Oleh Mubarak Ismail
25 Jun 2022, 13:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan dan Padang serta perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18(2) ke-10 pada hari ini.

Dalam majlis tersebut, Dr. Radzi Jidin berkata, penambahan sekolah baharu perlu dilaksanakan setelah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapati jumlah penduduk di sesetengah kawasan perumahan semakin meningkat dengan mendadak dan pembangunan perumahan di kawasan tersebut berlaku dengan cepat.

Menurut Dr. Radzi Jidin, KPM memberikan keutamaan untuk membuka sekolah baharu di kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi seperti di Klang, Selangor dan beberapa buah kawasan di Johor.

Selain itu, KPM juga sedang berusaha mencari lokasi yang sesuai untuk pembinaan sekolah baharu di kawasan-kawasan tersebut memandangkan kesukaran mendapatkan tanah merupakan antara kekangan yang sedang dihadapi oleh KPM.

Datuk Dr. Radzi Jidin merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan dan Padang serta perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18(2) ke-10.

“KPM juga mengambil pendekatan dengan memberikan tumpuan untuk membina sekolah baharu di kawasan-kawasan ini dengan purata 10 buah sekolah baharu dibina setiap tahun,” kata Dr. Radzi Jidin

Sehubungan dengan itu, pembinaan sekolah baharu akan mengurangkan tekanan dan kepadatan pelajar yang dihadapi oleh sekolah-sekolah yang telah sedia ada, khususnya sekolah rendah.

“Beberapa usaha telah dilakukan oleh KPM untuk mewujudkan sekolah-sekolah baharu di kawasan ini. Walau bagaimanapun, isu mencari dan mendapatkan tanah yang sesuai di kawasan-kawasan yang padat dengan penduduk ini menjadi kekangan utama KPM,” ujar Dr. Radzi Jidin.

Jelas Dr. Radzi Jidin lagi, kawasan yang dipilih untuk dibina sekolah baharu perlulah bersesuaian, strategik dan berdekatan dengan kawasan perumahan di samping laluan masuk ke kawasan sekolah yang mudah untuk para guru dan kakitangan sekolah, pelajar dan ibu bapa.

Dalam majlis yang sama, Dr. Radzi Jidin turut menyatakan bahawa KPM akan mengkaji kurikulum pendidikan sekolah rendah yang didakwa beraras tinggi dan sukar bagi pelajar untuk menguasai subjek tertentu.

“Sehubungan dengan itu, semakan semula kurikulum sekolah rendah dan menengah akan dilaksanakan berikutan pusingan pertama Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) tamat pada tahun ini, manakala Kurikulum Standard Sekolah Menengah(KSSR) pula telah tamat pada tahun lepas,” jelas Dr. Radzi Jidin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.