5 Mei 2023, 09:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sekolah atau sesebuah institusi pengajian merupakan medium atau tempat bagi guru menyebarkan ilmu kepada penuntut ilmu atau pusat bagi pencinta ilmu berhimpun bagi menerima ilmu daripada seseorang yang berkeahlian. Di sekolah, aspek teori dan praktikal diajar dan dipelajari secara terperinci agar seseorang itu dapat memanfaatkannya bagi meneruskan kelangsungan hidup di samping dapat memberikan kebaikan untuk dirinya dan kepada orang lain.

Sekolah juga menjadi simbol kepada ahli ilmu dalam menghubungkan dirinya dengan keperluan untuk menyempurnakan pencapaian intelek dan tanggungjawab melestarikan dan memastikan kesejahteraan alam sekitar agar dunia atau bumi menjadi selamat dan tenteram untuk diduduki. Dengan kata lain, sekolah menjadi pemanifestasian kerangka keintelektualan dalam bentuk simbol atau lambang yang menyerlahkan ketinggian ilmu seseorang, sesuai dengan aspirasi dan inspirasi yang mengikat dan menjalin hubungan antara manusia dan keperluannya dalam memenuhi tuntutan bagi menguruskan alam dan isi kandungannya.

Oleh sebab itu, reka bentuk, seni bina dan infrastruktur bagi sesebuah sekolah atau institusi menjadi cerminan kepada misi dan visi yang hendak diraih oleh sesebuah institusi tersebut dan dalam masa yang sama, menjadi simbol kepada hala tuju atau objektif yang hendak dicapai. Sebagai contoh, seni bina yang menjadi asas kepada salah satu institusi pengajian yang terbesar dan tertua di dunia, iaitu Al-Azhar yang terletak di Mesir merupakan masjid yang menjadi simbol kepada kehidupan keagamaan dan kebudayaan masyarakat Muslim di seluruh dunia. Institusi terkemuka di United Kingdom pula mengetengahkan seni bina gothik yang mempunyai ciri-ciri seperti gerbang yang tajam, kekubah beralur dan banir berjangkang yang diinspirasikan daripada semangat kejelasan struktur yang sempurna serta dapat melonjakkan sifat organik dan menyerlahkan kejujuran pembinaannya. Secara simboliknya, seni bina ini dapat mempamerkan kejuruteraan inovatif yang menjadi bukti kepada kebijaksanaan manusia.

Di sesetengah tempat, elemen mesra eko-sistem menjadi asas kepada seni bina sesebuah institusi. Contoh terbaik ialah Green School Bali yang terletak di Bali, Indonesia yang mula dibuka pada tahun 2008. Matlamat utama penubuhannya adalah untuk menghidupkan kurikulum pendidikan yang berasaskan kesedaran untuk melestarikan alam menerusi kesepaduan komuniti dan pembelajaran keusahawanan dalam persekitaran semula jadi.  Sebagaimana yang ditegaskan oleh pengasasnya, John Hardy dan pasangannya Cynthia, institusi ini menjadi model pembinaan dunia yang memberikan penekanan kepada pentingnya kelestarian alam sekitar di sisi masyarakat global.

Bagi merealisasikan usaha menghijaukan alam sekitar, buluh dipilih sebagai tema utama seni bina institusi tersebut. Buluh dianggap sebagai sumber yang sangat tepat kerana ciri atau sifatnya yang berkait rapat dengan perkembangan potensi dalam pendidikan yang melibatkan proses eksperimentasi, inovasi dan rumusan penyelesaian. Oleh itu, modul pembelajarannya akan tertumpu kepada ekologi dan kelestarian dengan menghubungkan pelajar kepada geografi dan konteks budaya setempat dengan menggunakan pendekatan pengalaman secara langsung. Kaedah ini dapat menggarap pengetahuan asas yang merangkumi kemahiran membaca, menulis, sains dan matematik.

Antara contoh projek yang berasaskan pengalaman langsung boleh dilihat dalam Green Projects Hub. Dalam projek ini, pelajar yang menyertainya perlu mematuhi tujuh prinsip utama, iaitu pertama, projek mesti mengikut matlamat pembangunan mampan; kedua, kriteria pemilihan projek mestilah berlandaskan kepada perancangan yang bernas; ketiga, semua idea dialu-alukan dan dihormati secara terbuka; keempat, bantuan dan bimbingan akan sentiasa dapat dicapai oleh semua orang; kelima, kerjasama dipupuk dengan rasa hormat dan amanah dalam kalangan semua yang terlibat; keenam, pemikiran reka bentuk dan kemahiran pengurusan projek perlu disemai dalam diri setiap orang yang terlibat; dan ketujuh, ruang dan sistem hendaklah digunakan dan diuruskan dengan betul oleh semua pengguna dan rakan usaha sama.

Pengalaman langsung ini turut dipraktikkan dalam kehidupan yang bersifat permakultur, yang merujuk pembangunan ekosistem pertanian yang bersifat mampan dan berdikari. Dengan cara tersebut, warga Green School dapat mempelajari kegiatan yang melibatkan kelangsungan secara berterusan dalam setiap aspek pengurusan kehidupan yang cenderung bersifat komuniti. Sistem yang asalnya berasaskan pertanian diperluaskan menjadi budaya tetap yang menekankan aspek sosial sebagai tunjang kepada falsafah semula jadi. Sistem ini menggabungkan seni bina dan kejuruteraan ekologi, reka bentuk alam sekitar dan pembinaan dan pengurusan sumber air bersepadu. Kehidupan yang mempunyai ciri permakultur ini dilaksanakan melalui kegiatan Kul Kul Farm, iaitu tumbuhan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, herba dan bunga ditanam secara organik. Baja dibuat sendiri menggunakan pendekatan bio-intensif dan pertanian sintropik. Haiwan yang menjadi sumber makanan diternak, manakala bangunan yang menjadi tempat kediaman pelajar dan guru pula dibina sendiri dengan menggunakan buluh. Di Kul Kul Farm juga, warga Green School menghasilkan produk perubatan herba seperti teh, minyak terapi dan rawatan penjagaan kulit.

Hasil tanaman dan ternakan tersebut kemudiannya digunakan untuk penyediaan makanan dan minuman di kafe yang turut melibatkan pengolahan ramuan untuk membuat snek semula jadi dan jus minuman yang tidak menggunakan bahan pengawet. Pengalaman di Kul Kul Farm kemudiannya dikongsikan dalam bentuk seminar, bengkel dan acara, untuk menerangkan fungsi penggunaan buluh dalam seni bina dan reka bentuk, penyediaan landskap, dan kaedah penanaman dan penternakan secara organik. Green School menerusi aktiviti Kul Kul Farm turut menawarkan khidmat runding cara dan bimbingan untuk projek luar di sekitar Indonesia.

Program pengajian yang ditawarkan oleh Green School ini terbuka kepada individu yang berumur dari tiga tahun hingga ke peringkat sekolah tinggi. Matlamat kurikulum institusi ini terdiri daripada lapan piagam utama, iaitu pertama, untuk memupuk rasa hormat terhadap alam semula jadi; kedua, untuk meningkatkan kesedaran terhadap alam sekitar dan menggalakkan pengawasan; ketiga, untuk membangunkan nilai ekologi yang mendalam; keempat, untuk memahami dan mengamalkan permakultur sebagai satu integrasi yang harmoni antara tanah dengan manusia bagi mendapatkan bekalan makanan, tempat tinggal dan sumber tenaga dengan cara yang mampan; kelima, untuk membina kesedaran tentang pentingnya penggunaan bahan binaan yang mampan dan boleh diperbaharui seperti buluh yang mudah diakses untuk kegunaan rantaian makanan, sistem akuatik dan penternakan haiwan; keenam, untuk memahami kemampanan dan sistem sebagai rangkaian perhubungan yang berinteraksi dengan komuniti manusia dan bukan manusia dengan cara yang membolehkan mereka hidup dan berkembang mengikut sifat mereka; ketujuh, untuk memupuk rasa cinta mempelajari tentang diri sendiri dan orang lain, dan dunia yang lebih luas dengan cara menghormati, mempunyai pemahaman yang mendalam dan kehidupan bersama-sama dengan penuh kasih sayang; dan kelapan, untuk menyemai rasa bangga, tanggungjawab dan kerjasama dalam kalangan pelajar sebagai pelajar sepanjang hayat dan pemimpin masa hadapan.

Pembelajaran keusahawanan yang menjadi satu daripada teras dalam kurikulum Green School dimulakan dari peringkat pengajian paling rendah dengan membentuk ciri peribadi yang mempunyai keyakinan dan keazaman agar dapat melahirkan kesan positif kepada kemajuan dunia melalui kemahiran, tabiat dan sikap yang berasaskan kepada pendidikan dunia yang mampan dalam konsep pembelajaran yang aktif yang bersifat cuba-gagal dan kritis.

Oleh sebab itu, pada peringkat sekolah tinggi, pelajar akan mengikuti modul khas yang unik yang dipanggil sebagai Greenstone, modul ini memberikan peluang kepada murid untuk mengembara ke ruang metakognitif yang mendalam bagi membolehkan mereka merenung kedudukan mereka dalam kehidupan di dunia.  Seterusnya mereka dapat meneroka pilihan yang membawa kepada penemuan yang mencerahkan diri, mencari nilai diri, memikirkan secara kritis dan membangunkan hubungan yang berkekalan dengan minat dan mencari rakan kongsi serta mengintai laluan kerjaya yang berpotensi. Dengan bahasa mudah, Greenstone menawarkan pengupayaan perancangan dan pembinaan destinasi kehidupan secara reflektif dari alam akademik kepada alam kerjaya dengan dibimbing, disokong dan dikongsi bersama-sama komuniti tempatan dan global.

Pendidikan berterusan yang berasaskan kepada kesedaran ekosistem ini tidak hanya terbatas kepada golongan kanak-kanak dan remaja sahaja, tetapi juga kepada golongan dewasa khususnya golongan pendidik dan profesional. Green Educator Course (GEC) misalnya menawarkan program latihan pembangunan profesional kepada masyarakat dan orang ramai yang berminat tidak terhad kepada warga Green School, tetapi juga kepada sesiapa sahaja, khususnya yang bergelar sebagai pendidik dari seluruh dunia.

Program ini dijalankan secara berterusan sepanjang tahun dengan tumpuan diberikan kepada pembinaan pedagogi dan prinsip reka bentuk asas kurikulum holistik yang berpusatkan kepada pelajar dan berasaskan kepada alam semula jadi. Program ini terbahagi kepada dua pilihan, iaitu sama ada secara fizikal atau secara dalam talian. Bagi program fizikal, sebagaimana yang ditawarkan di Green School Bali, peserta digalakkan untuk tinggal di kampus Green School agar dapat merasai sendiri kehidupan hijau dengan bermalam di Green Camp Lodge, iaitu sebuah kompleks asrama buluh yang berangin dan selesa dengan katil buluh dua tingkat yang boleh memuatkan sehingga 40 orang dalam satu pondok. Bilik tersebut dilengkapi dengan kipas siling, kelambu, peti kunci untuk barang berharga, cadar, selimut dan tuala. Wanita dan lelaki akan menginap di dalam bilik yang berbeza dengan kemudahan bilik mandi yang berasingan. Fakta menarik tentang program ini ialah peserta yang berjaya menghabiskan keseluruhan program ini boleh memohon jawatan sebagai guru di institusi tersebut.

Bagi peserta yang memilih untuk mengikuti program secara dalam talian, mereka akan diberikan beberapa kredit untuk setiap kursus yang perlu diselesaikan tepat pada masanya. Kredit Kursus Pendidik Hijau diterjemahkan secara kasar ke dalam jam komited yang telah ditetapkan untuk amalan menjadi Pendidik Hijau. Sijil GEC akan diberikan kepada mereka yang telah menyelesaikan 100 kredit kursus.

Dalam program Bamboo U, iaitu singkatan kepada Bamboo University, peserta yang mempunyai latar belakang seni bina, seni reka dan kejuruteraan atau sesiapa sahaja yang meminati seni bina yang berasaskan ekosistem boleh mempelajari cara membina infrastruktur dengan menggunakan buluh. Lima faedah utama mengikuti program ini ialah pertama, dapat memvisualisasikan idea; kedua, dapat mewakilkan reka bentuk dalam 3D sebenar; ketiga, dapat menguji dan membangunkan idea; keempat, dapat membangunkan pelan tindakan fizikal; dan kelima, dapat mengetahui kos yang bersesuaian dengan struktur yang dibina.

Program yang dijalankan selama 11 hari ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan kemahiran menggunakan buluh, tetapi juga untuk meningkatkan kesedaran tentang simbiosis alam semula jadi yang tidak memerlukan lampu berpendarfluor dan dinding konkrit. Peserta akan diberikan penerangan tentang sifat buluh yang menakjubkan dan mempunyai kekuatan semula jadi serta sifat mekanikalnya yang berupaya menjadikan sesuatu bahan binaan itu kukuh dan tegap. Ini adalah kerana buluh mempunyai kandungan kanji yang optimum yang jika digunakan tanpa dirawat masih boleh bertahan untuk tempoh yang panjang. Dengan kata lain, buluh adalah sejenis tumbuhan yang sangat tahan lasak.

Buluh dikatakan mempunyai kekuatan tegangan yang lebih tinggi dari keluli. Menurut tulisan Nathalie Brundell yang tersiar dalam Lochtree pada 27 Ogos 2021, buluh mempunyai kekuatan tegangan sebanyak 28 000 PSI berbanding dengan keluli, iaitu sebanyak 23 000 PSI. Maka tidak hairanlah apabila buluh dipilih sebagai bahan binaan yang utama selama beribu-ribu tahun, khususnya di beberapa tempat di rantau Asia Tenggara. Selain itu, buluh mempunyai sifat semula jadi sebagai anti bakteria dan anti kulat sehingga sesuai dijadikan produk alatan rumah seperti berus gigi dan peralatan dapur yang bebas dari bakteria dan toksin.

Pemilihan buluh sebagai simbol ekosistem kepada Green School Bali dianggap tepat kerana berasaskan kepada penyelidikan moden yang dilaporkan oleh Nathalie, buluh membebaskan 35% lebih banyak oksigen ke udara berbanding  dengan pokok lain. Buluh juga boleh menyerap 12 tan karbon dioksida setiap hektar dan tahun sehingga menyebabkan pakar dalam kajian alam sekitar percaya bahawa buluh boleh memainkan peranan penting dalam masa depan yang lebih hijau.

Dengan prospek yang lebih cerah di samping meluaskan kesedaran dan kefahaman tentang pentingnya penjagaan ekosistem, Green School telah mengorak langkah dengan membuka beberapa lagi cawangan di seluruh dunia, iaitu di Taranaki, New Zealand; Western Cape, Afrika Selatan; dan Tulum, Mexico. Kurikulum “hidup” Green School adalah untuk mendidik kelestarian melalui pembelajaran keusahawanan bersepadu komuniti dalam persekitaran tanpa dinding dan alam semula jadi. Mesej yang dibawa ini sama seperti di setiap cawangan, iaitu berusaha untuk memperjuangkan modul pendidikan baharu yang dapat memupuk masyarakat agar dapat berkembang maju dalam dunia yang sentiasa berubah tanpa mengabaikan aspek kemampanan dalam kehidupan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.