringkat daerah, negeri dan nasional dalam mempromosi budaya yang sihat dan selamat, seperti meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kesihatan.
  • Menyediakan infrastruktur perumahan, pendidikandan kemudahan awam yang kondusif dan selamat seperti menyediakan laluan khusus untuk pejalan kaki dan basikal.
  • Intervensi terhadap pendidikan, yaknigolongan kanak-kanak dan remaja mempunyai akses kepada sistem pendidikan yang berkualiti.
  • Intervensi terhadap komuniti dan sosial untuk menghasilkan komuniti yang sihat, selamat, harmoni dan bersatu-padu secara menyeluruh, tidak kira pada status sosioekonomi, kaum dan agama.
  • Menyediakan struktur dan polisi kesihatan yang saksama, inklusif, berkualiti dan tidak membebankan seperti bantuan galakan pembiayaan dan pemeriksaan kesihatan dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah (Skim PEKA B40 dan insurans kesihatan MySalam).

Namun begitu, tidak dinafikan bahawa usaha untuk menangani isu ketidaksamaan kesihatan melalui penentu sosial kesihatan merupakan isu yang kompleks dan pelbagai cabaran harus ditempuhi. Oleh itu, usaha tersebut memerlukan komitmen dan kerjasama daripada pemegang taruh yang terlibat di dalam dan luar sektor perubatan, seperti kerajaan, pemimpin politik, ahli profesional kesihatan, ahli akademik dan masyarakat umum.

Secara tuntas, sebuah negara akan menjadi negara maju dan membangun apabila rakyatnya hidup dalam persekitaran sihat. Sistem perkhidmatan kesihatan di sebuah negara itu hanya satu daripada pelbagai dimensi yang boleh menentukan tahap kesihatan dan kemaslahatan rakyatnya, yakni faktor lain seperti penentu sosial kesihatan perlu untuk diambil kira.


Dr. Mohamed Fakhri Abu Baharin, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pensyarah Kanan Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.