15 Ogos 2023, 19:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kubang Kerian – Teka teki siapakah yang bakal mengisi jawatan Menteri Besar Kelantan terjawab apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti, Datuk Mohd Nassuruddin Daud mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan yang baharu pada hari ini.

Datuk Mohd Nassuruddin mengantikan Datuk Ahmad Yakob yang sebelum ini ada menyatakan tidak lagi mampu menggalas tugas atas faktor usia dan kesihatan.
Datuk Nassuruddin, 58 tahun, mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Kelantan di Istana Negeri, Kubang Kerian.
Selain Datuk Mohd Nassuruddin, ADUN Temangan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan mengangkat sumpah sebagai Timbalan Menteri Besar, menggantikan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Gandingan kedua-dua tokoh tersebut melengkapi apa-apa yang dikehendaki oleh pimpinan tertinggi PAS, iaitu tokoh agamawan dan teknokrat bagi dua jawatan tertinggi negeri itu.
Datuk Mohd Nassuruddin dan Datuk Dr. Mohamed Fadzli masing-masing mengangkat sumpah jawatan berkenaan pada pukul 5.30 petang di hadapan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Istana Negeri, Kubang Kerian.
Istiadat tersebut disaksikan oleh Datuk Roslan Abu Bakar (Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu), Datuk Abdullah Yakub (Speaker DUN Kelantan), Datuk Mohamad Shukri Mohamad (Mufti Kelantan) dan Ibrahim Deris (Ketua Hakim Syarie Kelantan).
Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan, 55 tahun, dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan.
Datuk Mohd Nassuruddin ialah Menteri Besar Kelantan yang ketiga mengikut jejak langkah Almarhum Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat, serta Datuk Ahmad Yakob selepas PAS mengambil alih Kelantan daripada Barisan Nasional (BN) pada tahun 1990.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu, PAS berjaya mempertahankan Kelantan apabila menang 43 kerusi DUN daripada keseluruhan 45 kerusi yang ditandingi.
Datuk Mohd Nassuruddin juga berjaya mempertahankan kerusi DUN Meranti selepas menewaskan calon BN, Zahri Omar dengan majoriti 9154 undi. Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri itu mempertahankan kerusi berkenaan sejak tahun 1999.
Datuk Mohd Nassuruddin yang mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Mesir ialah Ketua Penerangan PAS Kelantan dan turut bergelar Dato’ Panglima Perang.
Datuk Dr. Mohamed Fadzli pula menggantikan mantan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang sebelum ini disebut-sebut bakal menggantikan Datuk Ahmad Yakob yang hanya mahu berkhidmat sebagai wakil rakyat sahaja. Timbalan Pesuruhjaya III PAS negeri itu mempertahankan kerusi DUN Temangan sejak tahun 2008, iaitu selama tiga penggal.
Datuk Dr. Mohamed Fadzli ialah lepasan Universiti Islam Antarabangsa dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dan lepasan Doktor Falsafah di Universiti of Birmingham, United Kingdom.
Selain itu, sembilan orang wakil rakyat PAS turut dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan atau Exco. Mereka ialah Datuk Md. Anizam Ab. Rahman( ADUN Kemahang), Datuk Dr. Izani Husin (ADUN Kijang), Saripudin Tuan Ismail (ADUN Selising), Wan Roslan Wan Hamat (ADUN Pengkalan Kubor), Rohani Ibrahim (ADUN Tanjung Mas), Mohd. Asri Mat Daud (ADUN Demit) , Zamakhshari Muhammad (ADUN Apam Putra), Hilmi Abdullah (ADUN Guchil) dan Datuk Kamaruddin Md. Noor (ADUN Air Lanas).
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.