Oleh Suyuthi Yusuf
27 Mei 2023, 11:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pemain industri perbukuan perlu menjual idea serta identiti masing-masing, dan bukannya hanya menjadikan platform media sosial untuk mencari keuntungan semata-mata.

Pandangan tersebut diutarakan oleh tiga ahli panel dalam program “Dialog Buku Negara 2023: Menjana Pendapatan Melalui Kandungan” sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur kali ke-40 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), semalam.

Encik Syamil Fahim (Ketua Pegawai Eksekutif Nu Eduktiv Sdn. Bhd.) menerangkan secara ringkas keterlibatan beliau dalam menterjemahkan kandungan dan bahan ilmu ke bentuk yang lebih dinamik dan relevan dengan keadaan semasa selain menjual buku semata-mata. Ujarnya,

Encik Syamil Fahim (Ketua Pegawai Eksekutif Nu Eduktiv Sdn. Bhd.) sedang menerangkan tentang keadaan semasa pasaran buku sekarang.

Kita harus melihat perkembangan yang ada di sekeliling kita. Apa yang boleh dibuat dengan karya dan bahan bacaan yang ada selain menjualnya dengan bentuk buku? Perlu kenal produk dan proaktif serta tahu apa yang orang suka dengan bahan kita.

Selanjutnya, ahli panel lainnya iaitu Encik Hafizul Faiz selaku seorang penulis juga berpandangan yang sama bahawa pasaran baharu sekarang bagi melangsungkan hayat perbukuan ialah melalui platform media sosial seperti Tik Tok. Namun begitu, platform tersebut hanyalah sebagai pasaran baharu semata-mata bagi memasarkan buku. Jelasnya,

Pergelutan sebenar dalam industri perbukuan ialah menjual nilai dan idea buku. Nilai dalam buku tidak akan mati. Media sosial hanyalah platform semata-mata.

Encik Hafizul Faiz sedang menjelaskan tentang peranan media sosial dalam melangsungkan industri perbukuan.

Berkenaan dengan nilai dan idea, ahli panel lainnya iaitu Encik Mior Hashim (Pengarah filem/pelakon), berpandangan bahawa pentingnya sebuah pemikiran yang boleh membangunkan tamadun bangsa dibentuk dalam kalangan individu yang terlibat dalam dunia kreatif. Beliau menjelaskan pengalamannya sendiri dalam dunia perfileman bagi mencari pemikiran tertentu yang boleh dibawa ke dalam masyarakat.

Jangan hanya mencari populariti semata-mata. Perlu buat karya yang boleh membangunkan negara, bangsa dan agama. Kalau tiada penulis yang boleh membangunkan pemikiran dan idea sebegitu, macam mana kita hendak lahirkan Sasterawan Negara yang seterusnya?

Dialog Buku Negara ini dijayakan oleh Persatuan Industri Buku Bumiputera Malaysia (PIBM). Turut hadir dalam dialog tersebut ialah Pengerusi Dialog Buku Negara, YBhg. Dato Hj. Mohd. Salleh Saidin, YBhg. Encik Nor Amin Ahmad, Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, dan YBhg. Encik Mohd Khair Ngadiron, Pengerusi Pengelola Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.