21 Mac 2023, 16:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sentul – Program Majalah Dalam Kelas (MDK) menjadi pilihan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Nilam, Kuala Lumpur sebagai satu daripada aktiviti minggu pertama sesi persekolahan 2023/2024.

Program tersebut dianjurkan oleh pihak sekolah dengan kerjasama Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka, sejajar dengan surat pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia yang mengarahkan agar tiada pembelajaran akademik diadakan sepanjang minggu pertama persekolahan.

“Program didik hibur seperti Program MDK ini sangat sesuai diadakan kerana menerapkan proses pembelajaran secara tidak langsung atau indirect learning yang boleh membentuk momentum dalam kalangan murid pada awal persekolahan.

“Jelas, arahan KPM yang terbaharu ini bertepatan dengan konsep transformasi pendidikan kebangsaan yang tidak menumpukan kepada pemerkasaan akademik semata-mata,” ujar Encik Azrul Zai Zainul Abidin selaku Guru Penyelaras Pembukaan Sekolah 2023/2024 SK Seri Nilam.

Sebanyak 130 orang murid tahun enam dan enam orang guru telah terlibat untuk menjayakan Program MDK yang diadakan selama tiga jam di Dewan Terbuka, SK Seri Nilam, pada hari ini.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah taklimat majalah daripada sidang editor Dewan Pelajar, dan aktiviti secara dalam kumpulan seperti teka simpulan bahasa dan peribahasa, menghasilkan peta minda berdasarkan rencana majalah serta kuiz Menara Belon.

Murid tahun enam teruja menyertai Program MDK yang dapat menaikkan semangat mereka untuk memulakan sesi persekolahan baharu.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.