27 Julai 2023, 14:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pengurusan risiko dalam dunia keusahawanan memang tidak dapat dipisahkan. Risiko yang terurus atau di luar jangka merupakan satu daripada perkara yang amat penting dalam pembentukan jati diri seorang usahawan. Hal ini demikian kerana dalam perjalanan hidup seorang usahawan, kegagalan dalam perniagaan merupakan perkara biasa yang telah menjadi lumrah.

Risiko perniagaan merujuk pada ancaman yang ditimbulkan oleh perniagaan yang berpunca daripada persekitaran politik, ekonomi, masyarakat dan teknologi firma. Risiko ini mungkin berpunca daripada perubahan yang tidak dijangka dalam dasar dan tindakan kerajaan atau firma pesaing.

Risiko perniagaan juga dikaitkan dengan sifat seseorang usahawan yang berani mencuba sesuatu yang baharu dan berani untuk gagal. Kerugian mampu milik bermaksud sejauh manakah seseorang usahawan itu bersedia untuk menanggung kerugian dalam perniagaannya. Setiap perniagaan pastinya ada risiko. Risiko datang dalam pelbagai keadaan, antaranya termasuklah risiko wang, risiko masa dan risiko tenaga.

Apabila seseorang ingin berniaga atau ingin mengembangkan perniagaan yang lebih besar, sudah tentu mereka juga menghadapi risiko yang sama. Jika kita mempertaruhkan segala-galanya dan kemudian kita gagal, namun kita tidak mampu untuk bangkit semula, maka itu bukanlah ciri seorang usahawan yang berjaya. Bagi usahawan yang tulen, mereka mempunyai prinsip kerugian yang berpatutan dan mampu dihadapi oleh mereka.

Sebagai contoh, apabila seseorang usahawan itu menggunakan RM20 000 untuk modal perniagaannya dan kemudian RM20 000 itu hilang atau habis, adakah usahawan tersebut sanggup menghadapi risiko tersebut? Jika sanggup, maka itu adalah titik kerugian yang dimaksudkan berpatutan.

Keusahawanan merupakan proses mencipta sesuatu yang baharu dan bernilai dengan mengambil risiko yang terurus. Keusahawanan juga sinonim dengan keadaan mencipta peluang terhadap masalah yang dihadapi oleh masyarakat pengguna, seolah-olah mencari momentum yang tepat. Contohnya, sewaktu pandemik COVID-19, banyak perniagaan yang menghadapi kesukaran dan akhirnya terpaksa ditutup. Namun begitu, jika perniagaan yang berakar umbikan falsafah keusahawanan yang berprinsipkan “teori keberkesanan”, perniagaan tersebut mempunyai peluang yang lebih besar dan lebih kukuh untuk bertahan malahan boleh terus berkembang.

Para usahawan tulen sentiasa memikirkan masalah yang dihadapi oleh usahawan lain untuk memberikan penyelesaian yang betul dan tepat kepada masyarakat pengguna. Keperluan pemakaian topeng muka semasa pandemik COVID-19, telah membuka industri perniagaan yang baharu kepada usahawan, iaitu penghasilan topeng muka yang juga boleh digayakan sebagai satu daripada daya tarikan fesyen masa kini.

Selain itu, industri kosmetik juga sudah sudah mula mengalihkan tumpuan daripada perusahaan kecantikan kepada industri kesihatan. Hal ini menunjukkan bahawa pengurusan risiko yang berkesan merupakan prinsip keberkesanan dalam perkembangan dunia keusahawanan dan merupakan suatu prinsip yang diperlukan oleh usahawan untuk membuat keputusan yang terurus dalam menghadapi situasi yang tidak menentu.

Seseorang usahawan itu tidak perlu takut untuk memulakan perniagaan dan berinovasi dalam keusahawanan. Proses awal dalam membina perniagaan pastinya amat mencabar, kerana kegigihan itu perlu sentiasa disemai dalam diri.

Dalam era digital kini, banyak peluang perniagaan yang boleh dilakukan dengan modal dan risiko yang minimum dan boleh dibuat hanya dari rumah sahaja. Langkah yang perlu diambil oleh setiap usahawan ialah melihat keperluan masyarakat sekeliling dan mengambil perhatian terhadap trend semasa. Selepas itu, usahawan tersebut bolehlah memilih perniagaan yang paling sesuai untuk terokai oleh mereka.

Dunia perniagaan kini semakin bergantung pada ledakan perkembangan teknologi yang membawa kepada longgarnya halangan perdagangan dan penurunan kos komunikasi. Perkara ini merupakan satu daripada risiko perniagaan yang semakin melangkaui sempadan negara dan menjadi pemangkin kepada krisis kegagalan perniagaan.

Usahawan yang tidak memahami risiko strategik perniagaannya mungkin akan menumpukan pada perkara yang salah, sedangkan terdapat perkara lain yang boleh menjejaskan perniagaan mereka. Contohnya, apabila sesuatu produk perniagaan itu laris, usahawan tersebut akan terus meningkatkan kuantiti pengeluaran, sedangkan dalam masa yang sama, terdapat pesaing baharu yang sedang memperkenalkan produk lain yang lebih baik, dengan harga yang lebih murah.

Perniagaan yang mempunyai nilai modal insan yang tinggi berupaya menangani permasalahan ini, manakala perniagaan yang kurang mempunyai nilai modal insan pula mengganggap, tekanan daripada persekitaran perniagaan sebagai ancaman utama yang menyebabkan mereka gagal menangani krisis tersebut. Oleh itu, pemahaman terhadap risiko persekitaran perniagaan amat penting kepada usahawan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.