20 Oktober 2022, 14:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Wanita dalam era globalisasi kini berdepan dengan pelbagai isu dan cabaran dalam usaha untuk bersama-sama membangunkan negara. Wanita sering kali dianggap sinonim dengan pemikiran tradisional dan konservatif yang masih mendukung konsep patriarki, iaitu sistem masyarakat yang sebahagian besar kekuasaannya dipegang oleh kaum lelaki.

Sehubungan dengan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Yayasan Tuanku Fauziah telah menganjurkan Seminar “Wanita dalam Pembangunan Negara” yang diadakan di Sanggar Tun Sri Lanang, Menara DBP, pada hari ini. Seminar ini disempurnakan perasmiannya oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Seminar yang diadakan ini bertujuan untuk membawa semangat wanita dalam menongkah perspektif yang dikatakan menafikan peluang dan hak wanita dalam pelbagai ruang dan bidang, khususnya dalam aspek pembangunan negara.

Sebanyak empat orang ahli panel telah membentangkan kertas kerja masing-masing, iaitu Profesor Datuk Dr. Harlina Halizah Siraj, Penaung Akademi Dr. HAR; Profesor Datin Dr. Ruzy Suliza Hashim, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Puan Rozana Abdullah, Pegawai Penyelidik Parlimen dan Profesor Datuk Dr. Azizan Baharuddin, Pengarah Pusat Dialog Peradaban. Seminar ini turut menampilkan Profesor Madya Dr. Sharifah Syahirah S. Shikh, Pensyarah Kanan, Kolej Universiti Poly-Tech Mara sebagai moderator.

Raja Muda Perlis (tengah) bergambar bersama-sama tetamu kehormat serta ahli panel seminar.

Pembentangan kertas kerja pertama oleh Profesor Datuk Dr. Harlina Halizah Siraj membawa persoalan tentang kepentingan pelibatan wanita dalam pembangunan negara dalam usaha mencapai cita-cita Rukun Negara dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 5: Mencapai Kesamaan Jantina dan Memperkasakan Semua Golongan Wanita. Menurut Profesor Datuk Dr. Harlina Halizah, pelibatan wanita adalah sangat penting supaya dapat menyumbang bakti dengan bakat dan potensi sedia ada, merapatkan jurang gender dan memberikan wanita peluang memimpin daripada barisan hadapan. Berkongsi data yang diperoleh, jurang gender dari sudut pendidikan dan kesihatan dilihat bertambah baik walaupun perlahan, namun dari sudut ekonomi dan politik masih sangat rendah.

Jika lebih ramai wanita ada di meja perundingan, maka tentu sekali suara wanita akan dapat didengar dan pandangan wanita akan dapat diambil.

Sehubungan dengan itu, beliau turut berkongsi kaedah meningkatkan kesedaran diri wanita kerana perlunya refleksi dan muhasabah diri untuk wanita mengenali kekuatan dan kelemahan diri, mengubah kerangka fikir melalui pembelajaran sepanjang hayat, mendapatkan keseimbangan hidup serta memahami konsep kesetaraan dan kesaksamaan gender. Beliau turut menekankan bahawa wanita perlu menghargai peluang untuk mentransformasikan diri dan perlu keluar dari zon selesa masing-masing, seterusnya menyeru semua wanita untuk mengambil bahagian dan berkolaborasi dengan kaum lelaki dalam mendukung kesetaraan gender.

Pembentangan kertas kerja kedua pula diteruskan oleh Profesor Datin Dr. Ruzy Suliza Hashim dengan mengetengahkan tajuk “Bajet Peka Gender: Ke Arah Kesetaraan Gender dan Pengupayaan Wanita”. Mengulas manfaat pembentangan belanjawan lima tahun kebelakangan ini untuk wanita, Profesor Datin Dr. Ruzy Suliza secara ringkas mengulas mengenai negara yang menitikberatkan belanjawan peka gender dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan dan kesihatan terbaik khususnya melibatkan wanita. Beliau menyeru agar penilaian pengurusan dasar dan belanjawan tersebut dilaksanakan agar dapat melihat permasalahan yang masih belum diselesaikan berkaitan dengan struktur pengagihan, seterusnya dapat memanfaatkan peranan wanita dalam usaha mendukung pembangunan negara.

Panel ketiga ialah Puan Rozana Abdullah, iaitu Pegawai Penyelidik Parlimen (Bidang Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial) yang banyak menulis jurnal dan buku yang berkaitan dengan wanita. Tajuk kertas kerja beliau ialah “Dinamika Kepimpinan Politik Wanita dalam Pembangunan Negara”. Beliau berkata bahawa seseorang wanita itu akan menjadi luar biasa ketika dia berhasil mengajari dirinya bahawa semua sumber kekuatan, kebahagiaan dan motivasi itu ada dalam dirinya sendiri.

Menurut beliau, jurang gender masih melebar terutamanya dalam bidang politik dan pelibatan wanita masih terikat dengan komitmen melalui matlamat mapan, iaitu lima matlamat termasuklah dalam konteks politik dan ekonomi. Hanya 30 peratus sahaja wanita yang terlibat dalam bidang politik dan ekonomi. Hal ini menyebabkan kedudukan wanita dalam politik dan ekonomi di Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding dengan negara jiran lain termasuklah Singapura.

Dalam konteks Parlimen di Malaysia, “suara” wanita masih ketinggalan jauh berbanding dengan “suara” lelaki. Pada ketika ini, penyertaan wanita dalam Parlimen hanyalah sebanyak 15 peratus sahaja. Tambah beliau, pada tahun 2019, sudah ada kecenderungan wanita dalam isu kekeluargaan oleh ahli Parlimen wanita. Menurut beliau lagi, jumlah kerusi wanita dalam Parlimen perlu ditingkatkan lagi supaya isu-isu yang berkaitan dengan wanita dapat diubah dan diperbaik termasuklah isu gangguan seksual yang menjadi kekangan utama pelibatan wanita dalam politik, ekonomi dan pembangunan. Kekangan ini sepatutnya perlu ditangani dengan segera.

Tambah beliau, di Malaysia sudah ada akta yang merapatkan jurang gender antara lelaki dengan wanita. Namun begitu, pelaksanaannya masih belum utuh lagi. Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan agar penambahan kuota perlu diadakan di Malaysia untuk merancakkan lagi penyertaan wanita di Parlimen. Sistem kuota ini sudah dilaksanakan di Jerman, Thailand, Filipina dan lain-lain. Beliau juga mencadangkan agar jawatan yang berkuasa tinggi seperti jawatan Menteri Pertahanan contohnya perlu diberikan tanggungjawabnya kepada wanita untuk menampilkan dan mengangkat kewibawaan wanita.

Panel keempat dan terakhir pula ialah Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin, iaitu Pengarah Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya (Dialog antara Budaya, Tamadun, Agama dan Etika Alam Sekitar) telah membicarakan topik yang berkaitan dengan pembabitan wanita dalam pembangunan negara, isu-isu kebajikan dan isu keganasan terhadap wanita.

Tambah beliau, wanita perlu mencipta imej yang disukainya dan bukan dicipta oleh orang lain, dan inilah yang melestarikan kaum wanita. Selain itu, jelas beliau lagi bahawa wanita mempunyai kekuatan yang tersendiri termasuklah mampu mengutamakan keluarga dalam segala perkara. Peranan wanita jika dilihat dalam Islam dan al-Quran tidak pernah terkebelakang kedudukannya. Dalam al-Quran, tiada isu persaingan antara lelaki dengan wanita dan sepatutnya mereka saling membantu.

Selain itu, wanita perlu diberikan keadilan dan perlu diberikan peluang memilih untuk mengikuti pilihannya sendiri. Wanita juga perlu diberikan harga diri dan diiktiraf supaya wanita dapat menjadi manusia yang mempunyai potensi diri. “Seharusnya, kita bukan sahaja perlu mempunyai tokoh atau model wanita yang boleh dicontohi oleh wanita di seluruh dunia, malah wanita perlu membina imej yang selesa dengan diri sendiri yang boleh memberikan impak kepada semua orang.,” jelas beliau semasa mengakhiri sesi seminar tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.