27 Ogos 2023, 16:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Adakah anda seorang pekerja profesional, graduan baru, penganggur atau usahawan yang berminat untuk berjaya dalam masa yang singkat? Jika ya, andalah calon Micro-credential yang terbaik! Realitinya, Micro-credential semakin popular pada masa ini kerana menawarkan pelbagai kursus yang menarik, mudah diakses dan relevan, membolehkan semua orang mampu berubah menjadi seorang yang berilmu dan berkemahiran. Bukan itu sahaja, Micro-credential turut mendapat tempat yang istimewa di hati para majikan dan pemain industri akibat impaknya terhadap peningkatan kecekapan pekerja mereka yang sedia ada. Micro-credential sebenarnya boleh dijelaskan sebagai pensijilan mikro yang mengiktiraf pemerolehan pengetahuan dan kecekapan dalam sesuatu bidang. Tujuannya adalah untuk menyokong pembangunan profesional bagi transformasi akademik, industri, komuniti mahupun individu. Maka itu, Micro-credential diikitiraf sebagai trend pembelajaran abad ke-21 yang relevan kerana hanya memfokuskan kepada modul yang menawarkan skop pembelajaran yang jauh lebih kecil dan mudah berbanding dengan program akademik konvensional (biasa).

Terkini, Micro-credential juga semakin meniti di bibir masyarakat apabila diangkat sebagai inisiatif pemerkasaan pembelajaran sepanjang hayat nasional. Inisiatif berkenaan direalisasikan melalui penawaran variasi modul Micro-credential yang mutakhir, selari dengan perubahan globalisasi akademik dan teknologi semasa. Malah, dengan penawaran kursus Micro-credential berimpak dan sesuai dengan permintaan pasaran kerjaya, institusi pengajian tinggi terutamanya, berjaya menarik lebih banyak mahasiswa baru dengan mewujudkan pelbagai pilihan kursus yang menekankan kemahiran generik bagi pembangunan tenaga mahir yang relevan dengan industri. Kesannya, Micro-credential turut menyumbang sebagai sumber pendapatan tambahan institusi pengajian tinggi, di samping mengangkat kredibilitinya dalam arena pendidikan sejagat. Dari perspektif nasional pula, Micro-credential di institusi pengajian tinggi berfungsi sebagai aktiviti peluasan capaian pembelajaran dan sekaligus menjadi solusi pengangguran, menjana peluang pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan warga Malaysia ke arah menjadi negara maju yang berpendapatan tinggi dan beracuan sendiri.

Disebabkan oleh justifikasi konkrit tentang pentingnya Micro-credential, institusi pengajian tinggi berkeupayaan menggalas tanggungjawab dalam memacu Micro-credential untuk agenda pembangunan negara bangsa melalui beberapa langkah yang strategik, antaranya:

Kenal Pasti Keperluan dan Permintaan Pihak Berkepentingan

Institusi pengajian tinggi perlu memfokuskan kepada pelbagai keperluan utama dan permintaan dari bakal peserta Micro-credential yang mungkin datang daripada latar belakang yang berbeza-beza. Seterusnya, barulah usaha untuk memastikan perancangan dan penawaran Micro-credential adalah relevan dengan pasaran kerja dan mendapat permintaan yang banyak daripada pemacu industri. Misalnya, ada individu yang mendaftar Micro-credential hanya sekadar untuk menambah baik ilmu ketika masa lapang. Namun begitu, ada pula yang inginkan peningkatan kemahiran spesifik dan kecekapan professional yang kritikal bagi bidang kerjaya mereka. Di samping itu, terdapat individu yang menyertai Micro-credential dengan tujuan memperoleh pekerjaan baru yang lebih baik dan pendapatan yang lebih lumayan dengan mencapai kelayakan tambahan dan kemahiran yang diiktiraf. Oleh itu, sijil atau pengiktirafan formal yang diberikan harus memiliki nilai dan pengesahan yang diiktiraf oleh pihak industri atau majikan yang mewujudkan peluang pekerjaan. Maka itu, dalam merancang kursus Micro-credential, institusi pengajian tinggi wajib memahami keperluan dan permintaan peserta secara mendalam dan memastikan bahawa kursus yang ditawarkan berupaya memenuhi harapan dan memberikan manfaat yang berpanjangan kepada peserta.

Kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi

Kementerian Pendidikan Tinggi  (KPT) bertanggungjawab merancang dasar dan garis panduan yang berkaitan dengan pelaksanaan kursus Micro-credential di Malaysia. Oleh itu, setiap institusi pengajian tinggi perlu merujuk standard kualiti dan syarat yang ditetapkan oleh KPT dari semasa ke semasa. Melalui kerjasama strategik tersebut, KPT boleh memainkan peranan kritis dalam memantau dan menilai kualiti Micro-credential di institusi terbabit demi memastikan hasilnya mencapai standard yang diperlukan. Selain itu, pemantauan berkala harus dilakukan untuk memastikan kursus yang ditawarkan memenuhi keperluan dan tuntutan industri serta memberikan manfaat yang realistik kepada peserta. Kerjasama tersebut juga akan memastikan usaha penyediaan rujukan Micro-credential yang berkualiti dan tuntas oleh institusi pengajian tinggi berkenaan sentiasa mendapat bimbingan daripada KPT. Bimbingan berkenaan juga akan memberikan motivasi kepada setiap institusi yang terbabit agar berinovatif dalam meningkatkan kesedaran masyarakat dan industri tentang Micro-credential.

Rancang Kursus yang Relevan

Berdasarkan hasil penyelidikan terkini, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) harus merancang Micro-credential yang sesuai dengan keperluan dan permintaan peserta. IPT perlu memastikan kursus tersebut meliputi alatan pengajaran dan pembelajaran yang relevan, mensasarkan kepada kemahiran dan objektif pembelajaran yang jelas untuk menjamin manfaat yang semaksimum mungkin kepada peserta. Adaptasi, termasuklah aspek polisi dan pengurusan kursus yang berdasarkan perkembangan pesat dalam industri juga perlu diutamakan.  Hal ini disebabkan oleh terdapat pertambahan peserta yang hanya meminati kursus Micro-credential terbaru yang dapat membantu mereka menyesuaikan diri dengan perkembangan terkini dalam industri atau bidang pekerjaan mereka. Misalnya, kursus latihan yang melibatkan teknologi baru, kaedah kerja terkini, atau trend kemahiran industri semasa. Kursus Micro-credential juga perlu menawarkan fleksibiliti dari segi tempoh masa dan waktu pembelajaran. Hal ini bagi menarik minat peserta yang agak sibuk dengan kerjaya atau yang berminat untuk meningkatkan kemahiran dalam masa yang singkat dengan kos yang menjimatkan. Bukan itu sahaja, Micro-credential juga harus berupaya membantu peserta yang ingin menukar bidang pekerjaan yang baru atau yang berminat melakukan pengkhususan bidang kerjaya.

Tetapkan Tempoh Masa dan Struktur

Berbeza daripada kursus akademik konvensional yang bersifat makro dan terhad dari segi ruang dan masa, kursus Micro-credential yang ditawarkan oleh IPT harus mengambil kira tempoh masa yang lebih singkat dan fleksibel (biasanya hanya beberapa minggu hingga beberapa bulan sahaja). Struktur kursus pula harus dirancang secara sistematik dan hanya bersaiz kecil agar peserta dapat fokus pada kemahiran yang diinginkan tanpa harus mengikuti subjek tambahan yang tidak relevan. Tinjauan yang terperinci bagi memahami tempoh masa dan struktur yang bersesuaian bagi kursus Micro-credential yang dirancang perlu dijalankan sebelum penawaran akhir dibuat. Antara pertimbangan yang diperlukan adalah bentuk kecekapan atau pengetahuan spesifik yang peserta ingin perolehi, tempoh waktu yang mampu diperuntukkan oleh mereka dan kaedah pembelajaran yang menjadi pilihan mereka. Contohnya, pelaksanaan kursus Micro-credential secara dalam talian membolehkan penyertaan pembelajaran secara fleksibel dari segi ruang dan masa. Secara tidak langsung, capaian pendidikan tinggi individu, sama ada dari dalam atau luar negara akan berlaku dengan lebih mudah melalui sokongan Internet. Malah, peserta berpeluang menjimatkan kos dan tenaga bagi mempelajari setiap modul dan turut berpeluang untuk meneruskan pembelajaran modul-modul lain berdasarkan kemampuan kewangan masing-masing.

Kenal pasti Aspek Pengajaran dan Pembelajaran yang Relevan

Pemilihan aspek Pengajaran dan Pembelajaran yang relevan mestilah dibuat secara terancang, bersesuaian dengan kandungan kursus atau kemahiran dan pengetahuan yang ingin diperolehi oleh peserta. Sebagai contoh, pemilihan alatan yang menyokong pengajaran dan pembelajaran seperti teks, slaid pembentangan, e-pembelajaran, video, atau infografik yang interaktif. Aktiviti pembelajaran yang terancang amat signifikan dalam memastikan peserta sentiasa aktif dalam proses pembelajaran. Contohnya dengan menawarkan tugasan, latihan, diskusi atau projek yang bersesuaian membolehkan peserta mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari tersebut dalam dunia nyata. Penyediaan bahan pembelajaran alternatif juga digalakkan, antaranya termasuklah buku rujukan, jurnal ilmiah, artikel, atau pautan ke sumber rujukan lain yang dapat membantu peserta mendalami pemahaman dan pengalaman belajar mereka terhadap topik yang dipelajari. Di samping itu, mentor atau pengajar yang berkualiti amat relevan dalam memberikan panduan kepada peserta di sepanjang proses pembelajaran. Selain itu, proses dan kaedah pengajaran dan pembelajaran berkenaan juga haruslah fleksibel dan dapat disesuaikan dengan keperluan dan kemampuan peserta yang pelbagai. Contohnya, topik tertentu mungkin lebih sesuai disampaikan secara dalam talian, manakala kurusus yang lain pula memerlukan interaksi secara langsung atau latihan praktikal secara bersemuka berdasarkan waktu terluang yang dimiliki oleh peserta.

Penilaian dan Pengesahan

Pastikan kursus Micro-credential diukur secara objektif melalui proses penilaian dan pengesahan. Institusi pengajian tinggi harus menggunakan kaedah penilaian yang sesuai untuk mengukur pencapaian peserta dan memberikan pengiktirafan yang jelas terhadap kemahiran yang diperoleh. Kerjasama sebegini dengan jaringan industri amat signifikan dalam menyediakan bukti pengesahan terhadap kursus Micro-credential kerana dapat meningkatkan citra dan kredibiliti kursus berkenaan. Sokongan daripada industri membuktikan bahwa kursus ini benar-benar relevan dan memenuhi standard majikan yang berpotensi daripada pemain industri. Selain itu, institusi berkenaan juga boleh memohon bantuan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk menilai keberkesanan reka bentuk, pembangunan dan penilaian kursus Micro-credential mereka.

Penyediaan Sijil dan Pengiktirafan

Setelah peserta berjaya menyelesaikan kursus Micro-credential, institusi pengajian tinggi terbabit harus mengeluarkan sijil atau pengesahan sebagai bukti pencapaian mereka. Sijil ini harus memberikan nilai tambah kepada peserta untuk bersaing di pasaran kerja dan membantu peserta meningkatkan kerjaya pilihan mereka. Sijil Micro-credential yang disediakan oleh institusi tersebut hendaklah dilengkapi dengan beberapa maklumat penting seperti nama kursus/modul, hasil pembelajaran kursus, kaedah penyampaian dan penaksiran, jumlah masa pembelajaran, kredit, jenis penganugerahan yang boleh dicapai oleh peserta dan pihak berkepentingan bagi tujuan penilaian dan pengiktirafan. Di samping itu, sijil perlu dihasilkan melalui teknologi yang dapat menjamin keselamatan identiti dan data peserta daripada sebarang penyalahgunaan serta harus boleh diakses, dipamer dan disebar luas terutamanya melalui pelbagai platform digital secara selamat.

Promosi dan Pemasaran

Aktiviti promosi dan pemasaran oleh institusi pengajian tinggi untuk kursus baru Micro-credential adalah sangat penting, terutamanya bagi menarik minat bakal peserta dan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya kursus tersebut. Antaranya, media sosial, laman web, dan variasi platform digital interaktif yang boleh dimanfaatkan oleh institusi berkenaan dalam mengadakan kempen pemasaran digital Micro-credential. Hantaran menarik juga boleh digunakan untuk memperkenalkan kursus Micro-credential baru, berserta dengan informasi tentang kelebihan, testimoni atau kejayaan yang telah dicapai oleh peserta sebelumnya. Selain itu, video promosi dan webinar yang meliputi ringkasan kursus, pengalaman belajar yang menarik, sesi perkongsian pengalaman oleh alumni dan maklumat berkaitan kurikulum serta manfaat kursus juga berkesan dalam membantu bakal peserta mendapatkan pemahaman secara efisyen. Lantikan ikon kursus atau tawaran diskaun khusus bagi peserta yang mencadangkan teman atau rakan sekerja mereka untuk turut serta dalam kursus Micro-credential juga dapat meningkatkan populariti dan bilangan penyertaan. Malah, dalam misi meningkatkan jangkauan dan pendedahan kursus Micro-credential baru, wahana promosi bercetak, berbayar dan e-mel pemasaran yang menarik dan informatif juga wajar dipertimbangkan sebagai satu daripada alternatif yang berbaloi.

Kolaborasi dengan Pihak Industri

Institusi pengajian tinggi harus bekerjasama, terutamanya melalui konsultasi dengan pihak industri dalam mengenal pasti keperluan dan permintaan khusus pihak industri. Sebagai contoh, pihak industri dari pelbagai sektor yang berpotensi menawarkan pekerjaan boleh dilibatkan dalam penyusunan kurikulum kursus. Pihak institusi pengajian dan industri juga dapat berkolaborasi dalam menentukan pilihan alat bantu mengajar, kemahiran dan topik yang harus diajarkan di dalam kursus. Penglibatan pakar dari industri sebagai tenaga pengajar atau mentor dalam kursus juga perlu dipertimbangkan sebagai idea yang bermanfaat. Hal ini demikian kerana mereka berupaya berkongsi pengalaman secara praktikal, misi dan kajian kes yang relevan dari dunia kerjaya yang sebenar, sebagai perspektif yang berharga dan dalam konteks yang nyata kepada peserta. Impaknya, lebih banyak peluang diwujudkan bagi latihan amali atau latihan industri bagi peserta kursus hasil daripada jaringan kolaborasi bersama-sama pihak yang berkepentingan dalam sesuatu industri tersebut. Berikutnya, pihak industri juga wajar dilibatkan dalam proses penilaian kursus secara berterusan. Pandangan daripada pihak industri adalah amat bernilai terutamanya dari aspek keberkesanan kurikulum, kesesuaian alat pengajaran dan pembelajaran, dan pencapaian sebenar bagi kecekapan peserta. Dapatan berkenaan dapat membantu dalam menambah baik aspek kelemahan kursus dan memastikan para peserta akan lebih kreatif dalam beradaptasi persekitaran pekerjaan yang sebenar serta kompetitif dalam menghadapi cabaran di dalam industri.

Kesimpulannya, pihak institusi pengajian tinggi perlu memastikan setiap langkah kritikal bagi memastikan pelaksanaan kursus Micro-credential berimpak diberikan perhatian sewajarnya, antaranya termasuklah analisis keperluan pasaran, mengenal pasti kemahiran utama yang dikehendaki oleh industri, mengemas kini kurikulum yang sedia ada dan memastikan kursus yang ditawarkan mematuhi standard kompetensi dan pensijilan pihak industri. Di samping itu, kerjasama antara semua pihak yang berkepentingan perlu dititikberatkan dalam menjamin kerelevanan kursus Micro-credential yang dilaksanakan. Contohnya, kejayaan kursus ini bergantung pada komitmen dan kerjasama yang erat di antara sesebuah institusi pengajian tinggi dengan Kementerian Pendidikan Tinggi. Hal ini demikian kerana KPT bertanggungjawab merancang, mengawal dan mengeluarkan dasar serta garis panduan yang berkaitan dengan pendidikan termasuklah pelaksanaan Micro-credential. Pihak industri dan majikan turut berperanan dalam merancang kursus Micro-credential yang relevan dan memberikan input tentang kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan dalam dunia pekerjaan. Mereka juga boleh menyokong kursus ini dengan menyediakan peluang praktikal atau latihan industri. Badan akreditasi pendidikan di Malaysia juga harus dilibatkan dalam aktiviti penilaian dan pengesahan Micro-credential dengan memastikan kepatuhan terhadap piawaian standard dan keperluan pihak industri. Bukan itu sahaja, institusi pengajian tinggi juga perlu bekerjasama dengan pihak berkepentingan, antaranya termasuk kerajaan tempatan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta untuk mendapatkan sokongan penuh dari segi bantuan kewangan, sumber tenaga, dan bantuan dalam pelaksanaan Micro-credential.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.