12 Ogos 2023, 18:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd Farid Janudin

Negeri Sembilan – Kemudahan waktu operasi yang terhad di bandar Seremban menyebabkan pengundi berasa bahawa bandar utama di Negeri Sembilan ini bagaikan bandar mati pada waktu malam.

Sememangnya, bukanlah pusat hiburan atau perkara yang melalaikan yang dihajati oleh pengundi ini pada waktu malam kerana sememangnya perkara tersebut hanya akan merosakkan rakyat Negeri Sembilan, tetapi cukuplah sekiranya sebarang keperluan penting yang perlu dipenuhi pada waktu malam, dapat dipenuhi tanpa menunggu hari esoknya.

Itulah antara yang disuarakan oleh beberapa pengundi yang selesai menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Haji Mohd. Redza hari ini.

Selain itu, Devaranjini yang mengundi di saluran 3 dan berumur 34 tahun  berharap agar kerajaan mengkaji semula peluang untuk menyambung pelajaran bagi guru.

Devaranjini yang berkhidmat sebagai guru ini mendedahkan bahawa peluangnya untuk mendapatkan biasiswa untuk menyambung pelajaran seakan-akan tidak akan kesampaian selagi faktor umur yang muda dijadikan sebagai pertimbangan.

Pada pandangan Devaranjini yang telah mempunyai ijazah sarjana ini, biarlah penentuan penerima biasiswa tersebut lebih bersandarkan merit dan kelebihan walaupun tempoh perkhidmatannya singkat.

Devaranjini mahu sistem tawaran biasiswa dikaji semula.

Bagi Nethaji yang berumur 56 tahun dan berkhidmat sebagai penyelia pembinaan, dia berharap agar kedai di pusat beli-belah di Seremban Lama dibuka semula.

Dia menyuarakan kesusahannya yang terpaksa pergi ke Seremban 2 untuk memenuhi keperluannya.

Masalah kenaikan harga barang juga antara perkara lain yang disuarakan oleh Nethaji.

Seterusnya, Nurdina yang berkerja di Mydin senada dengan pandangan Nethaji,

Nurdina yang mengundi di saluran 4 kerana umurnya yang baru 24 tahun ini berharap agar harga barang dapat diturunkan.

Menurut Nurdina yang merasai pengalaman mengundi kali kedua dalam hidupnya ini turut berharap agar pihak kerajaan mengkaji semula sistem  gaji pekerja bagi mengimbangi kos sara hidup yang semakin tinggi.

Nurdina mahu sistem gaji dikaji semula.

Bagi pesara, Yeoh Boon Kong yang masih gagah menunaikan tanggungjawabnya walaupun telah berumur 61 tahun yang diberi kemudahan untuk mengundi di saluran 1, dia tidak merasai nikmat perbandaran di Negeri Sembilan walaupun Seremban diiktiraf sebagai bandar.

Yeoh berpesan kepada bakal Menteri Besar yang akan dilantik supaya melihat semula kemudahan awam yang telah rosak, tetapi tidak dibaiki, begitu juga dengan kerja penyelenggaraan yang pada pandangannya tidak dilakukan secara menyeluruh.

Yeoh ingin merasai nikmat perbandaran.

Dua orang pengundi yang berikutnya yang sempat diwawancara menunjukkan semangat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Datang seawal pagi, Ezrina  yang berumur 44 tahun dan mengundi di saluran 3 sanggup datang ke pusat mengundi pagi ini dari rumahnya di Kuala Lumpur.

Ezrina yang merupakan Eksekutif di syarikat swasta beranggapan bahawa bandar Seremban ibarat bandar yang dilanggar geruda pada waktu malam.

Hal ini menyebabkan kesukaran sekiranya ingin mendapatkan keperluan pada waktu malam.

Maka, besarlah harapan Ezrina supaya pengusaha kedai, seperti kedai makan dapat melanjutkan operasinya pada waktu malam.

Ezrina mahu pengusaha kedai makan melanjutkan waktu operasi.

Bagi pengundi terakhir yang sempat diwawancara hari ini, iaitu Amielia yang berumur 39 tahun dan berkhidmat sebagai Eksekutif Pentadbiran, dia mempunyai harapan yang kontra dengan pengundi sebelumnya.

Amielia berharap agar keadaan sekarang ini dikekalkan dan tidak perlu ditambah dengan pembinaan pusat beli-belah yang baharu atau dilanjutkan waktu operasinya.

Walaupun mengakui bahawa Seremban ialah bandar yang tidak meriah seperti Kuala Lumpur,  Amielia berharap agar keadaan bandar tersebut dikekalkan sebegitu.

Menurut Amielia yang menetap di Putrajaya dan balik ke Sikamat untuk mengundi di saluran 3 pada pagi ini, perkara lebih penting yang perlu diutamakan adalah dari aspek pendidikan, seperti tabika.

Amielia lebih mementingkan aspek pendidikan di Negeri Sembilan.

Hari ini, setelah semua pengundi ini melunaskan tanggungjawabnya sebagai pengundi, maka tibalah giliran Menteri Besar yang bakal dilantik untuk mempertimbangkan harapan pengundi ini.

Bagi pengundi ini, walau sesiapapun yang akan ditabalkan sebagai Menteri Besar, besarlah harapan mereka agar harapan ini dapat ditunaikan.

Janganlah ditunggu lima tahun lagi untuk pengundi yang sama berharap sekali lagi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.