Oleh Yusaida Yusof
29 Julai 2023, 16:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd Farid Janudin


Kota Bharu
 Pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan atau lebih dikenali sebagai PRN Kelantan  ditutup pada pukul 10.00 pagi hari ini. Kesemua calon 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan menyerahkan borang pencalonan masing-masing kepada Pegawai Pengurus di semua pusat penamaan calon yang ditetapkan.

PRN Kelantan pada kali ini menyaksikan pilihan raya bagi memilih Ahli DUN masing-masing secara berasingan daripada pilihan raya untuk kerusi Parlimen setelah pembubaran 45 kerusi DUN Kelantan pada 22 Jun yang lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Kelantan pada 12 Ogos 2023, manakala pengundian awal pada 8 Ogos 2023.

Jumlah pengundi pada kali ini di Kelantan ialah sebanyak 1 411 912 orang dan pastinya tumpuan pengundi terarah kepada dua gabungan parti terbesar, iaitu yang membentuk Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional (PN). Parti PAS dan Barisan Nasional masing-masing mencalonkan calon pilihan untuk 45 kerusi yang dipertandingkan, manakala PKR (8), BERSATU (12), AMANAH (23), PSM (1) dan BEBAS (4).

Kerusi DUN yang dimenangi oleh parti PAS sebelum ini dijangka dapat mengekalkan penguasaannya berdasarkan statistik yang menunjukkan peningkatan semula (penguasaan PAS) pada PRU14 setelah mengalami sedikit penurunan pada PRU13 yang lalu.

Sementara itu, penyandang kerusi DUN Pasir Pekan dari parti PAS, Datuk Ahmad Yakob yang sebelum ini merupakan Menteri Besar Kelantan mempertahankan kerusi tersebut dengan menyerahkan borang penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Falahiah, Pasir Pekan. Kehadiran para penyokong kedua-dua belah pihak memeriahkan lagi suasana di pusat penamaan calon tersebut yang telah berkumpul sejak awal pagi.

Untuk DUN Pasir Pekan ini, Datuk Ahmad menentang calon Pakatan Harapan (PH), Zaman Sahri Ibrahim yang menyerahkan borang penamaan calon pada pukul 9.01 pagi dan diikuti oleh Datuk Ahmad kira-kira lima minit kemudian. Pengumuman penamaan calon tersebut dibuat oleh Pegawai PRN DUN Pasir Pekan, Nik Abdul Halim Nik Hassan pada pukul 10.30 pagi.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.