Oleh Yusaida Yusof
13 Ogos 2023, 17:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – PAS menang mudah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 Kelantan atau lebih dikenali sebagai PRN Kelantan dengan menepati ramalan serta harapan warga Kelantan. PRN Kelantan menyaksikan PAS memenangi 43 kerusi daripada 45 kerusi DUN yang dipertandingkan dan membentuk kerajaan di negeri ini bagi tempoh lima tahun akan datang.

Seperti yang dijangka, PAS masih mendominasi penguasaaan berdasarkan beberapa faktor khususnya yang melibatkan soal status quo, polarisasi pengundi dan konsistensi naratif pada peringkat nasional berdasarkan tiga situasi.

Hal ini ditegaskan oleh Pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Raub, Muhammad Ariff Asyrul Adnan bahawa penguasaan tersebut termasuklah peratusan keluar mengundi di Kelantan pada hari pengundian begitu rendah.

Bagi faktor kemenangan PAS, pengundi tegar PAS hampir 80% keluar mengundi. Pengundi “atas pagar” dan rasional pula tidak begitu menyumbang kepada naratif “penolakan” terhadap kepimpinan PAS di Kelantan. Hal ini memberikan nilai tambah kepada penguasaan hampir kesemua kerusi di Kelantan.

Muhammad Ariff Asyrul Adnan merupakan Pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Raub.

Situasi kedua menurut Muhammad Ariff ialah konsistensi naratif Melayu-Islam. Naratif ini mahu tidak mahu walaupun dilaungkan secara konsisten pada peringkat nasional menjadi satu daripada faktor dominan yang membawa kepada pengukuhan PAS di Kelantan.

Sentimen keterancaman Melayu kekal menjadi fokus yang ditambah dengan naratif anti-Zahid Hamidi membawa kepada sebahagian besar transisi undi penyokong Barisan Nasional (BN) kepada PAS di Kelantan, iaitu pada masa yang sama menjadi petanda protes mereka terhadap pendirian Barisan Nasional (BN)/UMNO pada peringkat nasional.

Tambah beliau, imej ulama kekal menjadi tumpuan dan wujud visual kecenderungan pengundi di Kelantan. Umum juga mengetahui bahawa elemen keagamaan menjadi teras utama di Kelantan. Naratif seperti “Kekalkan Pemerintahan Islam” juga menjadi antara faktor yang membawa kepada kemenangan PAS di Kelantan. Dalam erti kata lain, Kelantan kekal menjadi “safe deposit” yang dominan untuk PAS.

Beliau turut menyatakan bahawa terdapat beberapa faktor penyebab kekalahan Pakatan Harapan (PH)–Barisan Nasional (BN) di Kelantan. Antaranya termasuklah ketidaksungguhan BN dalam meletakkan calon yang berwibawa dan ketidakefektifan cara berkempen, sentimen nasional masih mempengaruhi prestasi PH–BN di Kelantan dan penolakan secara hampir total kepada kepimpinan BN/UMNO: faktor utama ialah “imej Zahid Hamidi” yang dilihat sebagai perosak dalaman UMNO dan ditambah dengan ketidaksetujuan kerjasama di antara PH–BN atas faktor dominasi DAP dalam PH.

Tambah beliau, peratus keluar mengundi juga rendah. Jika sebaliknya berlaku, yakni peratusan undi lebih 80% akan memberikan impak besar kepada dominasi PAS. Mungkin kerana pengundi dalam kategori ini sudah mengalami sindrom “keletihan politik” (political fatigue) yang menjadi penyumbang kepada kekalahan PH–BN di Kelantan. Walau bagaimanapun, Amanah Kelantan berjaya meraih satu kerusi di Kota Lama yang  merupakan antara kubu utama PAS di Kelantan.

Secara umumnya, seperti yang dijangka oleh kebanyakan pemerhati dan penganalisis politik Malaysia, status quo masih menjadi faktor utama PRN di enam negeri ini. Walau bagaimanapun, secara khususnya, PH–BN mengalami masalah dari segi penguasaan undi di kawasan Melayu yang membawa kepada kegagalan PH menguasai 2/3 kerusi DUN di Selangor.

Ujar beliau, prestasi BN juga agak ketara merudum disebabkan oleh beberapa faktor yang melibatkan soal prinsip UMNO terhadap DAP, pengaruh Zahid Hamidi dan keterancaman orang Melayu dalam Kerajaan Perpaduan. Pembinaan dan penguasaan naratif agama dan kaum masih menjadi “blok utama” yang memandu kepada “kebangkitan penguasaan PN/PAS”. Sesuatu yang harus direnungkan oleh PH–BN untuk menghadapi PRU-16 nanti.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.