5 April 2023, 15:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam menongkah arus pemodenan, tidak dapat dinafikan bahawa kecanggihan teknologi kini semakin meluas dan membawa pelbagai manfaat kepada kehidupan seharian kita. Peratusan penggunaan peranti oleh masyarakat pelbagai lapisan umur termasuklah golongan kanak-kanak semakin menunjukkan peningkatan dari hari ke hari.

Antara contoh peranti termasuklah telefon bimbit, komputer riba, komputer tablet, kamera digital dan set kepala. Pada hari ini, memiliki sebuah peranti bukan lagi semata-mata sebagai kehendak, sebaliknya menjadi sebuah keperluan dalam kehidupan seharian.

Sebilangan besar kanak-kanak juga memiliki peranti mereka sendiri. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada tahun 2017, sebanyak 83.2 peratus pengguna Internet terdiri daripada kanak-kanak yang berumur antara lima hingga 17 tahun. 93 peratus daripada kanak-kanak ini menggunakan telefon pintar sebagai akses kepada komunikasi teks, media sosial, carian maklumat dan tontonan video.

Manfaat Peranti kepada Kanak-kanak

Penggunaan peranti dalam kalangan kanak-kanak dapat meningkatkan penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris. Kanak-kanak dapat meningkatkan kemahiran dari segi pertuturan dan penulisan melalui tontonan video dalam bahasa Inggeris seperti animasi kartun yang dimuat naik secara meluas di Internet.

Selain itu, pembelajaran menggunakan peranti juga lebih mudah difahami. Hal ini dikatakan demikian kerana kaedah pembelajaran yang mempunyai video dan imej lebih memudahkan kanak-kanak untuk memahami sesuatu proses pembelajaran. Paparan grafik yang menarik dan berwarna-warni dapat memberikan tarikan kepada golongan kanak-kanak untuk belajar. Penggunaan peranti juga dapat meluaskan pengetahuan dan kefahaman mereka tentang dunia seperti adat, masyarakat, tempat dan alam semula jadi.

Seterusnya, peranti juga membantu untuk meningkatkan inovasi dan mencetuskan pemikiran kritis dalam kalangan kanak-kanak. Pembelajaran menggunakan peranti menggalakkan pembelajaran kendiri dan menjadi medium yang efektif bagi tujuan pendidikan. Ibu bapa boleh mendidik dan mengajar sendiri anak-anak mereka di rumah untuk memberikan pengukuhan kepada pembelajaran yang diperoleh di sekolah. Pembelajaran melalui peranti juga memberikan input mendalam yang berkesan bagi perkembangan minda kanak-kanak terutamanya dari aspek kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) seiring dengan perkembangan semasa.

Sisi Negatif Peranti terhadap Perkembangan Kanak-kanak

Penggunaan peranti sememangnya memberikan banyak manfaat, namun turut memberikan bahana sekiranya disalahgunakan. Perkara ini dikhuatiri terutamanya bagi golongan kanak-kanak yang menggunakan peranti tanpa pengawasan dan kawalan oleh ibu bapa atau penjaga. Pendedahan terhadap peranti yang terlalu awal berpotensi mendatangkan kesan buruk terhadap rangsangan otak dan menganggu perkembangan otak kanak-kanak.

Menurut Naquib Nahar et. al (2017), pengeluaran radiasi daripada telefon bimbit dan kebanyakan peranti tanpa wayar akan menyebabkan gangguan pada pertumbuhan otak kanak-kanak. Perkara ini akan mempengaruhi pencapaian anak-anak dari sudut perkembangan kognitif dan akademik mereka. Penggunaan peranti dalam jangka masa yang panjang boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak dari segi pembacaan, pertuturan dan daya fokus. Kanak-kanak juga berisiko mengalami masalah rabun pada usia yang tidak sepatutnya.

Manakala dari aspek mental dan emosi, ketagihan peranti mendorong kepada pelakuan agresif dalam kalangan kanak-kanak. Perkara ini kebiasaannya dapat dilihat apabila kanak-kanak yang ketagih berasa kecewa sekiranya tidak dapat menggunakan peranti masing-masing. Di samping itu juga, penggunaan peranti secara berlebihan boleh melumpuhkan sistem imunisasi kanak-kanak kerana terdedah kepada radiasi yang tinggi. Penggunaan peranti juga memberikan impak yang negatif terhadap perkembangan saraf motor kanak-kanak.

Menurut Siti Aisyah (2014), dapatan daripada sebuah kajian di Amerika Syarikat menyatakan bahawa penggunaan peranti seperti komputer tablet dalam kalangan kanak-kanak yang berumur dua tahun ke atas boleh melemahkan otot jari dan tangan mereka yang diperlukan untuk menulis. Hal ini demikian kerana penggunaan komputer tablet memerlukan mereka menyentuh skrin peranti secara berlebihan menyebabkan kemahiran motor halus, iaitu pergerakan jari mereka terjejas dan kurang berkembang. Apabila kanak-kanak tidak dapat menguasai kemahiran motor halus dan kemahiran sensori, kesannya terlihat pada perkembangan fizikal mereka ketika meningkat usia remaja. Menurut Karow (2014), dalam kajiannya juga mendapati sebanyak 75 peratus kanak-kanak tidak cukup tidur disebabkan oleh penggunaan peranti elektronik dan hal ini boleh menganggu proses tumbesaran kanak-kanak.

Jalan Penyelesaian?

Antara punca utama penggunaan peranti ini digunakan oleh kanak-kanak secara berlebihan termasuklah disebabkan kerelaan oleh ibu bapa itu sendiri atas tujuan untuk menenangkan anak-anak mereka apabila berada di luar rumah. Bukan itu sahaja, malah ada juga yang memberikannya atas alasan terpaksa membiarkan anak-anak bermain peranti kerana tidak mempunyai masa untuk melayan kerenah mereka. Kebanyakan ibu bapa bekerja seharian dan pulang ke rumah pada lewat malam  menyebabkan mereka tiada dapat meluangkan masa bersama anak-anak. Pada masa yang sama, mereka mempunyai tanggungjawab untuk menguruskan rumah tangga. Oleh itu, penggunaan peranti menjadi “medium” penyelesaian terhadap perkara ini. Anak-anak pula terus menumpukan perhatian dan leka bermain peranti sehingga berjam-jam lamanya.

Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Melihat akan kesan kesan negatif penggunaan peranti terhadap perkembangan kanak-kanak ini, pihak berwajib terutamanya ibu bapa perlu memainkan peranan untuk membendung isu ketagihan dalam kalangan anak-anak. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak sejak dari awal lagi seperti kata pepatah “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Antara langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan isu ini berlaku ialah dengan menetapkan masa penggunaan peranti selama satu jam sehari sahaja. Peraturan ini boleh dilakukan dalam usaha mengelakkan ketagihan peranti ini terus berlaku.

American Academy of Pediatrics (AAP) mengesyorkan bahawa tiada penggunaan peranti bagi kanak-kanak di bawah umur dua tahun. Manakala tempoh penggunaan peranti yang disyorkan ialah hanya satu jam sehari bagi kanak-kanak yang berumur antara tiga hingga lima tahun; satu hingga satu setengah jam sehari bagi kanak-kanak berumur enam hingga 10 tahun; dan dua jam bagi kanak-kanak berusia 11 hingga 13 tahun. Setiap kanak-kanak memerlukan sekurang-kurangnya 12 jam untuk waktu tidur bagi memastikan mereka dapat membesar dengan sihat.

Seterusnya, ibu bapa perlu berusaha untuk meluangkan masa bersama-sama anak-anak dengan melakukan aktiviti bebas peranti yang menyeronokkan seperti bermain doh, blok kayu, melukis, mewarna atau aktiviti riadah. Penggunaan peralatan seperti televisyen, komputer dan telefon bimbit hendaklah dihadkan di ruangan umum sahaja supaya pemantauan boleh dibuat oleh ibu bapa.

Memang tidak dinafikan bahawa teknologi peranti sememangnya membawa kebaikan,namun penggunaannya secara berlebihan akan memberikan kesan negatif terhadap perkembangan kanak-kanak. Kanak-kanak seharusnya dididik tentang tanggungjawab mereka dalam mengawal penggunaan peranti. Disiplin diri perlu diterapkan dan disemai bermula pada awal usia. Ibu bapa perlu cakna untuk memastikan anak-anak mereka menggunakan peranti dalam keadaan yang terkawal dan mematuhi arahan yang ditetapkan. Janganlah menjadikan anak sebagai mangsa kepada kecanggihan teknologi peranti yang boleh memberikan kesan terhadap masa hadapan mereka.

 

Kredit foto sorotan: Robo Wunderkind/Unsplash

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.