Oleh Yusaida Yusof
10 Ogos 2023, 23:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohamad Adib Zulkifli

Kelantan  Bahang hari pengundian semakin terasa apabila laluan masuk ke Kelantan beransur perlahan dengan jumlah kenderaan yang semakin bertambah dari semasa ke semasa. Aliran trafik di negeri ini dijangka akan semakin sesak pada hari esok dan menjelang hari pengundian pada hari Sabtu ini ekoran pertambahan jumlah kenderaan yang memasuki negeri ini menerusi tiga laluan utama, iaitu melalui Gua Musang, Jeli dan Kuala Terengganu.

Banyak warga kota yang dijangka pulang ke destinasi masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bersempena dengan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 Kelantan atau lebih dikenali sebagai PRN Kelantan.

Sebanyak 1 411 912 pengundi berdaftar di Kelantan dengan 50.42% ialah pengundi wanita dan baki sebanyak 49.58% pula ialah pengundi lelaki. PRN Kelantan pada kali ini menyaksikan pilihan raya bagi memilih Ahli DUN masing-masing secara berasingan daripada pilihan raya untuk kerusi Parlimen setelah pembubaran 45 kerusi DUN Kelantan pada 22 Jun yang lalu.

Tumpuan pengundi pada kali ini pastinya terarah kepada dua gabungan parti terbesar, iaitu parti Kerajaan Perpaduan iaitu Pakatan Harapan (PH) dan parti Perikatan Nasional (PN).

Sepanjang tinjauan di beberapa lokasi di negeri ini, kain rentang, bendera parti dan poster calon kelihatan di beberapa lokasi terpilih yang seolah-olah menyambut kepulangan warga kota ke kampung halaman. Seperti yang diharapkan oleh wakil dua gabungan parti terbesar sebelum ini kepada pihak media, para pengundi Kelantan pada kali ini diharapkan dapat membuat pilihan yang sebaik-baiknya demi masa depan negeri Kelantan.

Namun begitu, terdapat perbezaan daripada sebelum ini mengenai perang bendera pada kali ini yang kelihatannya kurang meriah. Berkemungkinan kempen pada kali ini telah berubah mengikut arus teknologi dengan pengundi dan calon lebih gemar menggunakan media sosial seperti TikTok, Instagram dan Facebook sebagai bahan baharu kempen.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.