Oleh Rosmani Omar
12 Ogos 2023, 16:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hulu Kelang – Kedua-dua calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang (N18), Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang mewakili parti Perikatan Nasional (PN), manakala Juwairiya Zulkifli yang mewakili Pakatan Harapan (PH) masing-masing yakin bahawa mereka akan berjaya menawan hati pengundi dan memenangi DUN Hulu Kelang yang akan diumumkan pada malam ini.

Semasa di temu bual oleh wartawan, Pengerusi PN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang tiba seawal 8.56 pagi bersama-sama isteri di perkarangan Sekolah Kebangsaan Klang Gate untuk membuang undi, optimis bahawa beliau akan terus mewakili pengundi di Hulu Kelang dan membentuk Kerajaan Negeri di Selangor pada malam ini. Jelas beliau,

Jadi dengan sokongan yang dilihat sejak minggu lalu dan malam tadi, saya yakin kita akan memperoleh majoriti besar di Hulu Kelang dan juga banyak lagi kerusi di Selangor.

Dato’ Dato’ Seri Mohamed Azimin Ali bersama-sama isteri, ibu saudara (berkerusi roda) dan penyokong semasa tiba di perkarangan Sekolah Kebangsaan Klang Gate untuk membuang undi.

Menurut Juwairiya Zulkifli, biarpun persaingannya sengit, namun beliau juga yakin bahawa beliau akan mendapat sokongan daripada anak-anak muda. Ujar beliau,

ADUN atau ahli Parlimen sebelum ini sudah tiga penggal, sudah terlalu lama, jadi anak muda biasanya mereka ingin melakukan pembaharuan dan sekiranya seseorang pemimpin itu boleh melaksanakan tugas dan tanggungjawab, mereka akan meletakkan kepercayaan itu. Jadi, saya percaya, insya-Allah, dengan berkat sokongan semua, terutamanya anak muda, saya boleh melakukan dengan lebih baik daripada mantan-mantan sebelum ini.

Juwairiya Zulkifli, calon PH semasa tiba di perkarangan Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang bagi meninjau situasi pengundian di kawasan tersebut.

Dalam mempertahankan kewibawaan sebagai seorang memimpin, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, turut menyatakan bahawa sekiranya beliau diberikan mandat untuk memimpin kawasan tersebut, perkara utama yang akan dilaksanakan adalah bagi menjadikan Selangor sebagai “sebuah negeri yang pintar” yang akan akan membawa perubahan kepada Selangor, sebuah negara yang maju yang melonjak ke tahap yang lebih tinggi dan seterusnya berupaya membangunkan negara. Tambah beliau,

Untuk mencapai matlamat ini, kita kena yakinkan pelabur asing dan pelabur domestik dengan dasar ekonomi yang komprehensif, pelaburan teknologi, mencipta pekerja yang berkualiti untuk anak-anak kita dan pastinya ia dapat menyumbang kepada KDNK (Keluaran dalam Negara Kasar) Malaysia. Selangor merupakan penyumbang utama kepada nasional GDP (Gross Domestic Product atau KDNK). Kini, kita menyumbang 25% dan saya percaya dengan kerja kuat, Selangor akan terus menyumbang kepada KDNK Malaysia.

Kita telah mengemukakan tawaran yang cukup realistik, yang komprehensif yang mencakupi usaha-usaha untuk membangunkan ekonomi yang lestari. Kita juga membicarakan soal dasar-dasar dan inisiatif untuk memberdaya wanita di negeri Selangor. Kita juga menawarkan beberapa inisitaif untuk menjana sumber ekonomi khususnya warga emas yang cukup berpontensi untuk membantu ekonomi negeri. Tawaran ini ialah tawaran yang holistik, yang cukup padat dan dapat menyakinkan rakyat bahawa Perikatan Nasional sudah bersedia untuk mentadbir negeri Selangor.

Dato’ Seri Mohamed Azimin Ali semasa membuang undi disaksikan oleh isteri dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Selain gagasan yang dibawa oleh Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, calon PH, Juwairiya Zulkifli yang tiba di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang pada pukul 11.13 pagi bagi melihat perjalanan proses pengundian di situ juga turut menyatakan kewibawaan beliau dalam usaha memajukan rakyat di kawasan tersebut. Beliau turut menggariskan enam teras perancangan yang akan dibawa oleh beliau sekiranya berjaya meraih sokongan pengundi dan berjaya dalam PRN pada malam ini.

Saya ada keluarkan agenda Hulu Klang saya, iaitu perancangan berdasarkan enam teras untuk tempoh lima tahun. Keutamaan kita yang pertama adalah untuk menambah baik infrasturktur di kawasan Hulu Klang ini sebab berdasarkan maklum balas, apabila saya turun padang, masyarakat di sini rata-rata bangkitkan isu yang berada di depan mata mereka, masalah jalan raya, masalah kesesakan lalu lintas dan pembangunan. Golongan anak muda juga ramai, iaitu 48% anak muda di kawasan ini. Jadi, mereka banyak berkehendakkan kemudahan sukan, rekreasi untuk mereka. Jadi, ini antara perkara yang termasuk dalam enam teras agenda Hulu Klang saya.

Juwairiya Zulkifli yang hadir di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang berkesempatan menyantuni beberapa petugas SPR dan para pengundi yang hadir untuk membuang undi termasuklah warga emas.

Terdahulu, di Sekolah Kebangsaan Klang Gate, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bersama-sama isteri, Datin Seri Shamsida Taharin dan diiringi penyokong beliau berkesempatan menyantuni ibu saudara beliau, Che Bee, 86 tahun yang bersama-sama hadir untuk membuang undi di sekolah tersebut.

Sebagai rekod, Kerusi DUN Hulu Kelang (N18) menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Juwairiya Zulkifli daripada Pakatan Harapan (PH). Juwairiya ialah penyandang kerusi DUN Bukit Melawati dan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali ialah bekas Ahli Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa. Semasa Pilihan Raya Umum Ke-14, DUN Hulu Kelang dimenangi oleh Tuan Haji Saari Sungib yang mewakili Parti Amanah Negara dengan majoriti 15 349 undi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.