Oleh Aninah Janang
11 Ogos 2023, 00:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohamad Adib Zulkifli 


Kuala Terengganu
— Bersih dan berintegriti dalam tata kelola pentadbiran kerajaan masih menjadi senjata utama dalam kempen Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, Kuala Terengganu.  Kesemua parti yang bertanding di DUN Terengganu, iaitu Pakatan Harapan (PH); Perikatan Nasional (PN); MUDA dan Parti Bebas – menawarkan kerajaan dan pimpinan yang menjunjung integriti sekiranya dipilih untuk membentuk kerajaan pada 12 Ogos 2023, iaitu hari mengundi yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

Dalam Jelajah Perpaduan MADANI, Pakatan Harapan (PH), di Dewan PPR Hiliran Kuala Terengganu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan kepada ratusan tetamu yang hadir bahawa kerajaan pimpinannya akan terus membendung amalan rasuah dan korupsi bukan sahaja di peringkat kerajaan persekutuan, malah di kesemua enam buah negeri sekiranya diberikan mandat dalam PRU DUN Ke-15 pada kali ini.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, berjanji akan terus menghalang rasuah dan korupsi dalam pentadbirannya.

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) juga tidak ketinggalan dalam setiap kempen dan ceramah politiknya untuk berpegang teguh terhadap ketelusan dalam pentadbiran kerajaan sekiranya terus diberikan mandat dalam PRU DUN Ke-15. Dalam pentas ceramah yang berlangsung pada hari ini, Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang, menjelaskan dalam ceramah di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu, bahawa mana-mana parti dan pemimpin yang melakukan kemungkaran harus diketepikan. Hal ini ujarnya mengambil kira seperti apa-apa yang berlaku pada zaman Nabi, iaitu sesiapa  yang melihat kemungkaran harus mengubahnya dengan tangan (kuasa yang diperoleh);  mengubah dengan lidah (pemimpin yang dipilih harus berani bersuara); membenci di dalam hati (tidak memberikan sokongan kepada pemimpin yang melakukan kemungkaran).

Tidak ketinggalan Parti MUDA yang buat pertama kalinya mempertaruhkan satu-satunya calon MUDA di DUN Terengganu, iaitu Luqman Long, di DUN Bandar, Kuala Terengganu. Dalam Ceramah Mega MUDA, pada malam ini, Timbalan Presiden MUDA, YB Amira Aisya Abdul Aziz, mengakui bahawa MUDA masih baru di mata rakyat Malaysia, tetapi asas perjuangan parti itu melebihi usianya. Menurut YB Amira, MUDA merupakan gabungan anak muda yang datang daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama yang sudah penat dengan politik kebencian dalam kalangan pemimpin yang hanya memikirkan tampuk kuasa semata-mata.

Timbalan Presiden MUDA, YB Amira Aisya, berkempen dalam Ceramah Mega MUDA DUN Bandar.

Daripada perbandingan ceramah dan kempen yang berbaki satu hari sahaja lagi, serta manifesto parti yang bertanding, rata-rata  calon berusaha untuk membina keyakinan dan kepercayaan untuk terus menolak pemimpin yang rasuah dan korupsi serta membawa perubahan yang lebih baik dalam pimpinan negeri sebaik-baik sahaja kerajaan negeri yang baharu dibentuk selepas 12 Ogos ini.


Pada 12 Ogos 2023,  Terengganu menjadi satu daripada enam buah negeri yang akan mencatat sejarah tersendiri apabila mengadakan PRU DUN Ke-15 secara serentak dan berasingan daripada PRU Ke-15 yang diadakan pada 19 November 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.