Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangDewasa ini, kos sara hidup di Malaysia semakin meningkat apabila rakyat berhadapan dengan peningkatan harga barang dan keperluan asas serta kos pendidikan, pengangkutan dan aset seperti harga rumah yang tinggi. Perkara ini memberikan impak kepada masyarakat di Malaysia dan golongan belia tidak terkecuali.
Belia ialah golongan muda, iaitu yang berumur di bawah umur 40 tahun. Mereka menempuh hidup berdikari dengan mendapat pekerjaan dan menampung perbelanjaan sendiri. Pada masa akan datang, tanggungan mereka berkembang apabila membina keluarga sendiri. Dalam menghadapi krisis kewangan ini, belia di Malaysia perlu bersikap bijaksana dengan merancang masa hadapan seawal usia dan bersedia menghadapi apa-apa sahaja cabaran. Hal ini demikian kerana belia ialah tonggak pelapis negara dalam mamacu kemajuan dan pembangunan sektor ekonomi, budaya, sosial dan bangsa.
Persoalan yang timbul pada era globalisasi ini ialah: Bagaimanakah golongan belia ini mampu menguruskan kewangan atau pendapatan dengan berhemah tanpa terlibat dengan krisis kewangan yang menjerumuskan mereka kepada masalah hutang yang serius? Merujuk daripada Jabatan Insolvensi Malaysia, secara purata, sebanyak 68 orang diisytiharkan muflis pada setiap hari dan lebih mengejutkan lagi, golongan belia yang berumur antara 35 tahun hingga 44 tahun mencatatkan peratusan yang tertinggi.
Apa yang lebih menggusarkan lagi, hasil kajian yang dilakukan oleh Pusat Penyelidikan Undian UCSI University mendapati bahawa 73 peratus daripada belia negara sudah pun mempunyai komitmen hutang. Badan penyelidikan itu juga menyatakan bahawa kajian yang dibuat melibatkan 1077 responden dalam kalangan belia ini menunjukkan kira-kira tiga per empat daripada golongan tersebut tidak mempunyai modal yang mencukupi bagi komitmen kewangan tersebut dan bagi menghadapi tekanan kos sara hidup yang tinggi.
Natijahnya, kebanyakan belia di negara ini hidup sekadar cukup makan, malah ada yang hanya makan mi segera kerana terhimpit tidak cukup wang untuk berbelanja. Ada yang menghabiskan separuh pendapatan mereka untuk membayar hutang bulanan yang tinggi dan perbelanjaan seharian sehingga tiada simpanan yang dapat dilakukan. Perkara ini persis kehidupan yang pasrah dengan pergorbanan dan menjadi realiti senario kehidupan yang pahit untuk ditelan, ibarat “Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”. Selebihnya hanya untuk memenuhi tuntutan hidup, iaitu menyelesaikan kemelut hutang yang tertunggak. Bak kata pepatah, “Gali lubang, tutup lubang”.
Terjerat dengan Hutang
Sikap generasi muda dilihat berbeza daripada generasi terdahulu. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka lebih cenderung mengamalkan kehidupan yang materialistik dan akibat keperluan hidup yang semakin mendesak, golongan belia ini memilih jalan untuk berhutang. Pelbagai masalah kewangan yang dihadapi kerana kelalaian berbelanja pendapatan yang diterima dengan berhemah.
Penggunaan kad kredit yang tidak terkawal dan berbelanja secara berlebih-lebihan di kedai atau secara dalam talian merupakan isu besar yang dihadapi oleh kebanyakan belia. Belia seharusnya lebih peka dan berdisiplin dengan mendapatkan barang yang perlu sahaja dan mengurangkan hutang yang akan memberikan kesan kepada tekanan mental. Masalah kewangan seperti ini boleh menyebabkan mereka muflis pada usia yang begitu muda.
Ada juga dalam kalangan belia yang mempunyai beban pembayaran hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selepas menamatkan pengajian dan semasa mula bekerja. Segelintir belia mengeluh dan merasakan diri menjadi mangsa keadaan apabila terbeban dengan masalah kewangan yang meruncing kerana memperoleh pendapatan yang tidak stabil dan memiliki tangga gaji yang rendah dibandingkan dengan kos bagi menampung kehidupan seharian atau komitmen hidup yang tinggi.
Selain itu, fenomena penggangguran menghambat sebahagian golongan belia dengan krisis kewangan apabila terlalu memilih pekerjaan dan hanya menunggu serta berharap pada kerja yang hanya memberikan pendapatan yang lumayan. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Golongan muda perlu bersikap rasional dan merencana awal pada usia yang masih hijau dengan tidak memilih kerja. Yang paling penting adalah sentiasa bersyukur dengan apa-apa yang ada, gigih bekerja demi meraih sesuap nasi dan timba pengalaman kerja sebanyak mungkin daripada mempersoalkan berapa gaji yang diperoleh. Pengalaman yang diperoleh amat penting untuk mencorak kehidupan yang lebih berjaya.
Ukur Baju pada Badan Sendiri
Terdapat sebilangan belia yang suka berbelanja mewah dan lebih suka berhutang daripada membayar secara tunai. Situasi ini menepati pepatah Melayu yang mengatakan bahawa “Biar papa asal bergaya”. Budaya berbelanja secara boros seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana hanya memberikan masalah yang besar kepada individu itu sendiri. Hakikatnya, ada yang menggunakan pelbagai kad kredit dan berbelanja demi menampung gaya kehidupan yang mewah dan lebih daripada kemampuan diri.
Seharusnya golongan belia cakna dan belajar menguruskan perbelanjaan dengan bijak. Jangan menjerat diri semata-mata kerana ingin meniru gaya kehidupan orang lain dan mahu dipandang tinggi walau pada hakikatnya terpaksa mengikat perut, bergolok gadai atau meminjam wang daripada orang lain. Perkara ini membinasakan diri sendiri. Tidak cukup dengan itu, terdapat juga belia yang suka meminjam dari insititusi kewangan atau bank yang akhirnya menyusahkan diri dan keluarga kerana terbeban dengan hutang dan kadar bunga yang tinggi.
Pengurusan Kewangan Menjamin Kesejahteraan Masa Hadapan
Literasi kewangan dan pemahaman untuk menguruskan pendapatan bulanan perlu dimiliki oleh setiap belia kerana kemahiran ini dapat membantu mengawal sikap boros dan membezakan keperluan dengan kehendak. Kesannya, kesungguhan untuk berubah dengan berbelanja dengan lebih cermat perlu diusahakan demi menjana status kewangan yang mampan agar masa hadapan lebih terjamin. Belia harus bestari dan sentiasa bersedia terutamanya bagi kes kecemasan. Sebagai contohnya, belia boleh mempertimbangkan keutamaan untuk mengambil insurans kesihatan sebagai pelaburan jangka masa panjang semasa masih sihat.
Golongan belia perlu sedar dan mula merancang menguruskan kewangan dengan berhemah. “Sedikit demi sedikit, lama-lama jadi bukit”. Belia boleh mengamalkan budaya menabung sejak usia muda dan menyimpan dalam pelaburan yang diiktiraf seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji. Golongan belia perlu menambahkan ilmu pengetahuan tentang pengurusan kewangan yang lebih baik.
Penyediaan dana kecemasan yang dilakukan secara komited dan sistematik perlu dilakukan sebagai satu kemahiran hidup bagi menghadapi perkara yang tidak diduga. Dana kecemasan ini diperlukan untuk mengelakkan diri daripada berada dalam situasi yang sesak tanpa apa-apa bekalan.
Belia juga seharusnya bijak menetapkan keutamaan untuk memiliki yang penting dahulu. Sebagai contohnya, belia perlu menimbang tara antara keperluan memiliki rumah yang selesa untuk diri atau keluarga dengan keperluan memiliki kenderaan mewah atau telefon pintar canggih yang mempunyai nilai susut yang lebih cepat.
Dengan peningkatan kos sara hidup, kita tidak lagi boleh berpeluk tubuh. Gunakan usia muda untuk bekerja sebaik mungkin. Belia boleh menjana pendapatan tambahan dengan menceburi Ekonomi Gig (Gig Economy) secara sambilan serta berniaga secara dalam talian. Perkembangan platform digital seiring dengan Revolusi Industri 4.0 ini perlu dimanfaatkan. Kini, sesiapa sahaja boleh membuat kerja sampingan menggunakan kemahiran atau kepakaran secara jarak jauh. Pendekatan ini sangat efisien dan dapat menjadi alternatif bagi menangani masalah kewangan, mengimbang kadar perbelanjaan harian di samping dapat menyumbang kepada kestabilan kewangan diri.
Belia harus bangkit dari kemelut hutang, bijak merancang perbelanjaan sejak usia muda dan kekal berdisiplin demi kelestarian kewangan dan kesejahteraan hidup. Hal ini adalah untuk melahirkan belia yang kekal sihat dan sejahtera akalnya berdasarkan enam rukun Malaysia MADANI yang digariskan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim demi kemampanan dan kelangsungan kehidupan.
“Dan janganlah kamu menghamburkan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan.” (Al-Isra, ayat 26-27)
Kredit foto: Towfiqu barbhuiya/Unsplash