Oleh Aninah Janang
11 Ogos 2023, 20:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohamad Adib Zulkifli 


Kuala Terengganu – UMNO bukan sahaja diramal bakal kehilangan sokongan pengundi, malah berdepan dengan kehilangan kerusi DUN yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14. Hal ini dinyatakan oleh Pensyarah Program Pengajian Polisi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), yang juga Ketua Penyelidikan Ilham Centre, Profesor Madya Dr. Mohd Yusri Ibrahim.

“UMNO dijangka mendapat tentangan sengit di 10 kerusi DUN yang dimenanginya pada PRU Ke-14 “ – Profesor Madya Dr. Mohd Yusri Ibrahim.

Menurutnya, daripada analisis Ilham Centre mendapati di setiap 32 DUN di Terengganu, data kajian menunjukkan bahawa selepas 14 hari tempoh berkempen (kini berbaki kurang daripada lima jam sahaja lagi), segmen parti, iaitu kerjasama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Bersatu dilihat sangat baik dan keadaan itu tidak berlaku dalam gabungan PH-UMNO. 

“Misalnya, walaupun pada awalnya kerusi Seberang Takir milik PAS, namun PAS memberikan laluan kepada Bersatu untuk bertanding di kerusi tersebut. Pada hari penamaan calon, calon daripada Parti Bersatu, Khazan Che Mat, diraikan dan diiringi lebih daripada 1000 orang penyokong yang rata-ratanya terdiri daripada penyokong PAS. Hal yang demikian juga dengan beberapa kerusi yang lain. Tidak cukup dengan itu, PAS turun membantu calon Bersatu berkempen di kawasan yang terlibat yang secara tidak langsung menunjukkan kematangan PN dalam gabungan mereka,” ujar Profesor Madya Dr. Mohd Yusri ketika diwawancara oleh penulis pada pagi ini, di Kuala Terengganu.

Hal ini menurut Profesor Madya Dr. Mohd Yusri lagi, berbeza daripada PN-UMNO di Terengganu.

Jentera UMNO hanya untuk UMNO dan bukan untuk rakan komponen lain dalam PH. Misalnya semasa Hari Penamaan Calon, calon dari Parti Amanah tidak mendapat sokongan daripada rakan UMNO. Hal ini sedikit banyak memberikan isyarat yang tidak menyakinkan dalam gabungan tersebut. 

“Selain itu, dalam konteks kempen, PN merangka strategi dan bergerak dengan lebih awal dalam menjuarai hati dan kepercayaan rakyat. Maka itu, hingga hari ini, iaitu hari terakhir berkempen, saya percaya tidak akan berlaku swing atau tsunami undi PN kepada PH. Sebenarnya, pada PRN ini, PN mendapat laba daripada isu dalaman yang berlaku dalam gabungan PH,” jelas Dr. Mohd Yusri.

Sebagai rekod, kemenangan DUN Terengganu pada PRU DUN Ke-14 yang berlangsung pada Mei 2018, mencatatkan daripada sejumlah 32 kerusi DUN yang dipertandingkan, sebanyak 10 DUN dikuasai oleh BN, manakala 22 DUN oleh PAS.

PRN Ke-15 pada kali ini akan menyaksikan buat pertama kalinya enam buah negeri, iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan mengadakan PRN serentak pada esok, 12 Ogos 2023. PRN di enam buah negeri ini juga mencatatkan sejarah yang tersendiri sebagai PRN pertama yang diadakan berasingan daripada PRU. Sementara itu, jumlah kerusi DUN yang dipertandingkan di kesemua negeri yang terlibat adalah sebanyak 245 kerusi DUN.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.