23 Jun 2023, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Sebanyak 46 penguat kuasa menamatkan latihan Kursus Asas Penguat Kuasa Selangor Siri 1/2023 di Pusat Latihan Penguat Kuasa Selangor (PULAPES), Jugra pada hari ini.

Jugra – Pusat Latihan Penguat Kuasa Selangor (PULAPES) telah melaksanakan Kursus Asas Penguat Kuasa Selangor Siri 1/2023 yang melibatkan sebanyak 46 orang pegawai dan anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta agensi penguatkuasaan lain di Selangor.

Dalam ucapan perasmian Majlis Perbarisan Tamat Latihan, Ketua Penolong Setiausaha (Modal Insan) pada pagi tadi, Tuan Mohd Muqsidi Tohid@Zulkifli mengucapkan tahniah kepada peserta atas komitmen dan berharap agar mereka dapat memberikan pucuk kepimpinan terbaik, seterusnya menuju arah masa depan yang lebih efisien dalam memberikan perkhidmatan terhadap masyarakat.

Tuan Mohd Muqsidi Tohid@Zulkifli, Ketua Penolong Setiausaha (Modal Insan).

Kita perlu bersikap profesional dan jangan culas dalam melaksanakan tugas kerana segala tindak-tanduk kita akan diperhatikan oleh masyarakat sekeliling. Setiap perlakuan kita melambangkan imej sebuah jabatan atau agensi kerajaan.

“Sebagai penguat kuasa, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menggalas tanggungjawab yang besar. Jalankannya dengan penuh integriti di mana-mana pun kita berada. Lakukannya dengan segenap hati.”

Demikianlah kata Tuan Mohd Muqsidi semasa menyampaikan amanat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Haji Haris Kasim.

Menurut Komandan PULAPES, Tuan Muhammad Osman, kursus ini merupakan satu bentuk latihan dan kemahiran untuk menekankan kekentalan jati diri, kekuatan fizikal dan rohani penguat kuasa berjiwa tegas, berdisiplin, berhemah, bertanggungjawab dan berintegriti.

Tuan Muhammad Osman, Komandan PULAPES.

Ketika diwawancara oleh sidang editor Dewan Masyarakat, Tuan Muhammad berkata,

Tugas penguat kuasa adalah mencabar dan memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang tinggi, terutamanya dalam menangani isu dan persepsi orang ramai yang mengharapkan perkhidmatan berkualiti.

Mengulas lanjut, Tuan Muhammad berkongsi bahawa penubuhan PULAPES sejak tahun 2003 diwujudkan atas dasar merealisasikan Selangor Maju 2005, melalui pendekatan kursus dengan pelbagai modul seperti pengetahuan asas undang-undang, tatacara kerja dalam penguatkuasaan, menguji ketahanan fizikal dan kawad, serta sahsiah diri dalam khidmat masyarakat.

“Alhamdulillah, atas komitmen semua, PULAPES berjaya melaksanakan modul yang bersesuaian dan menjalankan latihan asas. Selain itu, kita juga turut menyediakan kursus lanjutan dengan kerjasama beberapa pihak,” ujar beliau.

Menerusi perkhidmatannya selama 37 tahun, Tuan Muhammad berkata bahawa tanggungjawab penguat kuasa adalah untuk memastikan undang-undang yang diperuntukkan oleh agensi dan PBT dilaksanakan dan dipatuhi bagi mencapai matlamat komuniti setempat.

Foto: Khai DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.