19 April 2024, 08:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tempat kerja seharusnya berfungsi sebagai tempat yang dapat memberikan persekitaran yang kondusif dan selamat kepada para pekerja. Walau bagaimanapun, pada masa ini tempat kerja dikatakan telah menjadi punca berlakunya tekanan, kebimbangan dan kemurungan kepada para pekerja. Selain daripada cabaran kerja itu sendiri, beberapa elemen dalam persekitaran tempat kerja turut menyumbang kepada kemerosotan kesihatan mental pekerja secara ketara.

Antara faktor tersebut termasuklah waktu kerja yang panjang dan jadual yang mencabar sehingga menyebabkan pekerja berasa keletihan, kepenatan dan tidak dapat mengekalkan keseimbangan gaya hidup dengan cara kerja yang sihat. Tempoh masa yang tidak realistik dan budaya “perlu sentiasa bersedia” turut memburukkan keadaan tersebut. Perasaan autonomi dan kawalan terhadap tugas, jadual dan proses membuat keputusan penting bagi menjamin kesihatan mental seseorang individu. Kehilangan perasaan autonomi boleh menyebabkan rasa kekecewaan dan kekurangan motivasi diri.

Dinamik tempat kerja yang toksik, seperti gejala buli, gangguan psikologi dan kurangnya penghargaan, telah membentuk persekitaran yang tidak mesra dan mengganggu kesejahteraan mental seseorang pekerja. Komunikasi yang lemah dan kefahaman yang tidak jelas tentang tugas, peranan dan tanggungjawab turut mewujudkan kekeliruan, kekecewaan dan meningkatkan tahap tekanan dalam kalangan pekerja. Selain itu, ketidakwujudan sokongan dan pengiktirafan daripada rakan sekerja atau ketua boleh memberikan kesan negatif kepada semangat pekerja dan keyakinan diri.

Suasana tempat kerja yang tidak selamat atau tidak sihat, pencahayaan yang tidak mencukupi dan kualiti udara yang buruk, turut menyumbang kepada ketidakselesaan fizikal dan tekanan mental kepada pekerja.

Isu kemerosotan kesihatan mental di tempat kerja bukan hanya memberikan kesan buruk kepada individu, malah turut menganggu peningkatan prestasi kerja sesebuah organisasi. Pekerja yang menghadapi masalah kesihatan mental akan mengurangkan produktiviti kerja. Hal ini akan menyebabkan kadar ketidakhadiran yang lebih tinggi, kesilapan dalam melaksanakan tugasan dan timbulnya masalah kesihatan fizikal akibat berlaku tekanan kronik.

Organisasi mempunyai peranan penting dalam membentuk budaya kerja yang dapat memberikan keutamaan kepada kesihatan mental pekerja. Setiap organisasi disarankan untuk mengamalkan langkah berikut bagi menggalakkan persekitaran kerja yang kondusif dan sihat. Berikut merupakan beberapa perkara yang boleh difikirkan untuk menyeimbangkan emosi warga kerja:

  1. Mempromosikan “keseimbangan kehidupan bekerja” melalui waktu bekerja yang munasabah dan pengaturan kerja yang fleksibel untuk menghalang kerja yang berlebihan dan menggalakkan masa rehat pemulihan.

 

  1. Memberikan kuasa kepada pekerja dengan autonomi dan kawalan untuk meningkatkan rasa memiliki, keupayaan menyelesaikan masalah dan kepuasan bekerja secara keseluruhan.

 

  1. Mengalakkan budaya hormat dan inklusi melalui dasar sifar toleransi untuk mengelakkan gejala buli dan gangguan emosi. Hal ini boleh dilakukan dengan mempromosikan inisiatif kepelbagaian, keadilan dan inklusi.

 

  1. Meningkatkan komunikasi dan menetapkan jangkaan yang jelas mengenai tugas, peranan, dan tanggungjawab. Perkara ini dapat meningkatkan kejelasan, mengurangkan kekeliruan dan memupuk suasana kerja yang kolaboratif.

 

  1. Menyediakan sokongan dan sumber yang mencukupi seperti program bantuan pekerja dan perkhidmatan kaunseling sulit. Hal ini secara tidak langsung dapat memberikan laluan kepada pekerja untuk mencari bantuan dan mengatasi cabaran kesihatan mental.

 

  1. Mempromosikan kesedaran dan pendidikan mengenai kesihatan mental melalui bengkel dan program latihan untuk membekalkan pekerja dengan strategi menguruskan tekanan dan memberikan keutamaan kepada penjagaan diri.

Apabila organisasi dapat memberikan keutamaan kepada kesihatan mental pekerja, organisasi dapat mencipta persekitaran kerja yang lebih sihat, bahagia dan lebih produktif. Tempat kerja yang kondusif tidak hanya memberikan manfaat kepada pekerja secara individu, malah turut menyumbang kepada kejayaan dan reputasi organisasi secara keseluruhannya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.