30 Mei 2023, 18:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala LumpurKoleksi Kartun Dewan Pelajar: “Di dan Pi” dan “Abol Batu” yang berjaya menduduki carta paling teratas dalam penjualan buku di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semalam bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa (PBAKL) Kuala Lumpur 2023 telah membuktikan bahawa koleksi kartun tersebut menjadi pilihan sebagai satu daripada cara untuk menggalakkan masyarakat membaca tanpa mengira peringkat usia.

Koleksi Kartun Dewan Pelajar: “Di dan Pi” dan “Abol Batu” yang menghimpunkan pelbagai koleksi kartun karya Imuda.

Koleksi kartun yang dihasilkan oleh kartunis terkenal, iaitu A. Rahim Muda atau lebih dikenali sebagai Imuda ini berjaya menarik perhatian para pengunjung di PBAKL 2023 untuk menjadikan koleksi tersebut sebagai bahan bacaan santai dan satu karya hiburan yang memberikan kesan positif terhadap pembacanya.

A. Rahim Muda (Imuda).

“Jika seseorang itu minat dan hendak melukis, mereka memerlukan kepakaran bagi mencipta sesuatu kerana segala yang berada di sekeliling kita menggunakan kepakaran melukis,” kata Imuda ketika berkongsikan pandangannya dalam “Slot Bersama Imuda” di reruai DBP, PBAKL 2023, hari ini.

Koleksi Kartun Dewan Pelajar: “Di dan Pi” dan “Abol Batu” merupakan penerbitan sulung genre kartun terbitan DBP yang tidak menggunakan dialog yang panjang tetapi masih dapat difahami oleh pembaca, ilustrasinya sederhana dan mengandungi pelbagai mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat.

Menurut Imuda, cabaran menjadi seorang pelukis ialah apabila pelukis itu perlu menvisualkan suatu situasi yang ingin disampaikan menerusi lukisan, misalnya komik bisu, yakni komik tanpa dialog yang memerlukan pelukis berusaha melukis idea lukisan sehingga membolehkan para pembaca dapat memahami maksud di sebalik lukisan komik tersebut.

Puan Nur Shamiera Zahid dan Encik Muhammad Haziq Zakaria selaku pengacara program “Slot Bersama Imuda” di reruai DBP, PBAKL 2023.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Penolong Pelukis Ilustrasi di DBP turut menyatakan bahawa kerjaya sebagai seorang pelukis tidak boleh dilakukan secara bersendirian dan memerlukan bantuan daripada orang lain agar terus bersemangat bagi meneruskan kerjaya dalam bidang ini.

Oleh hal yang demikian, beliau menjadikan kartunis lagenda, iaitu Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk Lat sebagai idola kepada beliau untuk menjadi seorang pelukis yang berjaya dengan mengamati segala karya lukisan Datuk Lat dan daripada situlah timbulnya semangat kepada beliau untuk menghasilkan setiap karya lukisannya.

Pengunjung PBAKL 2023 yang memeriahkan program “Slot Bersama Imuda”.

“Tiada jalan penamat bagi seorang pelukis kerana mereka tidak akan berjaya selagi tidak mencapai matlamat yang ingin dicapai,” ujar Imuda lagi.

Puan Siti Masni Kospin.

Sementara itu, Pengurus Projek bagi “Slot Bersama Imuda”, Puan Siti Masni Kospin menyatakan bahawa penganjuran program tersebut bertujuan memberikan peluang kepada pengunjung PBAKL 2023 untuk mendapatkan buku dengan harga yang lebih murah berbanding dengan harga biasa sekali gus menggalakkan budaya membaca, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

Koleksi Kartun Dewan Pelajar: “Di dan Pi” dan “Abol Batu” dapat memupuk semangat ingin tahu kanak-kanak melalui ilustrasi kartun yang ditunjukkan dan secara tidak langsung kanak-kanak akan mula membaca atau saling bertukar pandangan berkenaan dengan koleksi kartun tersebut,” kata Puan Siti Masni Kospin ketika ditemu bual oleh penulis.

Beliau berpandangan bahawa penerbitan komik dalam bentuk bercetak ataupun digital bukan sahaja mampu menarik minat perhatian pembaca dalam semua golongan kerana dialognya yang pendek, ringkas berserta ilustrasi yang menarik, malah seiring dengan perkembangan semasa, penerbitan komik sangat memainkan peranan penting dalam mendidik generasi pada masa akan datang melalui pembacaan.

Antara pengunjung PBAKL 2023 yang berjaya dalam sesi soal jawab dalam “Slot Bersama Imuda” di reruai DBP.

Dengan adanya penerbitan koleksi kartun seumpama ini, pelbagai mesej dapat disampaikan kepada masyarakat sekali gus mampu memupuk budaya membaca dalam diri di samping berhibur dengan watak yang terdapat dalam koleksi kartun tersebut.

Sesi autograf bersama-sama Imuda.

Pembaca boleh mendapatkan koleksi kartun ini di reruai DBP sepanjang PBAKL 2023 berlangsung dengan harga yang istimewa atau melalui laman sesawang Jendela DBP dan DBP Niaga.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.