Oleh Yusaida Yusof
12 Ogos 2023, 14:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Muhammad Adib Zulkifli

Tumpat – Kadar keluar mengundi yang rendah dalam kalangan pengundi muda pada waktu pagi antara penyebab peratusan mengundi yang rendah setakat tengah hari tadi. Berdasarkan tinjauan yang dilakukan di beberapa lokasi pengundian di daerah ini, peratusan para pengundi muda keluar mengundi mulai bertambah selepas pukul 12.00 tengah hari tadi.

Di SMK Kg. Laut setakat pukul 2.00 petang, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri yang bertugas memaklumkan bahawa berlaku pertambahan pengundi dari semasa ke semasa yang kini telah mencapai 60% daripada jumlah keseluruhan pengundi. Hal ini berbeza daripada kebanyakan pengundi warga emas dan golongan OKU yang dilihat mula tiba ke pusat pengundian seawal pukul 8.00 pagi untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing sebaik-baik sahaja kaunter pendaftaran dibuka.

Seorang daripada pengundi muda yang ditemui berkata bahawa beliau berasa lega kerana sudah menunaikan tanggungjawab sebagai warga negeri ini untuk memilih pemimpin. Beliau turut berharap agar pengundi muda tidak melengah-lengahkan masa dan segera keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing. Berdasarkan cuaca yang tidak menentu pada waktu petang, para pengundi disarankan untuk keluar mengundi awal bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Pengundi warga emas tiba awal pagi untuk mengundi.

Terdahulu, calon PH, Mohamad Zamakh Sari Ibrahim tiba di SMK Kg. Laut pada pukul 8.26 pagi untuk mengundi. Calon PH bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan ini menyeru pengundi agar keluar awal untuk menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan pada kali ini. Beliau bertarung dengan penyandang kerusi DUN Pasir Pekan, Datuk Ahmad Yakob yang merupakan Menteri Besar Kelantan.

Calon PH, Mohamad Zamakh Sari Ibrahim.

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu menyaksikan Datuk Ahmad Yakob menang dengan 8 352 undi dengan menewaskan Wan Sanusi Wan Yunus daripada Barisan Nasional (14 298 undi) dan Wan Johari Wan Omar daripada Parti Keadilan Rakyat (2140 undi).

Setakat pukul 2.55 petang ini juga pihak media masih setia menunggu ketibaan Datuk Ahmad Yakob untuk mengundi di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.