Oleh Awang Sariyan
28 Mac 2023, 11:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam jawaban kepada salah satu isu yang saya timbulkan di Dewan Negara, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi menafikan penarafan (ranking) oleh badan antarabangsa seperti Times Higher Education (THE) sebagai sesuatu yang wajib dan keutamaan dalam menilai prestasi dan juga peruntukan kewangan Institut Pengajian Tinggi.

Ungkapan bahawa ciri penarafan “tidak konklusif, muktamad dan tunggal” amat lunak dan sedikit “menghiburkan”, tetapi bagi warga akademik di universiti, kenyataannya berbeza. Laporan penilaian Myra tenaga akademik sering mencemaskan apabila terdapat ahli akademik yang tidak mencapai penerbitan kategori Web of Science (WoS), Scopus, International Scientific Index (ISI) dan lain-lain. Ketetapan mutu tulisan dalam jurnal yang berdampak tinggi itu dilakukan oleh badan tertentu dengan bayaran yang bukan kecil sebagai syarat penyiaran artikel yang diterima untuk terbit dalam  jurnal berkategori itu.

Saya mengambil contoh ketara dampak buruk di universiti perdana negara ini apabila sekumpulan profesor senior dan berwibawa dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan digeser kerana tiada tulisan dalam jurnal-jurnal berdampak tinggi itu. Akibatnya, hingga kini akademi yang dahulu menjadi pusat tersohor pengajian Melayu kehampaan profesor ternama, bahkan tiada penjawat profesor kerana ketatnya ukuran berdasarkan penulisan dalam jurnal berdampak tinggi itu sebagai salah satu ukuran utama. Pusat penilaian kebangsaan bagi terbitan ilmiah, seperti Mycite dan Era tidak terhitung dalam maqam jurnal tersohor yang menjadi tonggak penarafan universiti dan makalah yang dikategorikan dalam jurnal kategori itu dianggap tulisan ilmiah tidak berdampak tinggi meskipun isinya bermutu tinggi.

Keluh-kesah sarjana bidang sains sosial dan kemanusiaan menjadi cerita dan mimpi buruk kerana tabii terbitan ilmiah berdampak tinggi itu lebih sesuai dengan bidang sains jati sehingga salah satu kesannya ialah lebih kecil peratusan tulisan bidang sosial dan kemanusiaan yang mendapat tempat, berbanding dengan tulisan dalam bidang STEM. Kesan lanjutannya berkaitan dengan peluang naik pangkat yang lebih kecil bagi sarjana sains sosial dan kemanusiaan. Adakah hal ini mitos atau kenyataan? Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) wajar melakukan kajian.

Masih dalam isu penerbitan sebagai salah satu tonggak akademik, berlaku diskriminasi dalam penilaian terbitan buku berbanding dengan jurnal. Lama dahulu, pada tahun 2004-2006di sebuah universiti tempat saya bertugas, naib canselornya berterus-terang sambil mohon maaf kepada saya kerana buku (pada waktu itu) tidak dinilai sebagai terbitan berdampak.

Baru-baru ini sahaja buku diberi nilai, tetapi masih lebih rendah daripada nilai jurnal (berdampak tinggi). Sejarah menunjukkan bahawa tamadun sedunia diukur berdasarkan karya dalam bentuk buku kerana buku berisi jalinan bab yang mewakili pelangi ilmu dalam bidang tertentu, bukan menjurus hanya pada satu isu khusus seperti dalam tulisan jurnal. Keterampilan menyusun buku jauh lebih sukar dan tidak dikuasai oleh sesiapa sahaja, kecuali sarjana yang mampu mengembangkan ilmu dengan ketertiban, logik dan seni menulis yang tinggi.

Dampak buruk daripada penekanan berlebihan pada penarafan universiti ialah sirnanya atau merosotnya nilai insani sesetengah (malah kebanyakan) sarjana apabila tumpuan diberikan kepada usaha mengejar penarafan dan pengiktirafan terbitan berdampak tinggi sehingga sumbangan ilmu dalam terbitan di luar kerangka itu (yang berkesan dalam pemasyarakatan ilmu) diremehkan.

Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai universiti watan menghadapi dilema dalam usaha mengimbangi peranan ilmiah dengan peranan kemasyarakatan, termasuklah pemuliharaan dan pelestarian warisan, budaya dan segala etos nusa, kerana perhatian kepada aspek kedua itu tidak dapat tidak sedikit mengurangkan tumpuan kepada sisi ilmiah sejati dan memerlukan sarjananya membahagi tumpuan.

Kesan lain yang tidak kurang pentingnya ialah penyuburan ilmu multidisiplin dalam bahasa Melayu. Cakap-cakap menjadikan bahasa Melayu bahasa ilmu hanya omong kosong jika tiada upaya terancang untuk mengembangkan ilmu dalam bahasa Melayu, termasuklah dalam bidang penerbitan. Pelan Pemartabatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu yang dilancarkan sejak tahun 2011 belum memperlihatkan kesan yang nyata. Hingga kini, ruang tulisan ilmiah berbahasa Melayu masih jauh daripada cukup untuk menampung tulisan ilmiah kerana rata-rata jurnal yang diiktiraf itu dalam bahasa Inggeris (bagi bahasa lain di dunia tiada masalah kerana mereka tidak menjurus hanya kepada bahasa Inggeris). Amat terbatas ruang untuk tulisan ilmiah berbahasa Melayu. Maka itu, saya menyarankan penubuhan badan pengindeksan rantau alam Melayu atau Asia Tenggara. Alasan telah ada Mycite tidak cukup utuh kerana tulisan dalam kategori Mycite tidak diiktiraf sebagai tulisan berdampak tinggi dan dinilai sebagai tulisan kelas kedua atau tidak berkelas. Perlu ada paduan IPT serantau, khasnya di negara-negara berbahasa Melayu untuk mengambil tanggungjawab membentuk pusat pengindeksan karya ilmiah berbahasa Melayu.

Kualiti, itulah asas penilaian yang dijadikan asas, menurut penegasan Timbalan Menteri KPT. Persoalannya, adakah penarafan badan seperti THE itu satu-satunya asas kualiti Pendidikan tinggi di negara ini? Saya dan rakan-rakan yang sependirian, tidak melulu menolak penarafan. Seperti penegasan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi di Dewan Negara, penarafan dapat dijadikan sebagai salah satu asas penilaian pencapaian universiti, tetapi bukan asas “tunggal, muktamad dan konklusif”.

Kami menunggu dan melihat sejauh manakah pendirian KPT itu dilaksanakan di universiti di negara ini. Kita tidak wajar menyempitkan makna dan peranan universiti sekadar badan ilmiah “sejati” yang mengalpakan warga sarjananya daripada tanggungjawab sosial, kesukarelawanan, ukhuwah dan aspek manusiawi lainnya, di samping menjadi sarjana bitara.

YB Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, ialah Ahli Dewan Negara merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.