11 Ogos 2023, 21:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd Farid Janudin

Negeri Sembilan – Tempoh kempen yang berakhir pada tengah malam ini akan diterjemahkan melalui peratusan pengundi yang akan keluar mengundi pada hari esok.

Walaupun banyak ceramah umum diadakan pada peringkat awal kempen dan usaha bersemuka dilakukan oleh setiap calon pada akhir kempen, sambutannya tidak serancak yang dijangka secara keseluruhannya.

Itulah analisis awal yang diberikan oleh Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow, pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kepada penulis ketika diminta untuk mengulas kempen yang berlangsung dalam tempoh berkempen ini.

“Secara umumnya, pada penglihatan saya, sambutan yang diberikan oleh para pengundi dan rakyat secara keseluruhannya terhadap kempen yang diadakan adalah lesu dan hambar. Keadaan ini berkemungkinan berlaku kerana rata-rata para pengundi dan rakyat sudah mula berasa muak dan penat untuk berbicara soal politik kerana negara kita baru sahaja selesai menjalani proses pilihan raya umum pada penghujung tahun 2022 yang lalu. Fokus yang diberikan oleh orang ramai pada ketika ini adalah terhadap isu kos sara hidup dan ekonomi mereka. Orang ramai tidak ada masa dan tenaga lagi untuk bercakap mengenai isu politik dan pilihan raya dilihat sebagai tidak membawa sebarang makna dan faedah kepada mereka”.

Apabila ditanya tentang strategi kempen yang digunakan oleh parti yang bertanding, beliau menjawab,

Tiada sebarang pembaharuan terhadap strategi oleh semua parti politik yang bertanding. Seperti biasa, pihak kerajaan melakukan sedaya upaya untuk meyakinkan pengundi dan rakyat Malaysia bahawa mereka sedang berusaha dengan gigih untuk membangunkan negara dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi. Di pihak lawan pula, mereka dilihat masih tidak yakin terhadap perancangan yang dilakukan oleh pihak kerajaan. Kebanyakan strategi kempen dilihat masih dilakukan dengan cara lama oleh semua calon, iaitu penampalan poster di tepi jalan, aktiviti turun padang dan bertegur sapa dengan orang ramai oleh calon yang bertanding dan kempen ceramah di padang. Malangnya, strategi kempen sebegini dilihat sudah ketinggalan zaman serta boleh menyebabkan pembaziran wang, masa dan tenaga. Kempen cara lama ini juga boleh mengundang rasa tidak senang sesetengah pihak kerana dilihat mengganggu lalu lintas dan ketenteraman awam.

Menurut Dr. Muzaffar lagi,

Zaman sekarang sudah berubah. Banyak pihak, khususnya generasi muda, lebih suka mendapatkan sesuatu maklumat secara dalam talian kerana lebih mudah dan cepat. Oleh itu, ahli politik perlu berubah apabila melaksanakan strategi kempen. Ahli politik perlu lebih pandai dan aktif menggunakan saluran media sosial untuk berkempen. Kita juga tidak seharusnya lupa bahawa jumlah pengundi muda termasuklah golongan UNDI 18 adalah besar dalam negara kita. Semua ahli politik harus bijak mendekati golongan ini dengan belajar dan menggunakan kemudahan teknologi yang ada. Apa-apa jua strategi yang ingin digunakan di semua negeri, termasuklah di Negeri Sembilan, strategi tersebut haruslah memberikan keyakinan kepada para pengundi bahawa kehidupan rakyat akan menjadi lebih baik, khususnya dari aspek penyelesaian isu kos sara hidup, isu gaji yang tidak setimpal, peluang pekerjaan yang banyak, keutamaan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, dan lain-lain lagi. Rakyat juga berharap agar segala isu berbangkit yang berlaku sebelum ini tidak berlaku lagi, seperti masalah gangguan bekalan air, masalah pencemaran, kesesakan lalu lintas, isu keselamatan, isu kesihatan, dan kawalan jenayah. Mana-mana  parti politik yang berjaya menekankan segala perkara yang telah dinyatakan ini diyakini dapat memenangi hati pengundi.

Prof. Madya Dr. Muzaffar Shah Mallow memberikan pandangannya terhadap PRU kali ini.

Dari aspek peratusan pengundi keluar mengundi pula, Dr. Muzaffar menjangkakan bahawa peratusan keluar mengundi adalah rendah dan tidak seperti yang diharapkan kerana orang ramai sudah penat dan muak dengan isu politik.

Malah, menurut beliau, calon yang bertanding juga dilihat kurang menyerlah dan kurang berkaliber.

Akhir sekali, apabila ditanya tentang parti yang akan membentuk kerajaan, beliau menyatakan bahawa akan berlaku kejutan terhadap landskap politik tetapi sukar untuk menentukan pihak yang akan memperoleh kemenangan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.