14 Mei 2022, 21:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bachok – Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2022 pastinya tidak lengkap tanpa sesi forum yang saban tahun menjadi platform bagi golongan pendidik berkongsi pendapat dan ilmu dalam bidang masing-masing. Berpaksikan pendekatan Sekolahku SEJAHTERA seperti yang dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), forum ini mengupas harapan warga pendidik untuk melahirkan generasi muda yang hebat dan mampu bersaing pada peringkat dunia melalui amalan baik di sekolah.

Forum Hari Guru 2022 yang diadakan pada hari ini bertempat di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kampus Bachok menampilkan tiga orang ahli panel yang arif dalam bidang pendidikan, komunikasi dan perundangan, iaitu YBhg. Profesor Dato’ Dr. Md. Amin Md. Taff, Naib Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), YBhg. Profesor Dato’ Dr. Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad, Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan YBhg. Prof. Madya Dr. Ramalinggam Rajamanickam, Pensyarah, Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Forum ini dikendalikan oleh YBrs. Dr. Mardiana Ab. Jabar, Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Warisan, Fakulti Teknologi dan Warisan, UMK.

Forum pada kali ini mengupas tentang tema hari guru tahun 2022, iaitu “Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA”. Antara inti pati perbincangan tersebut termasuklah peranan guru dalam memupuk dan membentuk masyarakat yang boleh berfikir secara rasional dan menitikberatkan keharmonian kerana guru mampu mencorakkan pemikiran murid ke arah perpaduan dan kemakmuran negara. Hal Ini boleh dicapai melalui penjiwaan terhadap 14 elemen penting dalam konsep Sekolahku SEJAHTERA yang memerlukan guru menerapkan nilai murni secara semula jadi melalui pelbagai platform komunikasi demi kelangsungan pendidikan murid.

YBhg. Profesor Dato’ Dr. Md. Amin Md. Taff, Naib Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dalam hujahnya mengatakan bahawa “Adab sopan, merupakan nilai yang harus ditekankan, diterapkan, dan dikembangkan dengan sebaik-baiknya agar generasi pada hari ini menjadi generasi yang beradab dan generasi yang bersopan, seterusnya menghormati sekalian insan”.

YBhg. Profesor Dato’ Dr. Md. Amin Md. Taff, Naib Canselor, UPSI.

Menurut beliau lagi, “Sekolah merupakan katalis pembentukan masyarakat, iaitu di sekolahlah asas ilmu kehidupan diterapkan, di sekolahlah minda generasi masa hadapan dilukiskan, di sekolahlah murid mengawal, mengenal pergaulan dan keinsanan, serta di sekolahlah kecemerlangan sesebuah negara dipertingkatkan. Sehubungan dengan itu, sekolah yang sejahtera adalah medan kelangsungan sesebuah negara dan golongan guru adalah tunjang dan pencetusnya kerana pendidikan merupakan suatu usaha yang berterusan untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari sudut rohani, jasmani, emosi dan intelek”.

Seterusnya, menurut YBhg. Profesor Dato’ Dr. Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad, Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) pula berpandangan bahawa, “Apa-apa yang patut dilakukan oleh guru dalam usaha untuk mencorakkan dan mengolah pemikiran murid ke arah perpaduan negara termasuklah yang pertama, guru sendiri perlu menjadi suri teladan dalam soal perpaduan kerana kita sedia maklum bahawa pelajar atau murid itu lebih mudah mengikut apa-apa yang diteladani oleh gurunya. Yang kedua, guru itu sendiri hendaklah sentiasa mempunyai pemikiran ke arah perpaduan, sentiasa berfikir cara untuk menyatupadukan murid dan yang ketiga, guru sendiri bertindak sebagai pencetus kepada usaha perpaduan.”

YBhg. Profesor Dato’ Dr. Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad, Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM.

Tambah beliau, ketiga-tiga perkara ini dapat dizahirkan melalui penerapan nilai perpaduan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti kokurikulum di sekolah. Kebijaksanaan seorang guru itu amat penting dalam usaha memberikan pengajaran yang bermakna kepada anak muridnya. Guru mesti mampu berkomunikasi dengan baik dan boleh menyampaikan idealismenya, hasratnya dan juga perasaannya demi membantu anak muridnya itu menjadi manusia yang berguna.

Pandangan seterusnya disuarakan oleh YBhg. Prof. Madya Dr. Ramalinggam Rajamanickam, Pensyarah, Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan menyatakan bahawa dalam membentuk sahsiah dan keperibadian murid untuk mematuhi peraturan sekolah, peranan guru sangat penting. Guru bukan sahaja perlu mengajar, malah perlu memastikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan menjadi dasar kepada pembentukan sahsiah murid-murid di sekolah.

YBhg. Prof. Madya Dr. Ramalinggam Rajamanickam, Pensyarah, Fakulti Undang-undang, UKM.

Menurut beliau lagi, “Dari segi undang-undang, murid-murid dianggap sebagai kanak-kanak kerana mereka berumur di bawah 18 tahun mengikut lunas undang-undang. Oleh itu, kita perlu mendidik mereka seperti anak-anak kita kerana guru-guru ini dianggap sebagai ibu bapa gantian dari segi undang-undang, iaitu guru berfungsi sebagai individu yang menggantikan ibu bapa di sekolah. Maka itu, kita perlu mendidik anak-anak murid seperti mana kita mendidik anak-anak sendiri. Dalam konteks ini, pembentukan sahsiah itu amat penting kerana sahsiah inilah yang akan membangunkan negara dan bangsa kita. Tanggungjawab membentuk disiplin, membentuk sahsiah menjadi tanggungjawab kita bersama.”

“Oleh itu, setiap guru perlu mengetahui, memahami dan menghayati peraturan sekolah terlebih dahulu sebelum menyuruh murid-murid mematuhi peraturan sekolah.  Penerangan untuk peraturan sekolah perlu dibuat secara berkala kepada murid-murid. Pembentukan sahsiah pada peringkat sekolah itu bermula dengan pematuhan kepada peraturan sekolah yang telah digubal. Selain itu, guru perlu mengenal pasti masalah disiplin yang kerap berlaku, kenal pasti kelompok murid yang melakukan masalah tersebut, selain menangani masalah disiplin secara berkelompok, secara khusus dan secara rinci.”

Dalam sesi rumusan akhir, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Md. Amin Md. Taff mengatakan bahawa, “Sekolah bukan milik guru, sekolah bukan milik pengetua, sekolah juga bukanlah milik PPD, tetapi sekolah adalah milik masyarakat. Sehubungan dengan itu, bagi merealisasikan tema hari guru pada hari ini, kita perlu bersama-sama membantu kaum guru menjadikan sekolah sebagai tempat yang sejahtera kerana keadaan ini akan melahirkan ekosistem yang seimbang dan akan memberikan manfaat kepada semua. Hal ini dapat melahirkan Keluarga Malaysia yang seimbang dan berjasa kepada negara”.

Tambah beliau, “Tiga inisiatif besar sedang dilaksanakan oleh pihak UPSI, iaitu pertama, proses pengambilan pelajar secara holistik, bukan sahaja hanya bergantung pada ‘A’ semata-mata. Kedua, UPSI telah menubuhkan sebuah pusat pembelajaran pedagogi dan inovasi pendidikan untuk guru-guru melanjutkan pelajaran atau meneruskan pengajian dan ketiga, program sukarelawan supaya ibu bapa dapat sama-sama berkhidmat di sekolah, sekali gus mampu membina jaringan dan kefahaman ibu  bapa terhadap cabaran sebenar yang berlaku di sekolah.”

YBhg. Profesor Dato’ Dr. Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad pula merumuskan bahawa, “Kalau sekolah hendak SEJAHTERA, maka guru juga perlu sejahtera.” Soal beliau, “Bagaimanakah guru hendak sejahtera? Kesampingkan, ketepikan perkara-perkara yang boleh menggugat kesejahteraan guru.” Beliau turut berkongsikan sebuah hadis, sebagai peringatan kepada para guru, iaitu hadis riwayat Abu Umamah, yang bermaksud bahawa Rasulullah SAW bersabda,“Sesungguhnya Allah SWT, para malaikat, dan semua penduduk di langit dan di bumi, sehinggakan semut di sarangnya dan ikan (di lautan) pasti berselawat (mendoakan) kebaikan bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.” Hadis riwayat al-Tirmizi, no. 2609.

YBhg. Prof. Madya Dr. Ramalinggam Rajamanickam pula merumuskan bahawa, “Kalau kita boleh mendidik orang dan boleh menjadikan orang itu bangun dari aspek ekonomi, sosial dan pembangunan negara, maka kita boleh sentiasa menjaga diri kita dan sentiasa boleh memastikan diri kita bahagia. Walaupun cabarannya begitu besar, pastikan kebahagian ini sentiasa menjadi keutamaan sambil kita memenuhi aspirasi negara dan bangsa.” Menurut beliau lagi, “Orang yang berilmu, ilmunya tidak boleh dirampas, ilmunya tidak akan hilang, itu sebabnya tahap sanjungan kepada orang yang berilmu itu sangat tinggi. Akan tetapi, sentiasalah ingat bahawa dalam berilmu ikutlah resmi padi, iaitu semakin berisi semakin tunduk.”

Secara keseluruhannya, forum ini dapat merungkaikan tema “Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA” melalui budaya pembelajaran sepanjang hayat. Setiap guru perlu sentiasa peka akan perkembangan semasa untuk mengadaptasi teknologi dalam penyampaian ilmu dan pengukuhan pengetahuan dari semasa ke semasa. Jasa insan bergelar pendidik ini amat besar dan setiap orang mengetahui pengorbanan guru dalam mendidik, membimbing, serta membentuk keperibadian dan keterampilan anak bangsa untuk menjadi manusia berguna.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.