23 Ogos 2023, 21:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Bicara Naratif: Falsafah Mukadimah Rukun Negara bersiaran langsung pada pukul 9.00 malam semalam menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Kuala Lumpur – Tragedi 13 Mei menjadi titik tolak kepada negara dalam memacu perpaduan sebagai agenda utama dan Rukun Negara sebagai paksi kepada gagasan negara bangsa Malaysia ini terus dibina dan dicemerlangkan.

Penyampai, Sayed Munawar Sayed Mustar bersama-sama ahli panel, iaitu Dr. Rosfazila Abd. Rahman, Pensyarah Kanan, Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan, Pusat Pengajian Teras, Universiti Islam Selangor dan Profesor Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Pakar Psikologi Bahasa dan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dalam membicarakan perbincangan bertajuk, Falsafah Mukadimah Rukun Negara yang disiarkan menerusi slot Bicara Naratif terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menurut Dr. Rosfazila Abd. Rahman, program melafazkan ikrar Rukun Negara dalam setiap acara kerajaan seperti yang diumumkan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang setelah diluluskan kabinet pada bulan lalu, sudah tentu menjadi satu permulaan yang baik bagi memperkukuhkan semula perpaduan dan semangat cintakan negara kepada seluruh rakyat Malaysia tidak kira generasi.

Beliau berkongsi trivia angka 100, iaitu kegemilangan peradaban Melaka selama 100 tahun, angka 400 pula merupakan era penjajahan yang dialami oleh sejarah negara dan angka 66 pula, negara bakal menginjak kemerdekaannya pada tahun 2023 ini.

Sudah tentu menerusi sejarah yang panjang ini, rakyat perlu sentiasa diperteguhkan dengan prinsip Rukun Negara ini. Berdasarkan kajian beliau, tahap kesedaran generasi muda pada hari ini terhadap pemahaman mencintai negara hanyalah pada skala 60 peratus, iaitu tahap sederhana baik.

Walaupun pada graf perpaduan negara di dunia, Malaysia diyakini tidak mempunyai masalah yang dilihat serius, semua pihak perlulah sentiasa cakna akan tanggungjawab kepada mencintai negara atau memiliki jiwa patriotik yang wajar. Beliau berpandangan bahawa ada sesetengah pihak mempunyai agenda untuk memecahbelahkan rakyat berbanding dengan memperkukuhkan perpaduan bagi mencapai kemajuan seiring dengan matlamat dan gagasan Malaysia.

Rakyat adalah nukleus yang setiap seorang sekiranya memiliki penghayatan yang baik terhadap Rukun Negara akan membentuk satu gabungan yang kuat, seterusnya memberikan momentum serta dampak yang hebat kepada Rukun Negara. Hal ini secara tidak langsung membawa kepada kemajuan, pencapaian dan citra negara di mata dunia.

Rukun Negara wajar diperkukuhkan tidak kira generasi lama atau baharu, kerana rakyatlah penentu kepada impak atau kedaulatan negara ini.

Sementara itu, Profesor. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw menyatakan bahawa Rukun Negara ibarat gerbang ke arah keharmonian negara dan melaluinya juga boleh membina rakyat negara ini memiliki nilai sejagat.

Rakyat Malaysia mempunyai citra yang hebat di luar negara sebagai masyarakat yang memiliki kesopanan dan kesusilaan yang tinggi, serta turut dikenali sebagai bangsa yang beradab.

Pendidikan Patriotik perlu diajar pada peringkat lebih awal dan menyeluruh bagi mewujudkan semangat cintakan negara.

Semangat, roh dan jiwa rakyat Malaysia amat penting dalam usaha menghayati Rukun Negara. Insiden yang berlaku baru-baru ini membuktikan bahawa Malaysia memiliki Kedaulatan Undang-Undang, yang tidak boleh sewenang-wenangnya negara ini dicabar kedaulatan undang-undangnya.

Demikianlah Rukun Negara menjadi teras kepada pembinaan negara bangsa Malaysia ini. Beliau turut menegaskan bahawa tumpuan negara terhadap pengasuhan digital kepada generasi hari ini khususnya isu berkaitan kandungan di media sosial dan sebagainya. Isu keselamatan siber dan hubungannya dengan rakyat negara ini juga menjadi satu daripada faktor boleh terjejasnya perpaduan.

Mengulas lanjut, Sayed Munawar menyarankan agar Rukun Negara selepas ini dibincangkan pada sudut menjangkau masa depan bukan lagi memperkatakan hal yang telah ditinggalkan belakang atau hal yang tidak membina kepada kerangka kemajuan negara. Elemen sejarah yang dikongsikan oleh kedua-dua panel ini amat penting bagi membuka jalan yang terbaik kepada Malaysia dalam mencapai negara yang unggul.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.