Oleh Rashid Ating
22 Mac 2023, 11:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Semenjak penularan pandemik COVID-19 kira-kira tiga tahun lalu, kaedah penyampaian dalam aspek pendidikan telah berubah, iaitu daripada kelas fizikal kepada pembelajaran secara dalam talian. Dalam konteks ini, sama seperti negeri lain di Malaysia, Sabah juga menerima pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian. Laporan Perbelanjaan Isi Rumah pada tahun 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan bahawa Sabah merupakan antara negeri termiskin di Malaysia dengan purata perbelanjaan penggunaan isi rumah yang terendah berbanding dengan negeri lain.

Selain itu, kajian yang sama juga mendedahkan bahawa peratus kemiskinan mutlak di Sabah adalah yang tertinggi di Malaysia, iaitu sebanyak 19.5%. Hal ini secara tidak langsung akan memberikan kesan kepada akses pendidikan untuk golongan muda. Sebelum ini, antara masalah yang dihadapi oleh pelajar di Sabah melibatkan capaian Internet, bilangan guru yang tidak mencukupi dan kekurangan kemudahan di sekolah. Kedatangan wabak COVID-19 pada ketika itu telah memburukkan lagi keadaan.

Terdapat beberapa inisiatif yang diambil oleh kerajaan untuk meningkatkan lagi capaian Internet bagi memudahkan murid untuk mengikuti aspek pengetahuan digital. Sebagai contoh, Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) 2019-2023 menetapkan beberapa sasaran seperti mencapai sebanyak 20% ketersediaan Internet pada sub-premis dan kawasan luar bandar dan sebanyak 70% rangkaian gentian termasuk di sekolah-sekolah menjelang tahun 2022. Idea yang sama turut ditegaskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, di bawah 11 anjakan transformasi sistem yang dicadangkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), iaitu menyediakan akses Internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui program 1BestariNet untuk 10 000 buah sekolah. Hal ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2016-2030 yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu Matlamat 4 yang melibatkan kualiti pendidikan.

Akan tetapi, Sabah kelihatan belum bersedia sepenuhnya untuk menerima perubahan drastik daripada kelas fizikal kepada pembelajaran dalam talian dalam tempoh yang singkat. Kesan daripada penularan COVID-19 yang membawa kepada penutupan sekolah beberapa tahun lalu, menunjukkan bahawa wujudnya jurang perbezaan yang besar dari segi pembelajaran atas talian atau “pembahagian digital” dalam kalangan negeri di Malaysia.

Kini kita telah berada dalam tahun 2023, namun inisiatif itu masih belum mencapai matlamatnya dan beberapa buah sekolah di kawasan pedalaman di Sabah masih belum mendapat capaian Internet seperti yang dijanjikan. Sebagai contoh, kadar penembusan jalur lebar bagi setiap 100 orang penduduk mengikut negeri menunjukkan bahawa semua negeri di Semenanjung Malaysia dan Sarawak mempunyai kadar penembusan jalur lebar lebih 100 peratus dan ke atas kecuali Sabah dengan jumlah 81.2%, yang disifatkan sebagai antara yang terendah di Malaysia.

 Realiti Jurang Digital di Sabah

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dikuatkuasakan pada Mac 2020, sebanyak 52% orang pelajar di Sabah yang tinggal kawasan luar bandar dilaporkan tidak mempunyai akses Internet. Situasi ini tidak termasuk komputer riba dan capaian Internet yang merupakan satu keperluan seperti jaringan Wifi dan dianggap mewah untuk isi rumah berpendapatan B40. Bagi sesetengah pelajar, mereka perlu berkongsi telefon pintar dengan ahli keluarga lain, yang turut menjalani pembelajaran secara dalam talian. Dalam tempoh jangka masa panjang, isu ini agak membimbangkan kerana boleh menghalang minat murid untuk terus belajar.

Di beberapa buah kawasan di Sabah seperti Beluran, Tambunan, Keningau, Sook, Tongod, Nabawan, Kuala Penyu, dan Sipitang, masalah capaian Internet didapati semakin memburuk kerana semua daerah ini terletak di kawasan pedalaman yang memerlukan sekitar tiga hingga empat jam perjalanan tambahan dari bandar terdekat. Selain itu, hanya beberapa buah syarikat penyedia rangkaian telekomunikasi tempatan sahaja yang dapat menembusi kawasan-kawasan ini. Oleh hal yang demikian, situasi ini dikatakan memberikan kesan negatif terhadap proses pembelajaran pelajar secara harmoni. Sebahagian daripada guru-guru telah mengambil inisiatif dengan menghantar sendiri bahan-bahan pengajaran walaupun dengan keadaan bentuk muka bumi yang agak berisiko kepada pelajar mereka. Menyedari isu kekurangan capaian Internet di sesetengah kawasan di luar bandar, para guru diberi kebenaran untuk melakukan perjalanan untuk mengedarkan bahan pengajaran, menghantar dan membawanya kembali ke kawasan luar bandar semasa PKP lalu.

Dengan keadaan COVID-19 yang masih belum pulih sepenuhnya ketika fasa PKP sebelum ini, sesi pembelajaran kelas secara dalam talian merupakan satu-satunya kaedah untuk memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam pembelajaran mereka. Bagi pelajar yang tinggal di kawasan luar bandar, mereka kadang kala tidak dapat mengikuti kelas dan sering kali mereka “hilang” semasa kelas berlangsung kerana capaian Internet yang lemah seperti yang berlaku di Semporna dan Kudat. Hal ini disebabkan oleh keadaan geografi dan bentuk muka bumi di Sabah. Sebagai contoh, beberapa buah sekolah di daerah ini terletak di pulau yang agak jauh dari menara telekomunikasi seperti  SK Pulau  Mabul, SK Balambangan Banggi, SK Pulau Larapan, SK Sisipan (sekolah rendah) dan SMK Bum-Bum (sekolah menengah). Selain itu, hampir semua sekolah seperti yang disenaraikan tidak mempunyai kemudahan bekalan elektrik yang sempurna dan sangat bergantung pada penjana kuasa untuk menjana elektrik.

Kes Veveonah Mosibin, seorang pelajar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kampung Sapatalang, Pitas, yang perlu berkhemah di atas pokok selama sehari dan terpaksa menghadapi segerombolan lebah untuk mendapatkan capaian Internet yang lebih baik menjadi tajuk utama di beberapa saluran berita di dalam dan luar negara. Turut dilaporkan juga tentang lapan orang pelajar yang cedera selepas terjatuh dari jambatan gantung pada waktu malam ketika mereka cuba mendapatkan capaian Internet yang lebih baik di Kampung Gusi, Ranau.  Dalam contoh lain, sesetengah pelajar  juga perlu mendaki bukit selama 30-40 minit untuk mendapatkan capaian Internet yang lebih baik di Kampung Tilis, Tenom. Semua contoh ini menunjukkan bahawa satu daripada isu utama di Sabah ialah pastinya capaian Internet yang lemah di segenap pelosok negeri ini.

Menyedari hakikat ini, pandemik COVID-19 yang berlaku tidak lama dahulu boleh dikatakan sebagai bertindak sebagai pemangkin dan menunjukkan beberapa kelemahan dalam sistem pendidikan di Sabah yang perlu diatasi dengan segera. Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu bekerjasama dalam mencari kata sepakat untuk mempertingkatkan proses pembangunan capaian Internet di Sabah. Selain menyediakan pakej rangsangan kepada rakyat, terdapat beberapa keperluan untuk mempercepat pembinaan kemudahan Internet bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan pelajar. Inisiatif kerajaan seperti 1BestariNet dan NFCP tidak seharusnya kekal sebagai inisiatif, sebaliknya perlu diperluas bagi memastikan semua pelajar di kawasan luar bandar di Sabah mendapat akses yang sama seperti rakan mereka yang tinggal di kawasan bandar dan di Semenanjung Malaysia.

Penulis, Penyelidik di Jabatan Ekonomi dan Statistik Gunaan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi (FPE) dan Penyelidik di Institut Pengajian Termaju (IAS), Universiti Malaya.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.