9 April 2023, 16:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis telah menjayakan pelbagai program bersempena menyambut bulan Ramadan, seperti tahun sebelumnya. Oleh itu, Projek Khas Rektor melalui Program Kasih Ramadan UiTM Perlis diperkenalkan bertujuan  berkongsi rezeki bersama-sama dengan warga kampus di samping memenuhi tanggungjawab sosial kepada masyarakat setempat.

Pelancaran Program Kasih Ramadan dan Tabung Dana Kasih Ramadan @ UiTM Perlis telah bermula seawal 21 Mac lagi ketika Majlis Amanat Rektor UiTM Perlis 2023, iaitu Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi.

Melalui Program Kasih Ramadan ini, pelbagai unit dan fakulti telah menyusun program bagi mengimarahkan bulan mulia ini. Sehingga Ramadan ke-17 ini, UiTM Perlis telah menjayakan beberapa program. Antaranya, Program Cerapan Hilal anjuran Kolej Alam Bina; Program Jalinan Kasih 2023 anjuran Kolej Pengajian Perkomputeran, Infomatik dan Media dan Program Kasih Ramadan anjuran Fakulti Sains Gunaan.

Program bersiri lain yang masih berjalan sehingga penghujung Ramadan, seperti Program Ihya Ramadan anjuran Unit Hal Ehwal Islam dan Program Singgah Sahur anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar.

Pelajar Maahad Tahfiz Al-Bayan menerima sumbangan raya daripada pihak UiTM Perlis.

Sejumlah lebih 100 orang masyarakat kurang bernasib baik yang terdiri daripada anak yatim, anak tahfiz dan penduduk asnaf telah menerima manfaat daripada program yang telah dijalankan ini dan sejumlah 7 000 pelajar UiTM Perlis turut menikmati manfaat.

Selain edaran makanan dan aktiviti kebajikan, UiTM Perlis juga aktif dalam menganjurkan pelbagai aktiviti seperti majlis berbuka puasa, sesi tazkirah, solat tarawih, qiamullail, ceramah dan tadarus al-Quran secara dalam talian bagi menyemarakkan kehadiran bulan mulia ini.

Masih berbaki lebih 7 program yang bakal dijalankan sebelum warga kampus mula bercuti sempena menyambut Syawal. Kesemua aktiviti yang bakal dan telah dilaksanakan ini merupakan hasil sumbangan daripada staf UiTM Perlis dan tajaan luar daripada pelbagai agensi dan rakan strategik.

Ujar YBhg. Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi:

Saya melihat platform seperti Kasih Ramadan @UiTM Perlis ini amat bersesuaian untuk kita menyemarakkan semangat kesukarelaan kepada warga kampus. Suka untuk saya melihat, semangat dan sumbangan yang diberikan oleh warga kampus dapat diteruskan dan dijadikan satu budaya dan amalan, bukannya kerja yang bermusim.

UiTM Perlis sentiasa komited dalam merangka dan menjayakan kerjasama bersama komuniti, terutamanya komuniti sekitar negeri Perlis. Untuk itu, dalam usaha memastikan ketampakan dan kepakaran warga UiTM Perlis, projek komuniti akan terus diperluas bukan sahaja di bulan Ramadan, malah akan diteruskan bagi bulan-bulan mendatang.

Majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan pelajar tahfiz menerusi Program Jalinan Kasih 2023 anjuran Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media.
Sukarelawan sedang membungkus bubur lambuk untuk diagihkan kepada jemaah masjid.

 

 

 

 

Antara staf dan pelajar dari Kolej Alam Bina hadir bagi Program Cerapan Hilal di Menara Pandang, Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.
YBhg. Rektor menyampaikan sumbangan keperluan dapur kepada penduduk setempat.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.