Oleh Yusaida Yusof
12 Ogos 2023, 16:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Muhammad Adib Zulkifli

Tumpat  Datuk Ahmad Yakob mengesahkan masalah kesihatan yang dialaminya menjadi faktor utama beliau menolak untuk kekal sebagai Menteri Besar Kelantan sekiranya parti PAS memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan pada kali ini.

Selain masalah jantung, beliau turut mengalami masalah slipped disc selepas terjatuh sebanyak dua kali sebelum ini. Perkara ini menurut beliau telah pun dimaklumkan kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Masalah kesihatan Datuk Ahmad Yakob itu turut disahkan oleh Presiden PAS selepas menjawab pertanyaan petugas media di pusat pengundian di SK Rusila, Marang, Terengganu.

Selain masalah kesihatan, faktor usia turut mempengaruhi keputusan Datuk Ahmad Yakob untuk kekal menolak jawatan Menteri Besar Kelantan.

Oleh sebab masalah kesihatan tersebut, saya telah memaklumkannya kepada kepimpinan parti untuk tidak kekal sebagai Menteri Besar.

Tambah beliau, sebaik-baik sahaja PAS berjaya membentuk kerajaan, senarai nama calon Menteri Besar baharu akan dikemukakan kepada Presiden PAS. Cadangan tiga nama calon tersebut akan dikemukakan dan kemudiannya akan dipersembahkan kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V untuk perkenan.

Tegas beliau, tugas Menteri Besar bukanlah mudah dan merupakan satu tanggungjawab yang berat. “Seorang Menteri Besar perlu tahan dengan ujian”, ujar beliau selepas selesai membuang undi di SMK Kampung Laut, Tumpat, Kelantan. Beliau tiba di pusat pengundian tersebut pada pukul 3.20 petang. Kehadiran beliau itu telah dinanti-nantikan oleh petugas media sejak pukul 8.00 pagi.

Datuk Ahmad Yakob membuang undi pada pukul 3.25 petang.

Mantan guru yang berusia 73 tahun itu menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun 2013 selepas menggantikan Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat setelah memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan.

Pada PRU Ke-14, Datuk Ahmad Yakob daripada parti PAS menang dengan mendapat 14 298 undian ketika menentang Wan Mohd Sanusi Wan Yunus daripada parti Barisan Nasional yang mendapat 5946 undi dengan majoriti undi sebanyak 8352.

Pada 12 Ogos 2023, beliau bertanding sebagai calon Perikatan Nasional (PN) atas tiket PAS bagi DUN N.03 Pasir Pekan untuk PRN Kelantan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.