Oleh Sakinah Sahwati
4 Ogos 2023, 15:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sijil Pelajaran Malaysia atau lebih dikenali sebagai SPM merupakan peperiksaan yang dianjurkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia sejak tahun 1964. SPM merupakan peperiksaan yang dikhususkan kepada pelajar yang berada di tingkatan lima dengan purata umur 15 tahun ke atas.

Perjalanan menuju SPM memerlukan dua fasa pengajian, iaitu enam tahun pada peringkat sekolah rendah, kemudian meneruskan pelajaran pada peringkat sekolah menengah selama lima tahun. Hal ini bermaksud, untuk menduduki SPM, seseorang perlu berada dalam sistem pendidikan negara untuk tempoh 11 tahun.

SPM dikatakan menjadi bukti bahawa pelajar berada “di garisan penamat” persekolahan kerana peperiksaan tersebut merupakan ujian terakhir yang wajib diduduki oleh pelajar menengah atas. Peperiksaan itu juga menjadi syarat untuk pelajar di negara ini untuk menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti. Yang bermaksud, setelah calon SPM menerima keputusan SPM, mereka mempunyai pilihan sama ada untuk mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), matrikulasi, atau kursus asas universiti. Pelajar juga diberikan pilihan untuk mengambil kursus di luar negara seperti A-level.

Walau bagaimanapun, semua peluang yang ingin diraih selepas SPM adalah bergantung pada keputusan SPM yang diperoleh. Jika cemerlang keputusannya, maka mereka mempunyai peluang yang cerah untuk menyambung pelajaran ke peringkat universiti di dalam dan di luar negara. Keputusan SPM yang cemerlang juga menjadi pengukur utama untuk meraih biasiswa.

Sementara itu, dalam bidang pekerjaan, kelulusan SPM menjadi syarat kelulusan akademik bagi kebanyakan pekerjaan di negara ini. Maka itu, letak kedudukan SPM itu dilihat sebagai yang tertinggi untuk setiap pelajar di negara ini. Namun begitu, hal ini tidak bermaksud SPM merupakan penamat untuk menguasai ilmu. SPM diibaratkan “tiket emas” untuk memilih haluan untuk lebih berjaya.

Perlu diakui bahawa cabaran sains dan teknologi menuntut generasi baharu untuk menguasai lebih banyak ilmu agar mampu bersaing pada peringkat antarabangsa. Hal ini dikatakan demikian kerana sains dan teknologi telah mengubah cara manusia berfikir dan bekerja. Perkembangan ini juga menjadikan kemajuan dunia bergerak pantas dalam semua bidang. Cabaran ekonomi bergantung sepenuhnya pada  kepantasan teknologi. Robot dicipta untuk meningkatkan pengeluaran kereta; komputer direka sebagai “bank” yang menyimpan data dari serata dunia; Internet menjadi jambatan penghubung semua penghuni di muka bumi ini; dan perniagaan secara maya menjadi lubuk kekayaan yang tidak pernah diduga.

Hal yang lebih penting lagi, generasi hari ini perlu menjadi lebih hebat daripada teknologi dan tidak keterlaluan jika dikatakan kita kini bersaing dengan teknologi. Di Amerika Syarikat misalnya, banyak pakar menjangkakan lebih sejuta pekerjaan manusia bakal digantikan dengan robot. Jika ramalan ini menjadi kenyataan, tenaga manusia tidak lagi diperlukan, malah manusia akan kehilangan banyak pekerjaan.

Maka itu, untuk menjadi generasi yang cemerlang, pendidikan merupakan senjata utamanya. Tidak ada jalan pintas untuk lahir sebagai seorang yang berilmu kerana pada hari ini hanya dengan ilmu manusia akan berjaya. Menjadi seorang guru, doktor, saintis, akauntan, jurutera, peguam, polis, bomba, dan sebagainya memerlukan ilmu yang diiktiraf bukan sahaja oleh negara, tetapi di peringkat dunia. Semua ilmu ini tidak akan dapat dicapai hanya dengan menguasai media sosial. Bagaimana mahu menjadi doktor jika tidak menuntutnya di institusi pengajian tinggi? Hal yang sama dengan profesion yang lain. Walau bagaimanapun, sebelum menjejakkan kaki ke menara gading, SPM menjadi penentu kelayakan seseorang.

 

Menuntut ilmu pada zaman dahulu pasti berbeza daripada zaman ini. Setiap zaman ada cabarannya dan cabaran itu pastinya bersesuaian dengan zamannya. Lihat sahaja bagaimana tokoh hebat dunia, Abd. Rahman bin Muhammad atau lebih dikenali sebagai Ibnu Khaldun menuntut ilmu dengan berhadapan dengan pelbagai cabaran. Ketika berusia 18 tahun, ilmuwan terhebat ini terpaksa berhenti belajar gara-gara Tunisia ditimpa wabak taun.

 

Walau bagaimanapun, beliau kembali melanjutkan pelajaran pada peringkat pengajian tinggi dengan guru dan ulama terkenal ketika tinggal di Maghribi. Sekitar tahun 1375, Ibnu Khaldun berhijrah ke Granada, Sepanyol. Sekali lagi beliau merantau lantaran keadaan politik di negara tersebut tidak stabil. Beliau ke Algeria, Bougie dan akhir sekali ke Mesir yang menjadi destinasi terakhirnya.

 

Ilmuwan termasyhur ini merupakan tokoh penting yang mampu menganalisis tamadun dari segi formula, faktor kegemilangan dan kejatuhannya. Beliau juga berupaya memberikan tafsiran sejarah berdasarkan ekonomi, psikologi, sosiologi, alam sekitar dan geografi. Ibnu Khaldun bukan sekadar pemikir semata-mata. Sebaliknya, beliau memiliki gagasan fikrah yang itu turut diaplikasikan ketika diberi tanggungjawab menyandang jawatan penting sepanjang hidupnya.

 

Ibnu Khaldun juga terkenal sebagai pelopor pemikiran moden seperti sejarah, politik, ekonomi, sosiologi dan pendidikan. Maka itu, tidak hairanlah beliau digelar sebagai bapa sejarah kebudayaan dan sains sosial moden. Dari segi ekonomi, Ibnu Khaldun ialah individu penting yang memajukan teori nilai dan hubung kait dengan tenaga buruh. Beliau juga memperkenalkan pembahagian tenaga kerja dan menyokong pasaran terbuka.

Jelaslah bahawa ilmu menjadi penentu kejayaan seseorang dan “memandu” pemikiran seseorang dalam kehidupan. Lantaran itu, apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa sebanyak 14 858 atau 3.8 peratus daripada 388 832 calon SPM 2022 tidak hadir menduduki peperiksaan, hal ini sesuatu perkara yang perlu diberikan perhatian yang serius. Berdasarkan analisis KPM, calon tidak hadir bagi SPM 2022 bertambah berbanding dengan SPM 2021 yang merekodkan 10 681 calon daripada keseluruhan 392 837 calon berdaftar.

Persoalannya, apakah faktor yang menyebabkan SPM tidak lagi dianggap sebagai penting oleh sesetengah generasi pada hari ini, khususnya calon SPM? Yang dibimbangkan adalah sekiranya calon (SPM) tidak hadir ini terus meningkat pada saban tahun dan akan terus menjadi ikutan lebih banyak remaja pada masa akan datang.

Menurut Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad, gaya hidup atau keinginan meraih pendapatan pada usia remaja menyebabkan calon SPM bertindak untuk tidak  menduduki peperiksaan itu. Faktor itu juga menyangkal dakwaan segelintir pihak yang cuba mengaitkan kemiskinan dengan punca calon SPM menolak peperiksaan itu. Hal ini dikatakan demikian kerana kerajaan telah melaksanakan banyak dasar dalam membasmi kemiskinan dalam pendidikan. Antaranya termasuklah menghapuskan yuran pendidikan dan yuran peperiksaan, menyediakan Asrama Harian, Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) dan Bantuan Awal Persekolahan (BAP).

Apabila calon SPM berasakan bahawa SPM tidak lagi menjamin masa depan mereka kerana pada hari ini pekerjaan atau meraih pendapatan tidak lagi diukur dengan keputusan SPM, sebaliknya bijak mengambil peluang yang ada menerusi pelbagai platform di media sosial dan “berlari” seiring dengan kehendak pengguna di media sosial sudah cukup untuk meraih pendapatan, malah ada yang menjadikan perniagaan secara dalam talian sebagai lubuk menjana pendapatan.

Ada juga dalam kalangan mereka yang lemah dalam pelajaran berasakan bahawa menduduki SPM tidak akan mengubah masa depan mereka lebih-lebih lagi sekiranya mereka mendapat keputusan yang kurang baik. Keadaan ini bukan sahaja menarik perhatian banyak pihak, malah Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan kebimbangannya dengan mencadangkan kelompok pelajar tersebut diberikan peluang kedua untuk menduduki semula SPM atau beralih ke Program Pusat Latihan Teknikal Dan Vokasional (TVET). Ujar Perdana Menteri, kelompok tersebut tidak boleh dibiarkan daripada terus tercicir kerana majoriti mereka merupakan golongan miskin.

Lantaran itu, KPM akan melaksanakan kajian terperinci mengenai punca sebilangan pelajar tidak menduduki peperiksaan SPM 2022. Menurut Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, hasil kajian itu akan dikongsikan termasuklah langkah intervensi untuk memastikan masalah ketidakhadiran calon SPM pada peperiksaan akan datang dapat diatasi.

Sebelas tahun berada dalam alam persekolahan bukanlah tempoh yang lama untuk berada di garisan SPM. Remaja perlu sedar bahawa sistem persekolahan di negara ini merupakan yang terbaik untuk membina masa depan setiap generasi. SPM bukan diwujudkan untuk murid yang berpotensi sahaja, sebaliknya SPM untuk semua murid yang layak mendudukinya. Cemerlang atau sebaliknya bukanlah penamat untuk segala-galanya.

Sistem pendidikan di negara ini dirangka dengan pengambil kira pelbagai potensi murid. SPM merupakan peperiksaan yang terbaik dan menepati standard yang diiktiraf oleh pakar tempatan dan antarabangsa. Peperiksaan ini juga tidak boleh diubah sewenang-wenangnya. Maka itu, setiap calon yang layak mendudukinya seharusnya mengambil peluang keemasan ini untuk bekalan masa hadapan mereka.

Gambar:  Adrian (Pixabay)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.