Oleh Lutfi Zahid
29 Julai 2023, 14:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama calon DUN N.16 Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari dan calon DUN N.17 Gombak Setia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berarak ke Pusat Penamaan Calon di Dewan SMK Sungai Pusu, Gombak.

Jurufoto: Mohd Farid Janudin


Gombak
– Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 Negeri Selangor atau PRN Selangor menyaksikan 147 calon bakal berentap untuk merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Pertembungan tiga penjuru di DUN N.16 Sungai Tua, (dari kiri) Muhammad Hanif Jamaluddin (PN), Datuk Seri Amirudin Shari (PH), dan Suman Gopal (BEBAS).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, yang mewakili Pakatan Harapan (PH) berdepan dengan pertembungan tiga penjuru di DUN N.16 Sungai Tua. Beliau ditentang oleh calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Hanif Jamaluddin, dan calon bebas, Suman Gopal.

Pertembungan satu lawan satu antara calon PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kanan) dengan calon PH, Juwairiya Zulkifli di DUN N.18 Hulu Kelang.

Kerusi DUN N.18 Hulu Kelang pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan calon PH, Juwairiya Zulkifli, yang juga merupakan mantan setiausaha politik beliau dahulu.

Manakala kerusi DUN N.41 Batu Tiga, calon PH, Danial al-Rashid, bersaing dengan mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun yang mewakili PN, dan calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Cheda Razak.

Kerusi DUN N.17 Gombak Setia pula menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang mewakili BN, dengan penyandang kerusi, Muhammad Hilman Idham yang bertanding atas tiket PN pada kali ini, dan calon bebas, Mohamed Salim Mohamed Ali. Hilman Idham sebelum ini bertanding mewakili PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Calon DUN N.17 Gombak Setia yang bertanding, (dari kiri) Datuk Megat Zulkarnain Omardin, Muhammad Hilman Idham dan Mohamed Salim Mohamed Ali.

Tambah menarik, PRN Selangor pada kali ini menjadi tumpuan kerana persoalan siapakah yang bakal menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu? Adakah Selangor masih merupakan “deposit tetap” PH? Sebelum penamaan calon lagi, PN sudah menyatakan semangat dan tekad untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Selangor daripada tangan PH. Usaha tersebut pastilah bukan mudah kerana pada PRN kali ini, PH bergabung dengan sekutunya yang baharu, iaitu BN.

Baru-baru ini, YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH, mengumumkan bahawa Datuk Seri Amirudin Shari dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor jika parti itu memenangi PRN Selangor. Manakala bagi PN, parti itu memutuskan untuk tidak mengumumkan calon Menteri Besar Selangor, seperti dinyatakan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ratusan penyokong parti hadir memberikan sokongan kepada calon DUN N.16 Sungai Tua, N.17 Gombak Setia dan N.18 Hulu Kelang di Pusat Penamaan Calon di SMK Sungai Pusu, Gombak.

PH menyenaraikan 44 calon, iaitu 20 calon daripada PKR, 15 calon daripada DAP, dan sembilan calon daripada Amanah untuk bertanding dalam PRN Selangor ke-15. Manakala BN yang membentuk kerjasama dengan PH menamakan 12 calon.

PN menyenaraikan 31 calon daripada Bersatu, 17 calon daripada PAS dan lapan daripada Gerakan. Manakala Muda yang bekerjasama dengan Parti Sosialis Malaysia mengumumkan 18 calon.

Dalam PRU-14 yang lalu, PH memperoleh kemenangan besar di Selangor dengan memenangi 51 kerusi daripada 56 kerusi yang dipertandingkan, manakala BN memperoleh empat kerusi, dan PAS satu kerusi.

Siapakah yang bakal memiliki Selangor? Gabungan “merah biru” atau “hijau biru”? Semuanya bakal terjawab pada 12 Ogos nanti.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.