3 Jun 2023, 14:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Pemangku Raja Perlis merasmikan Hub Komuniti @ Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP), UniMAP di He & She Cafe, Kampus Alam Pauh Putra, semalam.

Pauh Putra – Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Hub Komuniti @ Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di He & She Cafe, Kampus Alam Pauh Putra, semalam.

Keberangkatan tiba Baginda merangkap Canselor bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor disambut oleh Naib Canselor UniMAP, YBhg. Prof Datuk Dr. Ir Ts Zaliman Sauli.

Turut hadir ialah Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, YBrs. Encik Shaiful Rizal Abd Ghani dan Penolong Pengarah Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan Negeri Perlis, YBrs. Encik Mohd Zulhimi Rosli.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah,

Gunakan sumber ilmu yang ada sebaiknya. Setiap perpustakaan yang ada telah menyediakan bahan bacaan dan sumber ilmu yang tidak terkira banyaknya. Jadi, adalah menjadi satu kerugian jika kita tidak menggunakannya untuk menambah ilmu di dada kita.

Jemput dan ajaklah ahli keluarga dan sahabat handai untuk mengunjungi hub komuniti yang terdekat. Hal ini kerana kita memerlukan komuniti yang celik dan cakna dengan ilmu pengetahuan yang terkini agar kita tidak ketinggalan di belakang orang lain.

Titah Tuanku Pemangku Raja lagi,

Kini, penggunaan pelantar media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok, dan juga Twitter adalah begitu meluas sekali. Jadi, kita seharusnya menggunakan pelantar-pelantar sebegini untuk menyebarkan dan berkongsi tentang kebaikan dan manfaat yang boleh didapati di hub komuniti. Secara tidak langsung, masyarakat sekeliling juga akan memperoleh faedah daripada penggunaan hub komuniti ini.

Zaliman pula dalam ucapan aluannya terdahulu daripada itu berkata, majlis perasmian Hub Komuniti @ PTSFP ialah salah satu inisiatif berimpak dalam memperkasa strategi libat sama dan pembangunan komuniti. Melalui deklarasi inisiatif Hub Komuniti, Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra komited untuk merangka, melaksana dan meluaskan impak sumber maklumat, fasiliti, perkhidmatan dan kepakaran untuk kesejahteraan komuniti.

Dalam majlis yang sama Baginda berdua berkenan menyaksikan penyampaian surat tawaran perkhidmatan negeri disampaikan oleh Pengurus Besar, Encik Syaiful Rizal mewakili Yayasan Bank Rakyat kepada 10 buah keluarga anak autisme.

Raja Pemangku Perlis dan Raja Puan Muda mencemar duli menyaksikan penyampaian surat tawaran perkhidmatan Negeri yang disampaikan oleh Pengurus Besar, Encik Syaiful Rizal mewakili Yayasan Bank Rakyat kepada 10 buah keluarga anak autisme.

Baginda berdua turut melawat pameran dan program Hub Komuniti dengan reka bentuk 3D melibatkan 15 pelajar sekolah, dan juga dengan pemandangan panorama atau “panorama view” dengan 14 pelajar terbabit serta menyantuni anak-anak autisme yang hadir.

Untuk rekod, PTSFP menawarkan akses kepada jutaan teks penuh e-jurnal, e-buku dan lebih 100,000 objek digital bahan pembelajaran dan penyelidikan yang dihasilkan oleh warga UniMAP. Sumber ini boleh diakses di pelantar Hub Komuniti@ PTSFP di aras satu bangunan berkenaan.

Pemangku Raja Perlis berkenan mencemar duli menyantuni anak-anak pengunjung.
Raja Puan Muda Perlis mencemar duli melawat pameran.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.