26 Jun 2023, 10:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Program UiTMPerlis@Komuniti: Ukhuwah Fillah bersama Teratak Rahmat diadakan di Pusat Jagaan Teratak Rahmat, Mata Ayer Perlis.

Arau – Pendidikan asas merupakan komponen penting dalam pembangunan sesebuah komuniti, yakni merupakan antara tujahan penting yang digariskan dalam kerangka Malaysia MADANI terutamanya pendidikan kepada golongan asnaf.

Pendidikan asas seperti membaca, menulis dan mengira (3M) perlu diberi penekanan untuk mengelakkan golongan asnaf ini tercicir kerana menerusi pendidikan, mereka mampu keluar dari kemiskinan.

Menyedari keperluan tersebut, UiTM Cawangan Perlis mengambil inisiatif melalui dua penganjuran Program UiTM Perlis@Komuniti, iaitu Program Ukhuwah Fillah bersama Teratak Rahmat dan Sumbangan MADANI Curahan Kasih selama dua hari bermula 24 hingga 25 Jun 2023.

Kedua-dua program tersebut diadakan di dua tempat berasingan, iaitu di Pusat Jagaan Teratak Rahmat, Mata Ayer dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Kuala Perlis, Kuala Perlis.

Program yang dilaksanakan oleh sekumpulan pelajar dari Fakulti Sains Gunaan menerusi kursus Etika dan Pembangunan Kendiri yang diketuai oleh saudari Nur Elia Eliyana Indra Putra dan saudara Muhammad Afiq Haikal Azhar ini melibatkan penyertaan hampir sebanyak 70 orang anak-anak asnaf yang berumur bermula daripada 6 hingga 12 tahun.

Aktiviti yang dijalankan melibatkan beberapa aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK) seperti asas matematik, asas membaca melalui permainan papan kenyataan (board game), bina jambatan, teka-teki dan aktiviti mencanting batik.

Penganjuran program ini dapat mencitrakan keperluan untuk terus membantu komuniti yang memerlukan, sekali gus meningkatkan kemahiran 3M dalam kalangan kumpulan sasar.

Selain itu, program ini turut membantu untuk mewujudkan rasa kesedaran dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar UiTM Cawangan Perlis bagi membantu masyarakat setempat secara sukarela.

Penasihat program, Puan Eliy Nazira Mat Nazir mengatakan bahawa aktiviti sedemikian sangat sesuai dilakukan oleh pelajar kerana mampu mewujudkan rasa empati dalam diri.

Para pelajar ini juga dapat mempraktikkan kemahiran asas yang dipelajari dalam kelas seperti penyelesaian masalah, perancangan dan penyelesaian projek, kerja berpasukan, dan komunikasi yang berkesan.

Kemahiran ini dapat membantu mereka cemerlang dalam bidang kerjaya pilihan mereka kelak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.