13 Ogos 2023, 02:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 Jurufoto: Mohd Farid Janudin

Negeri Sembilan – Dengan pengumuman pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam tadi, berakhirlah teka-teki tentang parti yang akan membentuk kerajaan di Negeri Sembilan.

Sebagai penutup Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri Sembilan ini, penulis mendapatkan kerjasama Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow, pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk menganalisis kemenangan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.

Ketika ditanya tentang kemenangan gabungan parti tersebut, Prof. Madya Dr. Muzaffar mengakui bahawa beliau sememangnya terkejut dengan keputusan tersebut.

Hal ini dikatakan demikian kerana “gelombang hijau” tidak berlaku dengan hebat seperti yang dijangkakan oleh pelbagai pihak.

Menurut Dr. Muzaffar,

Ramai yang menjangkakan ‘gelombang hijau’ besar yang berlaku pada  PRU-15 akan meneruskan lembarannya pada PRN ini, tetapi tidak berlaku pada skala yang besar. Parti Perikatan Nasional hanya berjaya memenangi beberapa buah kerusi baharu. Kajian mendalam akan dilakukan oleh semua pihak dalam beberapa hari dan minggu akan datang untuk mengenal pasti mesej yang ingin disampaikan oleh pengundi dalam PRU ini.

Walau bagaimanapun, Dr. Muzaffar tidak menafikan ramalan pelbagai penganalisis politik, termasuklah badan bukan kerajaan (NGO) bahawa Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) akan kekal berkuasa di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan, manakala Perikatan Nasional  akan kekal memerintah Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Seterusnya, apabila diminta untuk mengulas tentang peratusan pengundi yang keluar mengundi, sekali lagi, Dr. Muzaffar meluahkan rasa terkejutnya dengan peratusan yang begitu rendah.

Menurut beliau, isu peratusan keluar pengundi ini perlu diambil perhatian yang serius kerana perkara tersebut akan menentukan keputusan sesebuah proses pilihan raya.

Dalam konteks PRU Negeri sembilan ini, beliau mengenal pasti beberapa punca yang menyebabkan peratusan keluar mengundi begitu rendah.

Antaranya termasuklah kesibukan dengan pelbagai urusan pada hujung minggu dan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Bagi mengatasi isu ini, beliau mencadangkan pembaharuan dalam sistem pilihan raya, iaitu pelaksanaan proses undian secara elektronik atau secara dalam talian.

Cara ini bukan sahaja lebih mudah, malah dapat meningkatkan pelibatan lebih ramai pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Dr. Muzaffar menyedari bahawa kebanyakan generasi muda lebih selesa menggunakan kemudahan teknologi untuk melakukan urusan harian, termasuklah proses mengundi.

Oleh itu, pemimpin negara perlu memandang serius terhadap perkara ini.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang ini turut meluahkan kebimbangannya tentang kemungkinan peratusan keluar mengundi yang akan terus merosot pada masa akan datang disebabkan oleh kegagalan untuk memodenkan proses pilihan raya.

Jika peratusan tersebut benar-benar merosot, sistem demokrasi sukar dimantapkan kerana negara memerlukan pelibatan ramai rakyat Malaysia bagi memastikan sistem demokrasi kekal subur.

Sehubungan dengan itu, Dr. Muzaffar berharap agar pihak kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan kajian yang mendalam terhadap cadangan tersebut.

Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow mencadangkan reformasi terhadap pelaksanaan pilihan raya.

Dari segi pelaksanaannya, Dr. Muzaffar berkata,

Sebuah jawatankuasa khas boleh diwujudkan bagi mengkaji cadangan ini dengan lebih teliti. Selain ahli politik, ahli jawatankuasa ini perlu dianggotai oleh pakar teknologi, serta individu yang memiliki kepakaran undang-undang perlembagaan. Pelbagai jenis undang-undang yang berkaitan dengan proses pilihan raya dalam negara perlu disemak dan dipinda. Contohnya, Perlembagaan Persekutuan, Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957, Akta Pilihan Raya 1958 [Akta 19], Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5], Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, dan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

Sebelum mengakhiri analisisnya, Dr. Muzaffar menekankan bahawa Malaysia tidak boleh lagi ketinggalan dalam perkara ini.

Menurut beliau, dunia sudah bergerak maju dengan kewujudan pelbagai jenis kemudahan teknologi.

Oleh itu, proses pilihan raya di Malaysia perlu dimodenkan selaras dengan kemajuan dan kemudahan teknologi terkini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.