Oleh Yusaida Yusof
11 Ogos 2023, 20:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohamad Adib Zulkifli

Kelantan – Berbaki beberapa jam sahaja lagi pengundi Kelantan boleh membuat pilihan terakhir sebelum menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian esok. Berdasarkan manifesto yang ditawarkan kepada pengundi Kelantan oleh dua gabungan parti terbesar, iaitu parti Kerajaan Perpaduan, yakni Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) dan parti Perikatan Nasional (PN), pastinya sukar untuk meramalkan situasi yang bakal berlaku esok.

Melihat situasi semasa di Kelantan, penganalisis politik, Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah yang merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan berkata bahawa manifesto yang ditawarkan oleh BN–PH lebih inklusif dan menyeluruh dalam menyelesaikan permasalahan dan kemaslahatan yang sedang dihadapi oleh rakyat negeri Kelantan. Jelas beliau,

Tawaran BN–PH ini mampu menarik sokongan daripada semua segmen masyarakat yang kurang berpuas hati dengan pentadbiran dan pengurusan kerajaan Kelantan pada masa ini. Tawaran manifesto PN pula merupakan tawaran dasar kesinambungan pembangunan sedia ada sebelum ini. Walaupun begitu, manifesto itu dikatakan kurang mampu menyelesaikan kemaslahatan utama yang sedang dihadapi oleh rakyat Kelantan.

Walau bagaimanapun, tambah beliau, tawaran ini mampu memberikan kepuasan hati kepada sebahagian daripada masyarakat tertentu di negeri Kelantan. Bagi masyarakat yang berpuas hati dengan tawaran PN, mereka menganggapnya sudah mencukupi dengan kemampuan kerajaan negeri sebagai negeri pembangkang.

Faktor bukan manifesto dilihat lebih mesra dengan pengundi di Kelantan. Contohnya, siapakah bakal Menteri Besar (MB) dan Timbalan Menteri Besar (TMB) Kelantan menjadi faktor utama meraih sokongan pengundi.

Tambah beliau, faktor keinginan untuk berubah atau untuk mengekalkan pemimpin sedia ada menjadi faktor utama bagi pengundi perantauan. Kemudian, barulah faktor manifesto. Disebabkan hal itu, pengumuman PAS Pusat untuk tidak mengekalkan mantan MB dan TMB sedia ada yang dipimpin oleh kerajaan PAS Kelantan pada hari ini menunjukkan bahawa protes yang bukan sahaja timbul dalam kalangan rakyat Kelantan tetapi juga penyokong PAS Kelantan sendiri yang kurang puas hati dengan prestasi dan sikap mantan MB dan TMB sedia ada. Akibatnya, berlaku satu pergolakan dalaman PAS Kelantan sekarang.

Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan.

Beliau turut menyimpulkan bahawa empat kecenderungan yang mempengaruhi rakyat Kelantan untuk keluar mengundi. Yang pertama, berkemungkinan golongan muda akan memilih untuk berubah kerana golongan ini merupakan golongan yang paling tertekan dengan situasi sosioekonomi dan kehidupan  di negeri Kelantan.

Kedua, berkemungkinan sebahagian daripada golongan perantau yang menyokong PAS pada PRU-15 terpaksa pulang untuk mengekalkan PAS Kelantan tetapi sebahagian daripada mereka yang lain akan memilih untuk tidak pulang mengundi. Walaupun begitu, dijangka peratusan keluar mengundi adalah tinggi dan berkemungkinan melebihi 70%.

Ketiga, berkemungkinan akan berlaku protes tidak keluar mengundi dalam kalangan penyokong PAS tempatan. Situasi ini berlaku apabila melihat berlakunya saat terakhir pertukaran calon, iaitu melihat siapakah bakal MB dan TMB Kelantan daripada kedua-dua parti, iaitu BN–PH dan PN.

Kecenderungan keempat pula adalah andaian peratusan keluar mengundi kurang daripada 70% yang bermakna berlakunya satu fenomena keletihan pengundi dalam menunaikan tanggungjawab mereka disebabkan anggapan bahawa semua parti politik adalah sama dan tidak akan berlaku apa-apa perubahan walaupun BN–PH menang dalam PRN Negeri Kelantan pada kali ini.

PRN Kelantan menyaksikan 96 calon berentap untuk merebut 45 kerusi DUN yang dipertandingkan. Oleh itu, manifesto parti yang manakah dapat memikat hati pengundi Kelantan? Semuanya akan terjawab pada 12 Ogos 2023 ini.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.