8 April 2023, 18:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Memasuki minggu ketiga fasa Ramadan, UiTM Cawangan Perlis melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar mengambil peluang menghidupkan bulan Ramadan dengan mengadakan Program Singgah Sahur bersama-sama pelajar yang berada di dalam kampus pada 7 April 2023,  selepas berjaya mengadakan program seumpamanya bersama-sama para pelajar yang menetap di luar kampus baru-baru ini.

Sebanyak 1500 orang pelajar dari Kolej Beringin, Cengal 1, Cengal 2, Cengal 3, Cengal 4, Cengal 5 dan Cengal 6 menerima bungkusan makanan dan minuman yang telah disempurnakan penyerahannya oleh Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi. Menerusi program tersebut, Rektor UiTM Cawangan Perlis turut meluangkan masa menyantuni hampir keseluruhan bilik mahasiswa di samping bertanya khabar mereka.

Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi semasa menyantuni para pelajar menerusi Program Singgah Sahur.

Usaha ini jelas menunjukkan keperihatinan UiTM Cawangan Perlis terhadap kebajikan warganya selari dengan perkara yang dihasratkan dan dititikberatkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Seri Haji Mohamed Khaled Haji Nordin; Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor; dan amanat Rektor UiTM Cawangan Perlis pada tahun 2023. Perkara ini juga sejajar dengan Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) untuk memberikan manfaat kepada komuniti dan industri luar dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), iaitu SDG 1 (tiada kemiskinan) serta SDG 2, yakni mengakhiri kelaparan, mencapai jaminan makanan dan nutrisi yang lebih baik.

Selain itu, program sebegini dilihat sebagai salah satu usaha murni bagi menghidupkan dan meraikan fadilat yang ada dalam bulan Ramadan serta mempupuk semangat suka bersedekah dan saling membantu dalam kalangan warga kampus.

Menurut YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim, program yang bermula dari pukul 11.00 malam itu dan berakhir pada pukul 2.00 pagi akan diteruskan ke kolej lain mengikut jadual yang telah ditetapkan. Beliau juga berharap agar program sebegini dapat memberikan keceriaan kepada para pelajar yang berada jauh dari keluarga pada bulan Ramadan ini. 

Turut mengiringi Rektor UiTM Cawangan Perlis semasa Program Singgah Sahur ialah Ketua Staf Residen Kolej (SRK), staf SRK, Jawatankuasa Induk Perwakilan Kolej dan Jawatankuasa Perwakilan Blok.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.