Oleh Aninah Janang
13 Ogos 2023, 01:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Marang – Setelah melalui 14 hari tempoh berkempen, Perikatan Nasional (PN) menerusi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) meraih kemenangan penuh dengan membolot kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.
Majoriti terbesar ini membawa laluan “lurus”  untuk PAS membentuk kerajaan negeri. Keputusan ini bermaksud pada Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Ke-15 ini, PAS berjaya merampas kesemua kerusi, iaitu 10 kerusi DUN yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) pada PRU Ke-14 yang diadakan pada 9 Mei 2018.
Kejayaan ini menjadikan jumlah keseluruah kerusi DUN PAS di Terengganu meningkat daripada 22 kerusi pada PRU Ke-14 kepada 32 pada PRU DUN pada kali ini.
Dominasi ini menjadikan “bulan”mengambang penuh di Terengganu dengan majoriti yang meningkat di kebanyakan DUN yang dimenangi oleh calon PAS.
Menurut Pensyarah Program Pengajian Polisi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), yang juga Ketua Penyelidikan Ilham Centre, Profesor Madya Dr. Mohd Yusri Ibrahim, daripada kajian dan data yang dikumpulkan di setiap DUN di negeri Terengganu mendapati bahawa sokongan PH-UMNO di negeri ini sangat kritikal dan lemah.
“UMNO dilihat lemah di Terengganu kerana pengundi percaya bahawa masih banyak isu berbangkit yang mereka tidak dapat selesaikan antaranya termasuklah kerjasama dalam gabungan PH itu sendiri. Apabila kami turun ke lapangan dan membuat pemerhatian dan kajian di setiap DUN di negeri ini, dapatan awal kami meramalkan bahawa PAS akan menang agak selesa di Terengganu, bahkan mereka mungkin akan merampas beberapa kerusi milik BN,” ujar Dr. Mohd Yusri kepada penulis, ketika diwawancara di Kuala Terengganu.
Tambahnya lagi, daripada data yang diperoleh di lapangan sebelum hari mengundi berlangsung, iaitu pada hari ini, didapati bahawa akan berlaku tsunami kerusi milik BN kepada PAS.
“BN akhirnya tidak dapat mengekalkan kesemua 10 kerusi DUN yang dimenangi oleh mereka pada PRU DUN Ke-14 lalu,” jelas Dr. Mohd Yusri.
Menurut Dr. Mohd Yusri lagi, tsunami pengundi kepada PAS ini didorong oleh beberapa faktor besar yang sememangnya mendasari landskap politik di Terengganu. Antaranya termasuklah karektor calon yang “kuat”, iaitu yang memilki sokongan akar umbi; logo parti (PAS) yang begitu mendalam di hati pengundi; dan isu yang berbangikt di peringkat negeri dan peringkat nasional.
“Kesemua ini saling bertaut dan pengundi menggunakan sebaik-baiknya PRN pada kali ini sebagai pembawa isyarat dan terjemahan terhadap kesemua isu dan sudah semestinya tidak ketinggalan berhubung dengan prestasi kerajaan persekutuan,” ujar Dr. Mohd Yusri.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.