7 Mei 2024, 08:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pendidikan memainkan peranan penting dalam menyediakan individu dengan pengetahuan, kemahiran dan kecekapan yang diperlukan untuk mengambil bahagian secara berkesan dalam masyarakat dan dalam ekonomi. Di samping itu, pendidikan boleh meningkatkan kehidupan individu dalam bidang seperti kesihatan, penyertaan sivik dan kepentingan politik. Kajian yang dijalankan oleh Organisation for Economic Co-operation and Development atau ringkasnya OECD menunjukkan bahawa individu yang mempunyai pendidikan akan hidup lebih lama, mengambil bahagian dalam politik dan komuniti tempat tinggal, serta kurang melakukan jenayah dan kurang bergantung pada bantuan sosial.

OECD merupakan antara organisasi kerajaan yang disertai oleh 38 buah negara, yang ditubuhkan pada tahun 1961 untuk merangsang kemajuan ekonomi dan perdagangan dunia. OECD berperanan sebagai sebuah forum negara yang anggotanya menggambarkan penyertaan mereka sebagai usaha untuk komited terhadap demokrasi dan ekonomi pasaran, menyediakan platform untuk membandingkan pengalaman dasar, mencari jawapan kepada isu atau masalah global yang melanda, mengenal pasti amalan baik, serta menyelaraskan dasar domestik dan antarabangsa ahlinya.

OECD dianggap sangat penting kerana menjadi penunjuk aras kepada perkembangan ekonomi dan kemajuan dunia. Hal ini demikian kerana majoriti ahli OECD terdiri daripada negara-negara yang memiliki ekonomi berpendapatan tinggi yang disenaraikan sebagai sangat tinggi dalam Indeks Pembangunan Manusia, dan dianggap sebagai negara maju. Populasi kolektif mereka ialah 1.38 bilion orang dengan purata jangka hayat 80 tahun dan umur median semasa 40, berbanding dengan purata global 30.

Oleh itu, pencapaian atau prestasi semasa yang dicatatkan oleh negara-negara anggota OECD sering dijadikan kayu ukur atau contoh bagi negara-negara membangun dalam sektor perindustrian atau bidang-bidang kritikal yang tertentu termasuklah pendidikan. Bidang ini menjadi keutamaan dalam kalangan negara-negara anggota OECD memandangkan kepentingannya dalam masyarakat merupakan sesuatu yang telah disedari dan tidak boleh dipertikaikan sejak sekian lama. Sejarah telah membuktikan bahawa negara-negara tersebut berada pada kedudukan yang tersendiri disebabkan oleh kecenderungan mereka meningkatkan kualiti pendidikan ke tahap yang lebih tinggi. Pendidikan tidak hanya memperkasakan individu dan memacu pertumbuhan ekonomi, malah turut menggalakkan perpaduan sosial, meningkatkan hasil kesihatan, dan memupuk pengetahuan kreativiti dan inovasi. Ringkasnya, pendidikan berfungsi sebagai pemangkin kepada pembangunan peribadi, masyarakat dan global.

OECD mempunyai satu program khas yang dikenali sebagai PISA (Programme for Student International Assessment) yang berperanan untuk menilai dan mengkaji sejauh mana pelajar yang hampir tamat pendidikan wajib (biasanya sekitar umur 15 tahun) memperolehi beberapa pengetahuan dan kemahiran yang penting untuk penyertaan masyarakat moden, terutamanya dalam penguasaan membaca, matematik dan sains.

Pada tahun 2018, program ini telah dijalankan merentas benua, iaitu dengan menguji pelajar dari 79 buah negara. Selain negara anggota OECD, negara lain seperti Brazil, Persekutuan Rusia dan Afrika Selatan turut menyertai program penilaian ini. Para pelajar diuji kebolehan membaca, kemahiran matematik dan tahap sains. Hasil penyelidikan kemudiannya menunjukkan bahawa kemahiran ini menjadi peramal kepada kesejahteraan ekonomi dan sosial pada masa akan datang yang lebih dipercayai berbanding dengan hanya bergantung pada bilangan tahun yang dihabiskan di sekolah atau dalam pendidikan pasca formal.

Antara negara yang sering menunjukkan pencapaian dan kemajuan pendidikan yang konsisten ialah Amerika Syarikat dan Jepun.  Jepun misalnya memiliki tahap pendidikan yang lebih tinggi berbanding dengan negara-negara lain mengikut piawaian dunia. Dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) yang dianjurkan oleh OECD ke atas kanak-kanak berumur lima belas tahun, pelajar Jepun mencatatkan tahap pencapaian yang tinggi, terutamanya dalam bidang berkaitan sains dan matematik. Manakala pelajar-pelajar di Amerika Syarikat pula mencatatkan skor di atas purata dalam subjek membaca dan sains berdasarkan kepada keputusan PISA yang dikendalikan oleh OECD pada tahun 2018.

Amerika Syarikat memberi perhatian kepada pendidikan sejak usia kecil dengan tumpuan ditingkatkan di bahagian kejiranan yang dikenalpasti perlu dipecahkan kitaran kemiskinannya. Sebagai contoh di kawasan keijranan Harlem di bandaraya mega New York, program yang dikenali dengan nama Harlem Children’s Zone (HCZ) dilancarkan pada akhir dekad 1990-an dengan matlamat untuk mengurangkan jurang kemiskanan di kawasan kejiranan tersebut. Program tersebut yang berslogankan pendidikan dari buaian bermula dengan The Baby College, satu siri bengkel untuk ibu bapa kanak-kanak yang baru lahir hingga berumur tiga tahun. Siri tersebut kemudiannya disambung dengan siri berikutnya, iaitu The Baby College GRADS yang merupakan inisiatif lawatan ke rumah bagi menggalakkan pelibatan dalam program yang lebih luas dengan menawarkan tarikan seperti penjagaan kanak-kanak percuma, dan lampin percuma.Program tersebut diteruskan dengan piagam akademi program prasekolah berkualiti tinggi agar perkhidmatan dapat diberikan kepada pelajar merentasi populasi pendidikan rendah dan menengah merangkumi pengaturcaraan selepas sekolah, perkhidmatan sosial, program kesihatan dan pembinaan komuniti.

Untuk pelajar yang tercicir, peluang kedua dihadirkan menerusi program yang dikenali dengan nama YouthBuild USA yang menyasarkan golongan remaja berumur antara 16 tahun hingga 24 tahun daripada latar belakang berpendapatan rendah yang terkandas di alam persekolahan. Program yang bersifat intensif ini berlangsung antara 8 bulan hingga 12 bulan dan menyediakan latihan berkaitan pembinaan, perkhidmatan pendidikan, kaunseling, dan peluang pembangunan kepimpinan. Program ini telah berkembang pesat dari semasa ke semasa, dan pada masa ini terdapat 273 program YouthBuild di 46 buah negeri termasuk Washington, DC, dan Kepulauan Virgin yang melibatkan penyertaan kira-kira 10 000 orang remaja setiap tahun. Berdasarkan kejayaan program YouthBuild USA ini, model tersebut telah disesuaikan dan direplikasikan di seluruh dunia dan dikenali sebagai YouthBuild International. Di Brazil misalnya program ini disasarkan kepada anak-anak muda berumur antara 18 tahun hingga 24 tahun dan ditempatkan di Complexo do Alemão di Rio de Janeiro.

Sebagai sebuah negara maju, Jepun tidak teragak-agak untuk mengubah polisinya asalkan perubahan tersebut memberikan kesan yang positif kepada perkembangan ekonomi dan kesejahteraan hidup. Sebagai contoh, selepas berlakunya gempa bumi dalam Mac 2011 di wilayah Tohoku, di utara Jepun, kerajaan bersama-sama pihak berkuasa wilayah dan tempatan, dengan kerjasama OECD, melancarkan projek Sekolah OECD-Tohoku. Projek tersebut bertujuan untuk membantu pelajar dan guru di rantau tersebut mengukuhkan kemahiran abad ke-21, pengantarabangsaan dan inovasi dari bawah hingga ke atas tanpa sebarang gangguan selepas berhadapan dengan bencana alam.

Projek Sekolah OECD-Tohoku menghasilkan rangka kerja inovasi terbuka yang memupuk ciri kepimpinan teragih, galakan kepelbagaian dalaman dalam inisiatif tempatan, percubaan sukarela dengan pedagogi baharu, dan rasa pemilikan yang sentiasa diperkukuh dalam kalangan peserta. Peranan besarnya adalah untuk melahirkan inspirasi kepada perubahan yang melibatkan rakan kongsi luar, seperti pemimpin perniagaan dan rakan kongsi antarabangsa, dan menggalakkan kerjasama antara sekolah dan komuniti di sekeliling mereka. Guru bekerjasama dengan pelajar dan komuniti mengenai masalah yang mengancam kehidupan petani tempatan.  Contohnya, masalah pencemaran yang menyebabkan mereka berhadapan dengan risiko kerugian yang besar. Sekolah dan petani bekerjasama ke arah penyelesaian, yang akhirnya berjaya menghasilkan jeli buah, dan kemudiannya terjual dengan baik di seluruh Jepun. Bagi petani, penyelesaian ini memberikan harapan baharu dan sinar masa hadapan. Manakala bagi pelajar, penyelesaian ini mengubah persepsi mereka tentang tujuan pendidikan yang tidak semata-mata tertumpu kepada pengajian akademik dan peperiksaan sebaliknya berkait-rapat dengan usaha untuk memajukan kehidupan sama ada dalam aspek keusahawanan, pemikiran kritis, kreativiti atau melibatkan diri dengan masyarakat.

Secara umumnya, kedua-dua negara ini mempunyai sistem pendidikan yang tersendiri dan perbandingan yang menarik boleh ditelusuri dan dilihat menerusi jadual di bawah. Sistem pendidikan bagi kedua-dua negara ini berbeza, khususnya dari segi metodologi pengajaran hinggalah kepada pengaruh budaya dalam kehidupan. Perbandingan tersebut telah dikemukakan oleh Youth for Understanding Intercultural Exchange Programs pada 22 Januari 2024 di laman web rasminya, seperti yang berikut:

 

Perbandingan Amerika Syarikat Jepun
Struktur dan Tempoh Kalendar akademik bermula pada September dan berakhir pada Jun kerana cuti musim panas lebih pendek. Kalendar akademik bermula pada April dan berakhir pada Mac. Jepun mempunyai kalendar pembelajaran yang lebih panjang sejajar dengan dasar fiskal yang memberi penekanan kepada kepentingan masyarakat dan hubungannya dengan pendidikan.
Pakaian Sekolah Institusi pendidikan di negara ini tidak mempunuai kod pakaian yang standard. Dengan kata lain, pelajar boleh mengenakan apa-apa sahaja pakaian yang bersesuaian, hal ini mencerminkan kebebasan ekspresi dalam kalangan warga sekolah. Pakaian sekolah di Jepun berasaskan pada pakaian seragam yang diamalkan dengan tujuan untuk memupuk rasa kesaksamaan dan disiplin diri yang tinggi. Pakaian seragam turut menjadi amalan rasmi di institusi pendidikan awam dan swasta.
Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) PdP yang dipraktikkan di dalam bilik darjah memberi penekanan kepada pemerkasaan individu. Walaupun projek berkumpulan diamalkan namun fokus lebih terarah kepada pencapaian peribadi dan kreativiti kendiri. Penekanan diberikan kepada kegiatan pembelajaran secara berkumpulan dengan tujuan untuk mendidik semangat kerjasama. Dengan demikian, pelajar dapat dibiasakan untuk menyelesaikan masalah secara bersama-sama disamping dapat meningkatkan rasa kekitaan dan kemasyarakatan yang kuat.
Persekitaran Bilik Darjah Suasana bilik darjah di sekolah adalah lebih santai. Hubungan pelajar dengan guru akrab tetapi tugas jagaan dikendalikan oleh kakitangan penjaga. Bilik darjah dicirikan dengan tahap disiplin yang tinggi dan pelajar sangat menghormati guru. Pelajar bekerjasama antara satu sama lain membersihkan bilik darjah dan kawasan sekolah dengan tujuan untuk menggalakkan rasa pemilikan dan menghargai harta benda di sekeliling.
Peperiksaan dan Budaya Penilaian Proses kemasukan ke kolej mempertimbangkan pencapaian menyeluruh pelajar yang meliputi aktiviti kokurikulum dan prestasi peribadi. Penekanan yang kuat diberikan terhadap ujian standard dengan peperiksaan kemasukan menentukan laluan pendidikan masa depan pelajar. Persekitaran yang kompetitif boleh memberikan tekanan kepada pelajar.
Aktiviti Kokurikulum Aktiviti kelab, seni dan akademik menyumbang kepada pendidikan pelajar secara menyeluruh. Pelajar digalakkan menyertai pelbagai kelab dan aktiviti yang dianjurkan untuk pembangunan peribadi.
Rehat dan Transit Pelajar menikmati makan tengah hari di kafetaria secara bebas kerana waktu rehat dianggap urusan peribadi. Bas merupakan pengangkutan utama untuk berulang-alik dari rumah ke sekolah terutamanya di kawasan pinggir bandar dan di luar bandar. Pelajar makan bersama-sama pelajar lain di dalam bilik darjah kerana waktu rehat dianggap sebagai kepentingan bersama. Pelajar berulang-alik dari rumah ke sekolah dengan menggunakan pengangkutan awam untuk melatih diri berdikari.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.