Oleh Abd Razak Osman
1 Disember 2022, 20:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
UUM terima Pensijilan MS ISO 9001 di Dewan Senat UUM.

Alor Setar – Bagi meningkatkan sistem pengurusan berkualiti, Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok selesai melakukan kerja Audit SIRIM MS ISO 9001 dan majlis penutupan yang berlangsung di Dewan Senat UUM Kedah pada 30 November yang lalu.

Kerja pengauditan ini membabitkan sebanyak tujuh orang juruaudit yang diketuai oleh Pasukan audit SIRIM QAS, Dr. Shahanif Hassan.

Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, sijil hanya layak dikeluarkan setelah semuanya selesai.

“Pihak UUM berpuas hati dengan kerja pengauditan yang dijalankan oleh pihak SIRIM itu.”

“UUM amat gembira jika dapat menerima semula Pensijilan MS ISO 9001 bagi tempoh tiga tahun lagi,” katanya ketika ditemui.

Profesor Dr. Haim Hilman berpandangan bahawa pensijilan tersebut adalah sukar untuk diperoleh khususnya bagi jabatan di universiti.

Namun begitu, beliau menzahirkan rasa syukur berhubung dengan penilaian pada kali yang dilihat lebih baik daripada sebelumnya. Perkara ini mencerminkan penyusunan pengurusan UUM yang baik dan sistematik.

“Terima kasih kepada semua jabatan dan pusat pengajian yang terlibat dalam usaha memberikan komitmen penuh kepada pasukan juruaudit SIRIM sepanjang dua hari berada di sini,” kata beliau.

Sementara itu, Dr. Haim Hilman berkata, sepanjang pasukan itu berada di universiti, pihak UUM sentiasa terbuka dan menerima apa-apa sahaja cadangan dan teguran yang dikemukakan oleh pihak SIRIM bagi penambahbaikan sistem pengurusan berkualiti di universiti berkenaan.

Beliau menambah, persediaan staf bagi menerima siri lawatan audit sama ada audit pemantauan atau audit pensijilan akan sentiasa menjadi sebahagian daripada amalan dan budaya kerja di UUM dari semasa ke semasa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.