Oleh Aisyah A.
30 Ogos 2023, 19:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2023 disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bersempena dengan Hari Kebangsaan 2023, petang ini.

Putrajaya – Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada hari ini menyampaikan ucapan dalam Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan bagi menyemarakkan rasa kekitaan dan kebersamaan serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia selari dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan.

Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan diadakan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada pukul 2.00 petang.

Dalam ucapan alu-aluan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengajak hadirin untuk mengiktiraf peranan generasi yang terdahulu yang telah bertekad untuk mengangkat martabat dan mengembalikan maruah negara daripada kekuasaan penjajah yang menetapkan kaedah pengertian hidup, budaya dan ekonomi mengikut acuan mereka melalui pemerasan dan penindasan.

Majlis amanat ini turut menekankan kepentingan untuk memahami konteks sebenar Rukun Negara, seterusnya mendokong Perlembagaan Persekutuan bagi mengelakkan perbalahan kaum yang boleh menggugat perpaduan nasional.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia menekankan makna “merdeka” kepada rakyat.

Beliau menekankan bahawa “merdeka” ertinya membebaskan rakyat daripada cengkaman dan pemikiran yang dijaja oleh kuasa asing seperti yang diungkap oleh pemikir Islam, Mohamad Al-Ghazali, sebagai penjajahan jiwa dan pemikiran hakikatnya lebih sukar daripada memerdekakan negara daripada penguasaan asing.

Rakyat perlu memaknai merdeka dengan mengingati bahawa negara ini merupakan satu amanah dan segala kuasa yang ada dari peringkat kampung hinggalah ke Jabatan Perdana Menteri, mesti melahirkan manusia yang berjiwa merdeka dan tidak sanggup negara ini dijadikan perkakas untuk memperoleh habuan untuk golongan elit.

Rakyat telah diperkenalkan dengan sosok kemerdekaan, seperti Dr. Burhanuddin Al-Hilmi dan Dato’ Onn Jaafar, yakni pada tahun 1946 yang mengungkapkan bahawa kemerdekaan ialah satu kemestian.

Bercakap tentang kemerdekaan ialah perkara yang mudah, tetapi untuk mengekalkan kemerdekaan dalam genggaman kita ialah satu perkara berat dan susah.

Memetik sebuah pidato Dr. Burhanuddin Al-Hilmi, YAB PM mengatakan bahawa kita telah berjaya memperoleh kemerdekaan negara dan mempertahankan kemerdekaan, tetapi cabaran kini adalah untuk mengekalkan keamanan dan kemerdekaan apabila menghadapi tekanan seperti ancaman komunis dari Parti Komunis Malaya, Konfrontasi Indonesia dan pengganas di Lahad Datu dan lain-lain yang menggugat keselamatan negara.

Menyentuh berkenaan memaknai merdeka, YAB PM menekankan bahawa merdeka bermaksud segala khazanah dan usaha adalah untuk mengembalikan hak kepada rakyat dan mengangkat martabat negara.

Jika semangat patriotisme yang tinggi ada dalam setiap rakyat, Malaysia akan muncul sebagai sebuah negara hebat di Asia Tenggara dengan syarat, semangat yang telah diperkukuh oleh generasi terdahulu, persatuan dan perpaduan menerima kenyataan bahawa kita merdeka dengan suku kaum induk Melayu dan Bumiputera dengan penyertaan bangsa lain dalam sebuah keluarga.

Setiap dasar dan pelaksanaannya oleh kerajaan sekarang adalah untuk menjamin masa depan kesatuan dan perpaduan yang telah dipupuk sejak merdeka.

Perbezaan yang ada dalam negara ini adalah untuk mengenal dan menghormati antara satu sama lain tanpa mempertikaikan perlembagaan negara. Malaysia akan terus tegak hebat dengan jaminan bahawa hak setiap warganegara untuk mengamalkan agama masing-masing, memuliakan budaya mereka termasuk suku kaum tetap dipertahankan.

Tambah beliau, harapannya agar Malaysia menjadi sebuah negara Madani yang boleh mengangkat martabat semua rakyat. Matlamat ini boleh diangkat sekiranya kesilapan yang telah berlaku dapat dihindari dan rakyat menggunakan kebebasan yang ada dengan bijak dalam menyampaikan mesej perpaduan.

Oleh itu, kerajaan telah merangka beberapa pelan dan dasar pada hujung tahun ini yang memberikan manfaat kepada rakyat selain daripada kajian separuh penggal serta Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang meliputi tindakan yang perlu termasuklah pengubahsuaian dan anjakan supaya dapat memperoleh pembangunan yang mampan iaitu kesempatan dan prasarana asas bagi rakyat mesti terjamin.

Tegas beliau mengakhir ucapan,

Malaysia harus terkenal dengan jaminan keadilan bagi semua rakyat dan bukan merujuk bangunan pencakar langit sahaja.

Turut hadi bersama-sama dalam majlis ini ialah Menteri Kabinet, Timbalan Menteri dan sebahagian besar penjawat awam.

Sumber foto: Jabatan Perdana Menteri

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.