8 Jun 2023, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Berdasarkan pelaporan analisis keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022, sebanyak 10 109 calon memperoleh keputusan cemerlang (gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran berbanding dengan 9696 calon pada tahun 2021.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Haji Pkharuddin Haji Ghazali berkata lebih 403 637 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM tahun 2022 di 3355 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.

Pencapaian SPM tahun 2022 telah menunjukkan peningkatan dari aspek gred purata dan peratus layak sijil. Hal ini membuktikan bahawa usaha yang dilaksanakan pada peringkat KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah berada pada landasan yang betul.

“Pencapaian calon pada kali ini adalah lebih baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) adalah sebanyak 4.74 berbanding dengan 4.86 pada tahun 2021, iaitu perbezaan sebanyak 0.12 mata.

Demikian jelas beliau ketika menyempurnakan pengumuman keputusan peperiksaan SPM Tahun 2022 di Kompleks E8 Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada pagi tadi.

Sementara itu, Datuk Haji Pkharuddin turut memaklumkan bahawa bilangan calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran adalah sebanyak 75 322 calon berbanding dengan 71 842 calon pada tahun 2021, iaitu peningkatan sebanyak 3480 calon.

Bagi calon yang memperoleh sekurang-kurangnya lulus dalam semua mata pelajaran pula adalah lebih 128 193 calon berbanding dengan 129 796 calon pada tahun 2021.

Selain itu, sebanyak 1490 orang Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK), iaitu dalam kalangan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) telah menduduki peperiksaan SPM tahun 2022. Berdasarkan jumlah tersebut, sebanyak 75.8 peratus CBPK layak memperoleh sijil SPM tahun 2022 berbanding dengan 69.1 peratus pada tahun 2021.

Mengulas lanjut, beliau berkata calon boleh mendapatkan slip keputusan peperiksaan SPM tahun 2022 secara dalam talian, di samping menyemak keputusan melalui sistem pesanan ringkas (mySMS).

Ujar beliau, KPM sentiasa menitikberatkan kualiti dan standard sijil SPM menerusi kerjasama dengan badan-badan pentaksiran luar negara.

Usaha ini adalah untuk memastikan hasrat melahirkan Anak yang Baik Lagi Cerdik dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah pada peringkat global.

Foto: Khai DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.