Oleh Suyuthi Yusuf
12 Ogos 2022, 17:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia dan Indonesia merupakan negara serumpun yang memiliki banyak persamaan daripada aspek bahasa dan kebudayaan. Persamaan yang wujud ini membolehkan kedua-dua negara menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang demi kemakmuran dan kemajuan bersama. Segala bentuk kerjasama, aktiviti dan tindakan yang dilakukan bukan sahaja akan lebih mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara, bahkan boleh menjadi contoh dan teladan kepada negara lain.

Atas dasar semangat persaudaraan dan muhibah tersebut, Dewan Perwakilan Daerah Republik Indonesia (DPD RI) telah berkunjung ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada pagi tadi. Kunjungan hormat ini diadakan bagi membina potensi kerjasama yang boleh dilakukan dalam bidang bahasa, kesusasteraan dan persuratan Melayu. Sebanyak 10 orang delegasi DPD RI hadir ke DBP yang diketuai oleh Dr. Richard Hamonangan Pasaribu yang merupakan Timbalan Ketua Pengarah BSKP DPD. Antara anggota BKSP DPD RI lain yang turut hadir ialah Evi Epita Maya, Erlinawati, H. Nanang Sulaiman, Ir Abraham Liyanto, Lily Amelia Salurapa, M. Ikhsan Dedy Hasibuan, Dian Ayu Fitria, Rido Illahi Siregar dan Berhan Akta.

Delegasi Dewan Perwakilan Daerah Republik Indonesia yang melakukan kunjungan hormat ke DBP.

Dalam sesi kunjungan hormat tersebut, pihak pengurusan tertinggi DBP diketuai oleh Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP saling bertukar pandangan dan berkongi pengalaman tentang pelbagai perkara, terutamanya yang berkaitan dengan kebahasaan, kesusasteraan dan kebudayaan masing-masing.

Menyentuh peranan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia dalam mengembangkan minda dan intelektual masyarakat, masing-masing bersetuju bahawa banyak cabaran yang perlu ditempuh dalam menjamin kelangsungan bahasa ibunda masing-masing. Hal ini juga turut disentuh oleh Datuk Abang Sallehuddin ketika membicarakan kelangsungan bahasa kebangsaan:

Bahasa Melayu mesti digunakan dalam urusan rasmi kerajaan. Bagaimanapun, masih terdapat halangan dan cabaran tertentu buat kami (DBP) yang perlu dihadapi dalam mengembangkan bahasa Melayu, terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP ketika memberikan pandangan tentang bahasa Melayu kepada para delegasi.

Selain itu, beliau juga melihat potensi dan kerjasama yang boleh dilakukan berkaitan dengan usaha untuk mengembangkan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia, terutamanya dalam aspek penerbitan. Penerbitan dalam bidang terjemahan merupakan ruang dan peluang besar buat kedua-dua negara.

Kerjasama dalam kegiatan penerbitan terjemahan boleh dilakukan antara Malaysia dengan Indonesia dengan melibatkan penerbit-penerbit tertentu. Hal ini sudah semestinya akan memeriahkan industri perbukuan kedua-dua negara berkaitan dengan kegiatan penterjemahan.

Selain itu, kedua-dua pihak juga melihat kaedah dan cara tertentu yang tidak konvensional dalam mengembangkan bahasa kebangsaan masing-masing. Hal ini termasuklah usaha menarik minat golongan kanak-kanak supaya mencintai bahasa ibunda mereka sendiri. Pihak delegasi tersebut menyatakan kekaguman mereka kepada kejayaan siri animasi Upin dan Ipin yang bukan sahaja mengangkat keindahan bahasa, malah membuktikan bahawa bahasa boleh berkembang dan dicintai melalui gaya penceritaan dan dialog dalam animasi tersebut. Kejayaan animasi tersebut dalam menarik minat golongan kanak-kanak di Indonesia juga menunjukkan bahawa banyak aspek bahasa dan kebudayaan yang boleh dikongsi bersama.

Salah seorang wakil delegasi sedang berkongsi pendapatnya.

Selain itu, kedua-dua pihak juga menyentuh tentang pentingnya mengangkat penulis sastera negara masing-masing ke peringkat antarabangsa. Contohnya penulis terkenal Indonesia, Pramoedya Ananta Toer pernah diusulkan untuk anugerah sastera tertinggi peringkat antarabangsa, iaitu Nobel Prize. Hal tersebut merupakan salah satu contoh kebanggaan bersama kedua-dua negara.

Sesi kunjungan hormat tersebut juga membincangkan hubungan kerjasama yang boleh diterokai melalui bidang pendidikan di universiti. Pertukaran mahasiswa, dan festival kebahasaan, kebudayaan dan kesusasteraan merupakan antara program yang boleh dilakukan bukan sahaja boleh mengeratkan hubungan negara serumpun, tetapi juga boleh mengangkat universiti masing-masing ke peringkat dunia.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Tuan Haji Abd Halim Haji Harun, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, dan Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Penerbitan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.