21 Ogos 2023, 09:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Marcapada ini, kepesatan sains dan teknologi maklumat dikatakan dapat melenyapkan perkembangkan sesuatu bahasa. Sekitar penghujung tahun 1990-an, perkembangan Internet pada ketika itu tersebar luas dan tanpa kita sedar, bahasa Inggeris sebenarnya telah menjelajah ke pelosok dunia. Penjajahan bentuk baharu ini telah mengetepikan semua bahasa yang terdapat di dunia ini. Jika ditelusuri sejarah terdahulu, bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca, iaitu bahasa perantaraan pedagang dunia pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Kini, di manakah letaknya martabat bahasa yang dahulunya dituturkan oleh hampir kebanyakan penduduk dunia yang berdagang di Melaka? Sebagai warganegara, adakah setiap daripada kita sedar tentang tanggungjawab dan kepentingan bahasa Melayu?

Pemerkasaan bahasa Melayu bermaksud mengangkat martabat bahasa Melayu pada tahap yang sepatutnya, yakni sesuai dengan kedudukan dan haknya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di Malaysia. Namun begitu, siapakah yang harus menggalas amanah itu? Peranan tersebut tidak seharusnya diletakkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semata-mata, sebaliknya perkara ini harus menjadi peranan dan tanggungjawab semua pihak.

Pada hakikatnya, penjawat awamlah yang mampu menjadikan bahasa Melayu tonggak bagi proses pembentukan negara bangsa supaya bahasa Melayu terus kekal sebagai bahasa ilmu, bahasa intelektual, bahasa sastera serta juga bahasa pentadbiran khususnya di negara ini.

Sokongan daripada pihak kerajaan dan pemimpin negara perlu dipertingkatkan dalam menggalakkan lagi para pengkaji supaya memperbanyak bahan ilmiah dalam bahasa Melayu seperti penyelidikan, penulisan dan penerbitan. Kerajaan juga wajar menghantar para intelektual ke luar negara bagi memperoleh ilmu dalam pelbagai bidang. Walau bagaimanapun, ilmu itu akan kekal dalam bahasa yang dipelajari sahaja seandainya tidak diolah kembali dalam bahasa Melayu melalui penulisan. Dengan memperbanyak bahan ilmiah dalam bahasa Melayu, hasrat kerajaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan menjadi kenyataan. Dalam usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, peranan para cendekiawan dan juga ahli akademik di Malaysia amatlah penting. Hal ini demikian kerana sumbangan dan kepakaran mereka sangat bermakna dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai tonggak bahasa ilmu.

Dalam hal ini, penganjuran seminar yang bertajuk “Memperkasakan Citra Bahasa Melayu” telah berlangsung pada 17 Ogos 2023 lalu bertujuan untuk melahirkan dan memupuk rasa tanggungjawab dalam diri penjawat awam tentang kepentingan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu. Penceramah jemputan, Saliza Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Zack Kirana telah diundang untuk berkongsi penggunaan ejaan dan bahasa Melayu dengan betul kepada agensi-agensi kerajaan melalui sesi yang berlangsung secara dalam talian secara langsung. Moderator program, Encik Muhammad Hafiz Halily  Aisa berkesempatan memperkenalkan serba sedikit latar belakang Zack Kirana yang merupakan seorang daripada tutor bahasa Melayu di sebuah pusat tuisyen terbesar di Malaysia.

Zack Kirana menyatakan bahawa penggunaan bahasa rojak kini semakin berkembang tanpa sebarang halangan dan sekatan. Penggunaan bahasa Melayu dalam ruang siber turut menyaksikan berlakunya ancaman yang ketara terhadap bahasa Melayu, khususnya dalam ruang sembang siber yang memperlihatkan bahasa Melayu semakin “dilacurkan”oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Generasi muda pada hari ini lebih mengutamakan bahasa yang mempunyai darjat sosioekonomi serta bahasa yang lebih santai dan mudah digunakan dalam ruang siber berbanding dengan faktor-faktor lain. Jika autoriti bahasa itu tidak dipelihara, maka keutuhan bahasa Melayu yang dahulunya digunakan sebagai bahasa perantaraan (lingua franca) yang dapat menjalin pertalian di wilayah kepulauan Melayu sejak abad ketujuh, akan semakin terhakis. Kesannya, nilai budaya serta identiti bangsa kita sebagai bangsa Melayu juga akan turut lenyap ditelan zaman.

Zack Kirana juga menjelaskan bahawa kata-kata pinjaman bahasa asing yang digunakan dalam bahasa Melayu yang dipinjam daripada mana-mana bahasa dan juga asimilasi daripada bahasa Inggeris perlu dikurangkan. Malaysia mempunyai pakar bahasa dan sasterawan yang mampu memberikan padanan perkataan yang sesuai untuk digunakan berbanding dengan meminjam perkataan tersebut dalam bahasa asing. Jika isu seperti ini dapat diselesaikan, pastinya martabat bahasa Melayu akan terjamin kerana mempunyai identiti yang jelas dan unik. Bahasa Melayu merupakan sebuah bahasa antarabangsa kerana sentiasa memperlihatkan ciri antarabangsa sejak zaman prasasti lagi (Azhar Salleh, 2005).

Warganegara Malaysia, terutamanya penjawat awam perlu menggalas tanggungjawab untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan. Jika tidak, siapakah lagi yang boleh diharapkan? Amat menyedihkan sekiranya warganegara sendiri yang merendahkan martabat bahasa kebangsaan. Sedangkan, tanpa kita sedari banyak pelancong asing juga berminat untuk mempelajari bahasa Melayu kerana merasakan bahasa Melayu merupakan suatu bahasa yang unik dan mudah untuk dipelajari dan dituturkan.

Kekacauan penggunaan bahasa Melayu dalam aspek komunikasi yang menggunakan teknologi seperti telefon bimbit dan komputer mendapat perhatian beberapa pihak. Fenomena ini dilihat sebagai satu ancaman terhadap penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul. Terdapat juga segelintir penjawat awam berpendapat bahawa fenomena pencemaran bahasa melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) ataupun aplikasi perhubungan yang lain termasuklah media sosial Instagram, Facebook, Twiter dan lain-lain lagi bersifat sementara dan akan berakhir apabila teknologi komunikasi yang lebih canggih diperkenalkan. Kita tidak seharusnya menunggu masa tersebut tiba tanpa mengambil sebarang tindakan dan kemungkinan sudah terlewat untuk membetulkan keadaan apabila teknologi komunikasi pada hari ini digantikan dengan teknologi yang lebih canggih lagi pada masa akan datang.

Usaha yang murni oleh Institut Tadbiran Awam Negara Kampus Wilayah Timur (INTIM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang telah menganjurkan “Seminar Pemerkasaan Bahasa Melayu” yang merupakan wadah pemerkasaan bahasa Melayu sebagai sumber rujukan setanding dengan bahasa asing wajar dipuji. Bahasa Melayu telah diisytiharkan sebagai bahasa rasmi sejak negara mengecap kemerdekaan. Oleh itu, penjawat awam wajib mengaplikasikan bahasa Melayu dalam setiap urusan demi menampilkan kepentingan bahasa Melayu.

Menurut YB Senator Datuk Seri Profesor Awang Sariyan (1979), setiap orang mestilah berazam untuk menyelesaikan masalah penguasaan bahasa dalam diri sendiri. Jika setiap orang dapat melaksanakan azam itu, tidaklah mustahil bahawa pada satu masa kelak, kita akan mempunyai guru, pelajar, pentadbir, pensyarah, ibu bapa dan ahli bahasa yang semuanya dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Bak kata pepatah, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Maka itu, dengan mengambil contoh pemimpin dari negara luar seperti Republik Rakyat China, Rusia, Jerman, Perancis, Korea, Jepun, Amerika dan lain-lain, mereka tetap mengutamakan bahasa negara sendiri walaupun semasa berucap dalam majlis-majlis antarabangsa yang dihadiri. Sebagai penutur jati bahasa Melayu, seluruh rakyat seharusnya berjiwa besar dan mengangkat martabat bahasa Melayu ke tahap tertinggi. Oleh hal yang demikian, kita wajar meniru amalan mereka dan mana-mana pemimpin di negara ini yang berusaha memartabatkan bahasa kebangsaan dalam apa-apa jua urusan sekalipun.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.