Oleh Yusaida Yusof
13 Ogos 2023, 00:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Muhammad Adib Zulkifli

Kota Bharu – PAS terus mencipta sejarah tersendiri dengan memenangi majoriti besar, iaitu 43 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan mudah pada Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Ke-15 Kelantan atau lebih dikenali sebagai PRN Kelantan, sekali gus membentuk kerajaan.

Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pula hanya mampu memenangi dua kerusi DUN, iaitu DUN Kota Lama (Parti Amanah Negara – AMANAH) dan DUN Galas (BN).

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pula masing-masing berjaya mengekalkan kerusi yang ditandingi, iaitu DUN Pasir Pekan dan DUN Panchor seperti yang diramalkan.

PRN Kelantan turut menyaksikan lima kerusi milik BN, iaitu DUN Paloh, DUN Nenggiri, DUN Kok Lanas, DUN Gual Ipoh, DUN Bukit Bunga dan DUN Kuala Balah turut dirampas oleh PAS. Walau bagaimanapun, satu kerusi milik PAS, iaitu DUN Kota Lama pula dimenangi oleh PH menerusi calon AMANAH, Dr. Hafidzah Mustakim.

Walaupun PAS telah menampilkan barisan 23 calon baharu secara keseluruhannya, keputusan yang dibuat tersebut tidak menjejaskan keyakinan rakyat untuk terus memilih PAS bagi menerajui kerajaan Kelantan.

Menurut Datuk Ahmad Yakob, momentum kemenangan PAS pada PRU Ke-15 yang lalu turut membantu mempengaruhi keputusan PRN pada kali ini walaupun banyak dalam kalangan perantau yang tidak pulang mengundi. Peratusan keluar mengundi bagi negeri Kelantan pada PRN ini merupakan yang paling rendah, iaitu di bawah 60 peratus.

Datuk Ahmad Yakob dalam sidang media di pekarangan Pusat Penerangan PAS Kelantan.

Sementara itu, pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS, Datuk Ahmad Yakob menzahirkan rasa dukacita PAS ekoran kegagalan mempertahankan kerusi DUN Kota Lama dan terlepas kerusi DUN Galas. Sehubungan dengan itu, PAS bersama-sama rakan dalam Perikatan Nasional (PN) akan melakukan pascanilai berhubung dengan perkara itu.

Sebahagian rakyat yang tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama para pemimpin PAS di pekarangan Pusat Penerangan PAS Kelantan, Kota Bharu.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.