19 Julai 2022, 10:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menzahirkan rasa bangga dengan penglibatan pelajar di negeri Perlis ketika menyertai “Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) Siri Ke-10: Program Titian Kasih” yang telah berlangsung secara dalam talian pada 30 Jun 2022, baru-baru ini.

Baginda bertitah, pelibatan pelajar yang aktif ini menunjukkan bahawa mereka amat peka terhadap isu semasa, khususnya berkaitan dengan pengetahuan am, ilmu tentang negeri sendiri, budaya dan kearifan tempatan.

Melalui titahnya, baginda menyatakan bahawa pihak berwajib hendaklah berusaha memastikan persekitaran bidang pendidikan yang lebih inklusif dan berdaya maju.

DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ketika bertitah dalam Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) Siri Ke-10: Program Titian Kasih.

Pelibatan ini amat digalakkan untuk memberi peluang kepada diri mereka sendiri merasai pengalaman kehidupan yang diterapkan melalui Program Titian Kasih bertemakan ‘Perlis Hebat! Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Segala Tindakan’ tersebut.

Dalam webinar berkenaan, DYTM Raja Puan Muda Perlis merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Naharudeen Othman, atas kerjasama dan komitmen yang tidak terhingga yang diberikan.

Tidak ketinggalan juga, DYTM Raja Puan Muda Perlis juga berterima kasih kepada guru yang banyak berkongsi pengalaman masing-masing untuk dimanfaatkan oleh pelajar kelak. Menurutnya lagi,

Komitmen guru demi menyediakan anak-anak pelajar dalam menghadapi cabaran global adalah sangat membanggakan.

DYTM Raja Puan Muda Perlis turut berkenan menyempurnakan sesi menandatangani surat ucapan terima kasih kepada semua fasilitator dan barisan urus setia yang terlibat dalam menjayakan webinar khas anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dengan kerjasama YTF dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis itu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.